Header Ads

Usaha Dan Tawakal


Sebagai orang Islam, kita diajar mengenai hubungkait usaha dan tawakal dalam setiap apa yang kita lakukan dalam hidup ini. Usaha itu merupakan kemestian yang perlu kita laksanakan demi mencapai sesuatu tujuan atau penyelesaian. Tanpa usaha, maka tiadalah hasilnya.

Sepertimana pepatah Arab ada menyatakan:-

“Man jadda wajada 
(Siapa yang berusaha (insya-Allah) akan mendapat apa yang diusahakan)”

Islam adalah agama yang praktikal, menyarankan agar umatnya bertindak dan bukannya sekadar ‘borak-borak kosong’ semata-mata. Namun, harus kita ingat pula, yang usaha ini ada gandingannya; iaitu tawakal.

Ibn Rajab RH ada menghuraikan makna tawakal ini:-

“Hakikat tawakal adalah hati yang benar-benar bergantung kepada Allah SWT dalam usahanya memperolehi hal-hal yang baik dan menolak hal-hal yang buruk dalam urusan dunia dan akhirat.”

Salah satu cara untuk kita bertawakal kepada Allah SWT adalah dengan berdoa. Bahkan Rasulullah SAW menyuruh kita agar selalu berdoa melalui hadithnya ini:-

“Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi”

Hadith Riwayat Hakim

Cuma ramai yang salah faham serta tersilap dalam mengamalkan hadith ini. Terutamanya pada mereka yang hanya suka berdoa tetapi tidak langsung pula berusaha. Malah ada yang terkeliru dalam konflik antara doa dan usaha, mana yang datang terlebih dahulu

“Orang kita tak kuat berusaha tapi nak cepat pula dapatkan resultnya...” kata seorang kenalan saya dalam satu perbincangan sesama rakan-rakan usrah suatu masa dahulu.

“Itulah sebabnya bila anak-anak nak periksa saja, berduyun-duyun cari ustaz nak dapatkan ‘air tawar’ tak pun mengumpul air Yasin. Baca buku tak pernah, belajar apatah lagi tapi bertong-tong air Yasin yang diminum. 

Dengan harapan air Yasin tu boleh jadi magik buat anak masing-masing terang hati masa menjawab soalan” sampuk seorang lagi kenalan saya ketika itu.

Kami sama-sama ketawa. 

Ada benarnya juga kenyataan yang kenalan saya itu katakan. Bukan isu air Yasin sahaja, bahkan sudah melarat ke banyak benda, seperti jus kurma untuk mencerdaskan minda, kismis yang dibaca dengan 30 juzuk al-Quran, susu kambing untuk menguatkan ingatan dan lain-lain lagi.

Bukanlah saya hendak menyatakan kurma ataupun kismis itu tidak baik

Cuma iktikad (keyakinan) orang-orang kita ini telah terpesong jauh dari kaedah usaha dan tawakal yang dianjurkan oleh Islam. Saya berbalik kepada perihal air Yasin tadi, jika anak itu tidak berusaha dengan tekun belajar di sekolah serta mengulangkaji pelajaran, manakan mungkin dia mampu berjaya hanya dengan meminum air Yasin sahaja.

Terlalu banyak aspek lain yang perlu dititikberatkan, seperti masalah fokus anak-anak yang mungkin terganggu oleh keadaan psikologi (autisme, ADHD), suasana pembelajaran di rumah yang kurang sesuai ataupun pengaruh rakan-rakan sebaya yang tidak berminat untuk belajar.

“Bila nak melabur duit pula, masing-masing harapkan bulan depan duit tu dah berganda-ganda. Sedangkan kita sendiri dah sedia maklum, kalau goyang kaki takkan membawa kita jadi kaya raya” balas saya pula meluaskan isu ini.

Banyak skim-skim cepat kaya ataupun skim piramid yang telah menipu kebanyakan orang Islam kita. Pada pemerhatian saya, nama skim itu sahaja yang ditukar-tukar bahkan telah berlambak pendedahan mengenai keburukan skim ini dari mangsa-mangsa yang telah terpedaya.

Namun peliknya, masih ada orang Islam kita yang tetap tertipu. Bukan sahaja dari golongan bawahan malah orang yang terpelajar juga ada yang menjadi mangsa.

“Inilah akibatnya leka bertawakal tetapi usahanya tiada. Mulut berbuih-buih berdoa pada Allah SWT minta dimurahkan rezeki tetapi masing-masing malas berusaha sebab leka nakkan kesenangan yang mudah dan cepat. 

Cuba lihat orang Cina, mereka bangun awal tiap-tiap pagi dan keluar rumah untuk urusan masing-masing. Hasilnya, bisnes mereka maju dan berjaya. Sedangkan orang kita, bila matahari dah tinggi barulah keluar dari rumah.”

Teringat pula saya pada satu hadith Nabi SAW yang berkaitan:-

“Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah berkat dan kejayaan.”

Hadith Riwayat at-Tabrani, dalam kitab al-Aswath

Usaha dan tawakal itu perlu seiring dan saling sokong menyokong sebenarnya. Tiada urutan mana yang dahulu atau kemudian. Usaha ini adalah hak kita yang mesti kita penuhi sebagai hamba Allah SWT dan doa yang diperkenankan-Nya pula adalah rezeki Allah SWT kepada kita. 


Percayalah, Allah SWT Maha Mendengar segala doa-doa kita dan Maha Melihat akan usaha-usaha yang kita telah lakukan dengan sebaik boleh.

Apabila kita menyematkan keyakinan sebegini dalam kehidupan sehari-hari, insya-Allah, kita mampu berjaya mendapatkan hasil usaha yang diingini.

Kenalan saya menutup perbincangan kami itu dengan rumusannya:-

“Man zara'a hasada, man yajtahid yanjah 
(Sesiapa yang bertani (insya-Allah) akan menuai hasilnya, sesiapa yang berusaha (insya-Allah) akan mendapat kejayaannya)”

Wallahua'lam

Powered by Blogger.