Header Ads

Erti Bahagia Sebenar


Semua orang mahu jadi bahagia, tidak kiralah hidup di dunia mahupun di akhirat sana. Cuma orang gila sahaja yang menginginkan kecelakaan untuk dirinya. Namun ramai yang merungut yang hidupnya kurang bahagia, mungkin kerana apa yang diidamkan itu tidak kesampaian atau mungkin juga dia sendiri tidak tahu apa yang benar-benar membuatkannya bahagia.

Bahagia itu sifatnya relatif, ia berubah-ubah dan berbeza mengikut orangnya. 

Sebagai contoh, orang yang bujang tercari-cari teman hidupnya. Nilai kebahagiaan itu tertumpu pada langkahnya menuju ke alam perkahwinan. Apabila dia sudah berkahwin pula, nilai kebahagiaan itu beralih arah kepada memiliki cahaya mata, melangkah lagi ke alam keibubapaan.

Namun kita lebih tertumpu mencari kebahagiaan dalam hidup ini berdasarkan pada faktor luaran semata-mata. Sama ada ia datang dari pangkat, status, harta benda, kuasa mahupun rupa serta kejayaan yang dicapai. Sangkaan mereka jika faktor-faktor ini berjaya dikecapi, maka secara automatiknya mereka pasti memiliki kebahagiaan.

Disebabkan itulah, kita lebih suka berlumba-lumba dan berhempas pulas untuk melakukan apa sahaja demi memiliki harta yang banyak, kuasa pemerintahan, rupa paras yang menawan dan lain-lain lagi. 

Tetapi renungkan semula, adakah ini hakikat kebahagiaan yang sebenar?

Lihatlah pada Steve Jobs, seorang bilionaire dan antara perintis inovasi yang terhebat di abad ini. Beliau sendiri mengakui bahawa kematian itu adalah hukum semulajadi dalam kehidupan ini yang tidak boleh disanggah mahupun dielakkan. Walaupun segala usaha dan sumber kemewahannya digunakan untuk melawan serta mengubati kanser pankreas yang deritainya sejak bertahun-tahun, akhirnya beliau meninggal dunia pada tahun 2011.

Begitu juga pada nasib Raja Perancis, Louis XVI yang dipenggal kepalanya dengan guillotin sewaktu Revolusi Perancis meletus pada Januari 1793. Biarpun beliau memiliki askar yang ramai dan kuasa raja yang mutlak, namun itu tidak mampu melindunginya dari kejatuhan akibat penentangan oleh rakyatnya sendiri.

Malah, kita sendiri juga banyak digemparkan oleh berita-berita mengenai kematian selebriti terkenal akibat penyalahgunaan dadah, bunuh diri, atau dibunuh oleh peminat-peminat mereka serta skandal-skandal yang menjatuhkan dan memusnahkan hidup orang-orang terkemuka dan banyak lagi.

Oleh itu saya tanyakan semula, adakah kekayaan, kuasa, populariti, rupa paras dan kecerdikan mereka itu mampu memberikan erti kebahagiaan sebenar?

Pastinya tidak, kerana ada sesuatu yang ‘hilang’ di sebalik lambakan kelebihan dan kenikmatan yang mereka perolehi.

Allah SWT berfirman mengingatkan kita:-

“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.”

Surah al-Mulk 67:2

Fitrah kehidupan ini adalah untuk diuji sama ada dengan kenikmatan mahupun kesukaran. Namun bila kita bertekad bahawa ujian itulah yang memusnahkan kebahagiaan, maka tiada seorang manusia di atas dunia ini mampu merasai bahagianya diuji Allah SWT.

Apabila Allah SWT mendatangkan kemiskinan, krisis hidup, penyakit mahupun difitnah atau dipandang hina oleh masyarakat, itu bukanlah punca kehilangan bahagia yang sebenar. Tetapi segalanya bermula dari soal hati.

Saya datangkan satu contoh mudah untuk kita fahami. Bayangkan ujian itu adalah air limau nipis dan hati manusia itu adalah tangan. Jika kita siramkan secawan air limau nipis pada atas tangan yang tiada sebarang luka mahupun kecederaan, pastinya kita tidak akan terasa apa-apa. Malah tangan menjadi wangi pula.

Sebaliknya, jika kita letakkan pula air limau nipis itu pada tangan yang parah dengan luka, biarpun setitis yang jatuh pastinya kita akan terasa kepedihan dan keperitan yang teramat sangat.

Ini kerana tangan yang luka itu diibaratkan hati yang sakit dengan sifat-sifat mazmumah. Sedikit sahaja Allah SWT menguji kita dalam hidup ini pun, terasa bagaikan dunia sudah pun kiamat buat kita.

Oleh itu, cuma hati yang tenang serta terhindar dari sifat-sifat mazmumah sahaja mampu merasai kebahagiaan dalam menghadapi segala dugaan dan ujian dalam hidup ini. Hakikatnya, ujian-ujian yang tiba ini dapat menyerlahkan keadaan sebenar hati seseorang yang sudah lama tidak bahagia. 

Sepertimana sabda Rasulullah SAW:-

“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati.”

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Kaya hati itu adalah jiwa yang dipenuhi dengan rasa tenang serta lapang dan senantiasa berasa cukup dengan apa yang dimiliki dan diberikan oleh Allah SWT. Inilah yang dinamakan kemuncak bahagia dalam hidup apabila hati ini senantiasa mendorong kita ke arah kebaikan dan menghindari segala larangan-Nya.


Bak kata Imam al-Ghazali RH, bila Islam itu mudah dipatuhi tanpa mujahadah dan susah payah, itulah hakikat sejati kemuliaan akhlak.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.