Header Ads

Keinginan Yang Melalaikan


Saya mulakan posting kali ini dengan firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Wahai orang-orang yang beriman! 
Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-beranak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). 

Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”

Surah al-Munafiqun 63:9

Menariknya, inilah dua elemen dalam kehidupan manusia yang selalu diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran; anak-anak dan harta kekayaan. Ramai manusia sering terleka dan alpa dengan mengejar banyak benda di dunia ini, sehinggakan mereka selalu melupakan Allah SWT.

Amat pelik sebenarnya, kerana bila kita dikurniakan oleh Allah SWT dengan harta yang bertimbun-timbun, pangkat mahupun kuasa pemerintahan serta waris keturunan yang baik-baik; sepatutnya rasa syukur dan tawadduk itu perlulah lebih menebal dalam diri.

Namun, sebaliknya pula yang terjadi.

Ramai manusia yang buta hatinya daripada menerima kebenaran bahawa dunia ini adalah tempat yang sementara. Yang ada hanyalah keinginan-keinginan duniawi yang sedikit pun tidak memberikan apa-apa faedah untuk para pengejarnya. 

Di sini, saya jelaskan sedikit sebanyak cabang-cabang keinginan yang menjadi punca kita lalai terhadap Allah SWT:-

#1 Keinginan untuk memiliki banyak benda

Ada manusia yang siang malamnya dihabiskan dengan mencari harta benda. Bangun dari tidur sahaja, fikirannya sudah ligat memikirkan tentang urusan perniagaannya, pelaburan mahupun jumlah keuntungan yang ingin diperolehi sebelum hari itu berakhir.

Kemudian, dia sibuk pula menambah apa yang kurang dan selagi tidak dapat, dia tidak akan berpuas hati. Hidupnya hanya dimanfaatkan semata-mata untuk memenuhi kehendak materialistik yang sementara.

#2 Keinginan bersaing dengan orang lain demi hal-hal keduniaan

Dalam hati orang sebegini, mereka lebih leka membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain. Tidak boleh orang lain kaya sedikit atau maju sedikit daripada mereka, pastinya timbul rasa dengki dan seboleh-bolehnya dikerah segala usaha dan daya untuk mengatasi orang lain.

Sepanjang masa, mereka akan memastikan tiada siapa pun yang lebih hebat dari mereka. Itu membuatkan hidup mereka dipenuhi dengan pembaziran, kerugian dan kebodohan sahaja.

#3 Keinginan menunjuk-nunjuk kelebihan yang diperolehi

Ini pula adalah kesinambungan yang selalunya terjadi dari keinginan #2. Bila dirinya dah terasa lebih hebat dari orang lain, timbul pula rasa untuk dikagumi dan disanjungi. Lalu mulalah dia menunjuk-nunjuk kepada orang lain sambil membangga diri.

Kadang-kadang, cara orang sebegini begitu halus dan tidak secara terangan-terangan, mulanya dengan sekadar bertanya-tanya perihal orang lain. Lama-kelamaan, menyinggah pula cerita tentang apa yang dia ada dan telah capai dalam hidupnya.

Semakin ramai yang mengagumi dia, semakin parah hatinya dirasuk rasa takbur dan gila dipuji-puji.

#4 Keinginan untuk memenuhi kehendak yang tidak pernah puas

Cuba kita perhatikan sikap orang-orang yang sibuk mengejar keduniaan ini. Bila kita sudah berjaya memiliki satu benda, kita kejar pula benda yang lain dan seterusnya sehinggalah dunia pula meninggalkan kita.

Kehendak yang tidak pernah akan puas ini seperti perigi buta yang dalamnya tidak terjangkau. Kalau diisi sekalipun dengan seluruh dunia ini, memang kita tak akan dapat memenuhinya. Bila kita dah bergelar millionaire, target seterusnya adalah untuk digelar billionaire pula. Lepas satu, datang satu lagi yang takkan ada kesudahannya langsung.

Inilah yang Allah SWT tegur dalam al-Quran melalui firman-Nya:-

“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-anak, pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur.”

Surah at-Takathur 102:1-2


Kita banyak lalai dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah langsung untuk akhirat nanti. Kita tidak faham apa tujuan kita hidup di atas mukabumi ini, apa tujuan kita diberikan nikmat-nikmat sebegitu dan sebegini..............hanya kerana kita terlalu sibuk mempertuhankan dunia.

Allah SWT telah mewahyukan kepada kita Kitab-Nya untuk dijadikan petunjuk dan panduan, serta menghantarkan para Rasul-Nya sebagai penyampai kebenaran. Selain itu, Allah SWT jadikan pula kematian dan hari Kiamat itu sebagai peringatan muktamad untuk kita senantiasa bersedia dengan bekalan amal ibadah kita.

Semua ini adalah untuk mengelakkan kita dari menjadi manusia yang lalai dari mentauhidkan-Nya.

Hayatilah penjelasan Allah SWT mengenai hakikat dunia yang fana' (sementara):-

Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan, juga (cara hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak…..”

Kemudian di hujung ayat ini, Allah SWT mengakhiri pula dengan suatu peringatan:-

“Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

Surah al-Hadid 57:20

Wallahu’alam 

Powered by Blogger.