Header Ads

Kubur Sebagai Satu Tarbiah


Dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini, kubur kerap dikaitkan dengan hantu

Entah kenapa banyak drama dan filem di kaca TV berkisar cerita hantu yang khurafat ini sibuk membayangkan bila ada kubur sahaja, mesti ada hantu menunggu di situ. Maka kepercayaan karut marut ini bukan sahaja diterapkan di kalangan minda anak-anak kecil sahaja, bahkan ada juga orang dewasa yang takut nak melihat kubur apatah lagi hendak melawat kubur.

Sedangkan kubur adalah satu tarbiah yang mengingatkan bahawa mati itu benar, azab kubur itu bukanlah cerita kosong dan lambat laun semua orang pasti akan ke sana juga akhirnya. Disebabkan itulah Rasulullah SAW menggalakkan kita supaya selalu menziarahi kubur:-

“Dahulu aku telah melarang kamu dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. 

Akan tetapi janganlah kamu berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil.” 

Hadis Riwayat al-Hakim, Kitab al-Mustadrak

Alam dunia kita dah tinggalkan lalu kita akan berangkat pula menuju ke satu alam yang dipanggil alam barzakh. Para ulama’ namakan kematian sebagai kiamat kecil, menandakan kita takkan dapat kembali ke dunia lagi.

Di sini, setiap mayat akan didatangi dua malaikat, Malaikat Munkar dan Malaikat Nakir. Tugas mereka adalah untuk menanyakan soalan-soalan; siapa Tuhan kita, Rasul kita, dan lain-lain lagi. Jika tak dapat menjawab, siaplah dipalu berkali-kali nanti. Tapi pada yang berjaya, insya-Allah, kita akan terselamat.

Masa itu, nak menyesal pun dah tak berguna lagi, kerana Allah SWT telah mengingatkan:-

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit.....”

Surah Taha 20:124

Menurut Abu Said al-Khudri dan Abdullah bin Mas’ud, ‘kehidupan yang sempit’ di sini membawa maksud azab seksaan yang menanti di dalam kubur. Selain itu, kubur boleh jadi dua jenis destinasi untuk kita, sama ada lubang neraka atau taman syurga. Semuanya bergantung pada amalan kita di dunia ini.

Biarlah kita berpenat dan bersusah-payah di dunia sebab kuat mengerjakan ibadah wajib dan sunat serta bersungguh-sungguh menjaga halal dan haram dengan sempurna. Jangan sesekali kita patah semangat kerana hidup ini sekejap sahaja, tak sampai beribu-ribu tahun pun. Bila kita yakin akan janji-janji Allah SWT ini, kubur akan menjadi tempat berehat-rehat buat kita, penuh dengan kedamaian dan ketenangan seperti berada di taman-taman syurga.

Bagi yang kurang menyakini dan mempercayai, tak mengapalah kerana satu masa nanti, mata kepala itu akan menyaksikan jika ia cuma cerita dongeng atau tidak. Jangan sampai kubur kita jadi salah satu dari lubang-lubang neraka, ditambah lagi dengan pelbagai azab yang Allah SWT datangkan sebagai balasan kederhakaan kita di dunia dulu.

Kepedihan azab kubur ini bukannya sesuatu yang boleh diambil mudah, Rasulullah SAW sendiri menyuruh kita agar selalu berdoa kepada Allah SWT untuk dijauhkan darinya.

Baginda SAW selalu berdoa seperti berikut:-

"Ya Allah! Aku berlindung dengan Engkau dari seksa kubur, dan dari seksa neraka, dan dari bencana hidup dan mati, dan dari bencana al-Masih Dajjal.”

Hadith Riwayat al-Bukhari, No. 708

Di alam barzakh juga kita tidak tinggal selama-lamanya, cuma sebagai tempat persinggahan menanti hari Kiamat yang sebenar (kiamat besar) tiba. Namun, keadaan kita di alam ini juga menjadi penentu nasib kita di akhirat sana. Kalau kubur kita sendiri ketika itu diibaratkan seperti lubang neraka, janganlah pula dipasang angan-angan kita mampu mencium bau syurga di akhirat nanti.

Hakikatnya, orang-orang kafir, fasiq dan munafiq yang diseksa dalam kubur ini merasakan tempoh berada di alam barzakh itulah yang paling menderita dan menyakitkan. Tetapi al-Quran merakamkan kata-kata mereka bila dibangkitkan semula di hari akhirat:-


“(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: 
‘Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?’

Lalu pertanyaan mereka semua itu dijawab:-

“Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!”

Surah Yasin 36:52

Masing-masing berfikir, azab yang diterima itu habis begitu sahaja tetapi sangkaan mereka itu meleset sekali. Hari akhirat inilah hari segala penyesalan serta hari putus asa bagi mereka yang hidupnya di dunia dahulu selalu ingkar terhadap Allah SWT. Sehinggakan mereka menyangka apa yang mereka lalui di alam barzakh itu cuma mimpi tidur belaka.


Oleh itu, perbetulkan perspektif kita semula. Kubur bukan tempat tinggalnya hantu-hantu tetapi tempat untuk kita bermuhasabah diri mengingati nasib kita nanti di akhirat. Perbanyakkan amal soleh agar kubur kita nanti bukannya salah satu dari lubang neraka tetapi taman-taman di syurga.

Wallahu’alam 

Powered by Blogger.