Syarat Memberi Dan Menerima Syafa'at
Namun, ada syarat-syaratnya yang perlu kita fahami dan perhalusi:-
# Syarat Pertama: Syafa'at cuma boleh diberi dengan keredhaan Allah SWT sahaja
Ini berdasarkan firman Allah SWT yang dirakamkan dalam al-Quran:-
“Pada hari itu, tidak berfaedah syafa'at (daripada dan kepada sesiapa pun) kecuali daripada orang yang diizinkan al-Rahman dan yang diredhai perkataannya.”
Surah Taha 20:109
Terdapat dua jenis syafa'at yang akan diberikan di akhirat nanti iaitu:-
Syafa'at umum
Permohonan ini diberikan kepada mana-mana hamba Allah SWT yang diredhai-Nya. Ada syafa'at yang datang dari para malaikat, para Nabi, para syuhada, orang Mukmin. Bahkan amalan seseorang itu sendiri juga mampu membebaskannya dari terjerumus dalam neraka Allah SWT.
Syafa'at khusus
Syafa'at ini cuma khusus diberikan oleh Nabi Muhammad SAW sahaja sepertimana yang Baginda SAW terangkan melalui hadith ini:-
“Setiap Nabi mempunyai doa yang telah dikabulkan, sedang aku ingin menyimpan doaku sebagai syafa'at untuk umatku di Akhirat nanti.”
Hadith Riwayat al-Bukhari No. 5945
#Syarat Kedua: Syafa'at cuma boleh diterima dengan keredhaan Allah SWT sahaja
Jika si pemberi perlu mendapatkan keredhaan Allah SWT, malah si penerima juga dimestikan dengan hal yang serupa. Al-Quran ada merakamkan kenyataan Allah SWT akan hal ini:-
“Padahal berapa banyak malaikat di langit, syafa'at mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendaki dan diredhai-Nya.”
Surah an-Najm 53:26
Begitu jelas Allah SWT menggariskan syarat bagi si penerima syafa'at, semuanya terdiri daripada orang-orang yang mentauhidkan Allah SWT sewaktu di dunia. Abu Hurairah R.A pernah bertanyakan kepada Rasulullah SAW tentang orang yang pasti mendapat syafa'at:-
Jawab Rasulullah SAW:-
“Orang yang mengakui ‘la ilaha illallah’ (tiada Tuhan melainkan Allah) seikhlas-ikhlas hatinya.”
Hadith Riwayat al-Bukhari
Oleh itu bagi orang-orang kafir dan orang Islam yang sengaja mensyirikkan Allah SWT serta tidak sempat bertaubat nasuha semasa hidup adalah golongan manusia yang tidak akan sesekali mendapat sebarang izin untuk menerima sebarang syafa'at nanti.
Bukan sahaja syafa'at, malah Allah SWT tidak akan mengampunkan mereka langsung.
Tegas Allah SWT:-
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mensyirikkan-Nya sedangkan Dia sudi mengampunkan selainnya bagi sesiapa sahaja yang diperkenankan.”
Surah an-Nisa' 4:48
#Syarat Ketiga: Pemberi syafa'at cuma boleh memohon atas keizinan Allah SWT sahaja
Secara umumnya, Allah SWT meredhai setiap orang Mukmin itu memberi syafa'at bagi menyelamatkan sesiapa sahaja yang mereka ingini. Tetapi semuanya perlukan keizinan Allah SWT terlebih dahulu biarpun keredhaan-Nya telah diperolehi.
Allah SWT ada merakamkan penjelasan-Nya di dalam al-Quran:-
“Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafa'at melainkan sesudah diizinkan-Nya.”
Surah Yunus 10:3
Saya ingin pula menarik perhatian anda semua akan satu hadith Nabi SAW ini:-
“Sesungguhnya para pengutuk tidak akan menjadi saksi, tidak juga pemberi syafa'at pada hari Kiamat.”
Hadith Riwayat Muslim
Hadith ini jelas menegur orang-orang yang suka menghina serta mengutuk saudara seagamanya sendiri. Berhati-hatilah......zaman kini, saya perhatikan begitu ramai orang Islam yang tidak menjaga nikmat lisannya sehinggakan kata-kata mereka yang keluar dari mulut itu selalu menyakitkan hati orang lain dengan sengaja.
Rasulullah SAW juga pernah bercerita mengenai perihal yang akan terjadi di hari Kiamat nanti. Seperti yang kita sedia maklum, Nabi Ibrahim A.S digelar ‘khalilullah’ (teman rapat Allah SWT). Namun di akhirat nanti, ketika Baginda A.S bertemu dengan bapanya, Nabi Ibrahim A.S segera berdoa kepada Allah SWT untuk menyelamatkan bapanya:-
“Tuhan, sesungguhnya Engkau telah berjanji kepadaku untuk tidak menghinaku pada hari kebangkitan”
Lalu Allah SWT menjawab:-
“Sesungguhnya Aku telah haramkan syurga buat orang kafir!”
Rujukan: Hadith Riwayat al-Bukhari
Sejahat mana pun seseorang itu, masih ada peluang yang diberikan Allah SWT kepada mereka, Rasulullah SAW pernah bersabda:-
“Allah SWT berfirman di hari akhirat:-
‘Para malaikat sudah memberi syafa'at.
Para Nabi sudah memberi syafa'at.
Para orang beriman sudah memberi syafa'at.
Kini tiada siapa lagi yang belum melainkan yang paling Penyayang daripada yang penyayang.’
Lalu Allah mengambil segenggam daripada neraka maka dikeluarkan sebilangan ahlinya yang tidak pernah beramal kebajikan sedikit pun.”
Hadith Riwayat Muslim
Wallahua'lam
Post a Comment