Header Ads

Pelajari Dan Fahami Al-Quran


Al-Quran adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh manusia untuk dijadikan panduan dan sumber ilmu. Ia disampaikan melalui Malaikat Jibril secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW selama 23 tahun

Kalau kita lihat pada kitab-kitab samawi yang terdahulu, contohnya kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa A.S dalam bentuk bertulis dan sudah lengkap. Kitab Injil pula diturunkan secara terus dalam hati Nabi Isa A.S sejak kecil lagi. Bahkan ada riwayat yang menyatakan kitab Zabur juga disampaikan kepada Nabi Daud A.S secara lengkap sekaligus.

Ada banyak hikmah mengapa al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Salah satunya supaya kita sedar bahawa ilmu itu mesti dipelajari secara satu persatu dan perlahan-lahan agar kita dapat memberikan perhatian terbaik dan seterusnya lebih faham serta arif.

Al-Quran bukannya boleh dibaca santai-santai seperti novel, suratkhabar atau majalah; ilmu yang terkandung di dalamnya datang dari Allah SWT sendiri. Jadi, jika kita hendak memahami sesuatu yang hebat seperti al-Quran, tempoh yang diambil itu sememangnya lama dan perlukan penelitian yang mendalam.

Tapi kebanyakannya tak buat sedemikian. 

Ada yang malas nak baca al-Quran sampai naik tebal habuk bersarang di kulit kitab itu. Kalau dibaca pun, setahun sekali di bulan Ramadhan dek teruja nak khatam al-Quran beramai-ramai bila nak menjelang Aidilfitri. Ada juga yang baca seminggu sekali, itupun baca Surah Yasin pada malam Jumaat sedangkan surah-surah yang lain pun tak pernah dijenguk.

Pada yang rajin membaca al-Quran, datang pula penyakit malas nak bertadabbur untuk memahami terjemahan dan tafsirnya. Sia-sia sahaja Allah SWT datangkan peringatan berjela-jela dalam wahyunya itu tetapi kita tak ingin nak ambil tahu sedikit pun. Akhirnya, kita leka ambil panduan dari yang sumber selainnya akibat hati kita tadi Allah SWT tutup daripada kebenaran.

Kalau tak percaya, ini penjelasan yang al-Quran rakamkan:-

“Dan sesiapa yang tidak mempedulikan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu jadilah syaitan itu teman karibnya.

Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Surah al-Zukhruf 43:36-37

Banyak saya lihat orang-orang kita beria-ia guna ayat al-Quran ini sekadar nak jadikan azimat bagi melariskan perniagaan, nak tundukkan hati si suami atau isteri mahupun sebagai pendinding menjaga harta benda. Siap digantung ayat seribu dinar di atas pintu kedai atau pintu rumah, kononnya untuk tarik masuk keberkatan.

Kemudian, yang lebih menggelikan hati, al-Quran kecil disimpan dalam kereta untuk dijadikan pendinding supaya tidak diganggu oleh hantu. Tampak sekali kehebatan taraf al-Quran yang merupakan sumber ilmu itu jatuh kepada menjadi alat untuk mendapatkan sesuatu atau alat pelindung diri.

Sedangkan al-Quran itu mesti dibaca dan difahami isi kandungannya; diamalkan segala suruhan dan perintah di dalamnya. Tidaklah Allah SWT memulakan wahyu pertama yang disampaikan kepada Rasulullah SAW itu dengan perintah membaca.

Cuba hayati firman Allah SWT ini:-

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.

Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Surah al-Alaq 96:1-5

Dua kali Allah SWT ulang dengan suruhan ‘bacalah’ kepada kita. Oleh itu, keutamaan hak al-Quran kepada kita adalah untuk kita baca bukannya digantung dalam frame perhiasan atau dijadikan sebagai hadiah mahupun dibuat azimat semata-mata.

Akhirnya kita jadi rugi sebab terjerumus dalam melakukan perkara khurafat padahal kita bersangka-sangka amalan itu buat kita jadi ahli syurga.


Belajarlah perlahan-lahan untuk memahami al-Quran. Biarpun kita selalu khatam al-Quran sebulan sekali atau kita menghafal semua 30 juzuk; jikalau kita tak faham satu apa maknanya.....semua itu sia-sia belaka.

Ibarat kita menonton drama dalam bahasa Jepun atau Korea. Kalau tiada subtitle disediakan, pastinya kita terpinga-pinga nak memahami apa yang terjadi. Walaupun kita dapat lihat lakonan watak-wataknya dan mendengar skrip yang dituturkan, ia tetap tidak dapat membantu sepenuhnya. 

Kalau watak heroin cerita itu sedang menangis pun, kita tak tahu apa sebab dan puncanya. Akhirnya, kita mampu mengagak-agak sahaja apa yang terjadi.

Begitulah juga yang dilakukan oleh ramai orang dengan al-Quran. Bila kita tak faham, kita suka buat-buat pandai dalam menafsirkannya. Maka jadilah kita golongan yang sesat dan menyesatkan pula, lebih-lebih lagi kalau dipanjangkan tafsiran kita itu pada yang lain.

Ayuh, carilah guru yang bersanad dan mulakanlah kita menanam rasa cinta pada al-Quran itu dengan memahami isinya.

Wallahu’alam 

Powered by Blogger.