Header Ads

Periksa Amalan Hati


Sabtu lepas, saya bertemu dan bertamu di rumah salah seorang sahabat saya di Shah Alam. Bukan apa, sekadar untuk melihat khabarnya memandangkan saya diberitahu dia sedang mengalami krisis hidup yang agak mencabar.

"Segala yang aku rancang dah tak menjadi, Shah. Bisnes aku jatuh teruk. Anak-anak bencikan aku. Paling perit bila isteri yang menjadi teman setia aku selama ini pun dah menjauhkan diri. 

Apa dosa aku sampaikan Tuhan hukum aku macamni?"

Melihatkan wajah sahabat saya yang sedang bermuram durja itu, saya cuba memahami keadaan dan situasi hidupnya. 

"Kita ni cuma hamba-Nya." jawab saya pendek.

"Aku tak minum arak, aku tak berzina. Aku tak sentuh judi....rasuah jauh sekali. Tapi Allah hukum aku macam aku berdosa besar." rintih sahabat saya lagi.

"Cuba periksa dulu diri kita, bagaimana solat kita? Hubungan kita dengan al-Quran?" tanya saya bagi mengajak dirinya bermuhasabah.

Dia terdiam panjang, sedikit mengeluh.

"Memang kita tak buat perkara-perkara yang berdosa besar tapi pernahkah kita check amalan-amalan hati kita dengan Allah SWT?" sambung saya lagi.

"Amalan-amalan hati? Macamana tu Shah?"

Saya petik kata-kata dari Ibn Qayyim yang berkaitan dengan hal ini:-

"Ketahuilah, sesungguhnya seorang hamba hanyalah mampu melalui peringkat-peringkat perjalanan menuju keredhaan Allah dengan hati dan keinginan yang kuat, bukan sekadar perbuatan dengan anggota tubuhnya.

Dan taqwa yang hakiki ialah taqwa dalam hati dan bukan taqwa pada anggota badannya sahaja."

Lalu saya bertanya kembali pada sahabat saya ini:-

"Selami hati dan nilaikan. 

Adakah kita sabar dengan ujian dan cabaran? Syukurkah kita dengan nikmat yang Allah SWT beri? Dan taubat kita, rasa takut (khauf) kita kepada azab-Nya, pengharapan (raja') kita serta rasa malu kita kepada Allah SWT?

Kemudian peringkat seterusnya pula, dengan keikhlasan, sangka baik kita dengan Allah SWT. Itulah amalan-amalan hati. Cuba nilaikan......"

Sahabat saya terdiam lagi......kali ini, tampak dia sedang memikirkan apa yang saya katakan tadi. 

"Aku mengaku aku tak jaga solat sebab terlalu busy dengan bisnes. Selalunya akhir-akhir waktu, kadang-kadang tertinggal terus. 

Baca Quran? Entahla.....dah lama aku tak sentuh. 

Aku terasa yang hati mula tak tenang dan kosong. Tapi aku sibukkan diri aku dengan bisnes, biar aku tak fikir sangat itu semua. Lama-lama, tetap juga tak jadi apa-apa.......macam ada sesuatu yang tak kena dalam hidup ni." terang sahabat saya itu dengan panjang lebar.

Kemudian, dia menangis. Benar-benar menangis, tersedu-sedu. Saya yang berada di sisinya hanya mampu menenangkan sahabat saya itu.

"Allah SWT mahu kita mengingati-Nya. Dah terlalu lama Dia rindukan tangisan dan rintihan hamba-Nya ini, lalu dia datangkan ujian dan dugaan pada kita. 

Dia mahu kita kembali pada-Nya sebab itulah Dia putuskan hubungan kita dengan makhluk-Nya terlebih dahulu....supaya kita berharap semula kepada-Nya", saya memujuknya.

"Aku rasa berdosa sebab melupakan-Nya......"jawab sahabat saya itu.

"Namun Allah SWT tidak pernah melupakan kita. Dan Allah SWT tidak akan pernah mengecewakan. Dia takkan pernah meninggalkan kita biarpun seluruh manusia berbuat begitu pada kita." pujuk saya lagi, semoga dapat memberikan sahabat saya itu kekuatan.

Bukan mudah untuk menjaga hati, apatah lagi di masa diri diuji sedemikian rupa. Tetapi inilah gunanya amalan hati, supaya jiwa tidak akan sesekali tersasar dari berada di jalan kehambaan

Bukan sahabat saya ini sahaja teruji, bahkan saya sendiri juga.

Adakalanya, apabila diuji Allah SWT, jiwa masih memberontak. Hati ini masih belum mampu bersangka baik dengan apa yang ditentukan-Nya. Kadangkala tega pula bertanya mengapa terhadap takdir yang berlaku dalam hidup.

Kita semua serupa sahaja. Cuma bentuk ujian mungkin tidak sama.


"Kenapa aku tak disayangi? Padahal aku dah berikan sepenuh kasih sayang pada keluarga aku. Kenapa, Shah?" tanya sahabat saya tiba-tiba.

Soalan sahabat saya itu membuatkan saya pula terdiam. Lama juga saya mencari-cari jawapan.

"Mungkin kita menyayangi bukan dengan cara yang benar." jawab saya spontan.

"Maksud kau? Makan minum mereka terjaga, hidup juga selesa. Apa lagi yang kurang, Shah?", tanya sahabat saya lagi, kali ini bertubi-tubi soalannya.

"Itu soal dunia. 

Tapi bila kita menyayangi mereka kerana Allah SWT, soal kebajikan akhirat mereka lebih penting. Dan satu lagi......jangan terlalu mengharap kasih sayang dari manusia, kerana adakalanya mereka sering mengecewakan.

Sayangilah Allah SWT terlebih dahulu kerana kasih sayang-Nya tidak terbatas. Mahkluk ciptaan-Nya boleh berubah-ubah tapi bukan sang Pencipta-Nya.", terang saya sambil memberikan peringatan kepada sahabat saya dan juga diri saya sendiri.

"Aku banyak tersilap selama ni....."ujar sahabat saya, matanya berkaca, suaranya mulai sebak.

Saya menenangkannya kembali.

"Sayangi Allah SWT dan barulah sayangi diri sendiri sebelum menyayangi orang lain. Bila kita mampu menyayangi orang lain, pasti kita disayangi mereka pula. 

Jangan terus menerus bersedih macamni dan tak perlu nak musnahkan hidup bergelumang dengan rasa putus asa dan kecewa. 

Bangunlah dari kegagalan......"

Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui hati-hati hamba-Nya yang sedang dilanda ujian sebegini. Melakukan apa yang saya perkatakan itu bukan semudah yang dituturkan. Tetapi, inilah fitrah hidup orang Mukmin.

Bila diuji, kita perlu bersabar; bila dirahmati, kita segera bersyukur.

Sahabat saya menangis kembali. Biar segala yang terbuku di hatinya dikeluarkan sehabisnya. Lebih-lebih lagi jika diiringi dengan tangisan kesedaran dan keinsafan.

"Ada ke harapan isteri dan anak-anak aku akan balik semula?"

"Insya-Allah.....bersangka baiklah dengan Allah SWT. Yakinlah yang Allah SWT mampu mengubah hati-hati mereka. Segala-galanya berada di dalam genggaman-Nya" pujuk saya, sambil berdoa di dalam hati agar semua itu jadi kenyataan suatu hari nanti.

Dalam pada itu, saya teringat akan satu doa:-

"Sesungguhnya kami ini kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. 

Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya."

Wallahua'lam

Powered by Blogger.