Header Ads

Melentur Buluh Biarlah Daripada Rebungnya


Percaya atau tidak, hampir 70 peratus anak-anak muda kita sama ada lemah dalam membaca al-Quran atau tidak tahu baca langsung. Saya pernah membaca beberapa kajian dari penyelidik akademik yang menjalankan bancian am mengenai kadar kemahiran bacaan al-Quran remaja-remaja di pelbagai peringkat umur dan taraf pendidikan.

Umumnya, mereka menyatakan biarpun selama 6 tahun remaja-remaja ini didedahkan dengan bacaan al-Quran sewaktu di bangku sekolah menengah, namun mereka masih tidak dapat menguasai tahap bacaan yang memuaskan.

Ada yang bacaannya merangkak-rangkak, ada juga tidak dapat membunyikan mahkraj huruf dengan tepat serta tajwidnya yang lintang-pukang dan ada yang tidak tahu langsung membaca al-Quran. Inilah hakikat yang paling menyedihkan, bila melihat anak-anak muda kita begitu jauh dari al-Quran.

Puncanya, bermula dari didikan awal oleh ibu bapa sendiri. 

Dari umur 3 tahun, kebanyakan ibu bapa kurang menitikberatkan pendidikan awal al-Quran pada anak mereka. Anak-anak di umur sebegini lebih mengenal huruf ‘ABC’ berbanding huruf-huruf Arab. Alasannya, takut jikalau anak-anak ini tidak tahu membaca bila masuk ke tahun satu di sekolah rendah.

Padahal otak anak-anak kecil di umur ini berkembang dengan begitu pesat membuatkan memori mereka menjadi cerdas. Malah mereka mampu menerima input-input dengan baik berbanding orang yang lebih dewasa. Selain itu, di kala 3 tahun, jiwa anak-anak itu masih suci dan murni daripada pengaruh luar.

Inilah peluang terbaik untuk ibu bapa mendekatkan anak-anak mereka dengan kalamullah agar hati dan fikiran mereka terpaut dengan hikmah dan teladan yang datangnya dari al-Quran ini.

Lihat pada Imam as-Syafi’e RH yang mula diajar oleh ibundanya membaca al-Quran sejak berumur 2 tahun lagi. Kemudian beliau berjaya menghafal al-Quran bila mencecah umur 7 tahun. Apabila beliau berumur 10 tahun pula, Imam as-Syafi’e menjadi guru kepada orang-orang yang ingin belajar menghafal al-Quran.

Kita semua sedia maklum akan perjalanan hidup serta pencapaian Imam as-Syafi’e ini. Seorang anak muda yang hatinya sebati dengan al-Quran, menjadi pelopor utama Mazhab Syafi’e yang disegani ramai disebabkan ketinggian ilmunya malah nama beliau begitu harum sehingga kini.

Zaman sekarang, keruntuhan akhlak dan agama adalah isu yang paling ketara di kalangan anak-anak muda kita. Bukan sahaja akhlak mereka sahaja yang sudah rosak, malah ibadat dan identiti Islam mereka juga entah ke mana

Budaya zina makin berleluasa, lazimnya berlaku pada remaja yang berumur seawal 13 tahun lagi. Selain itu, ramai remaja yang menyertai geng-geng samseng. Tambahan pula, mereka terjebak dalam kes mencuri, peras ugut, pecah rumah, rompakan dan lebih teruk sehingga ada yang berani membunuh.

Tidak perlulah kita hendak tanyakan tentang solat, puasa dan lain-lain, pastinya kita sendiri tahu akan jawapan tersebut.

Pendek kata, semuanya bermula dari didikan anak-anak itu sendiri; sedekat atau sejauh mana jiwa mereka dengan al-Quran. Jiwa yang dekat dengan al-Quran, insya-Allah akan terpelihara dari bahana kemaksiatan dan dosa-dosa besar. Tetapi pada jiwa yang jauh dari al-Quran, hidup mereka lebih bertuhankan nafsu dan logik akal semata-mata.


Saya ingin kongsi satu anekdot mengenai seorang rakan yang saya kenali sewaktu saya belajar di luar negara dahulu. Ketika itu, kami bertemu di London semasa cuti musim panas. Rakan saya itu baru sahaja sampai untuk mendaftar di salah sebuah universiti di sana. 

Walaupun kami sebaya, selama 3 tahun dia tidak masuk ke mana-mana pusat pengajian tinggi selepas mendapat keputusan SPM. Mula-mulanya saya agak kehairanan namun mungkin dia atau keluarganya ada sebab-sebab yang tersendiri.

Bila saya tanyakan sebabnya itu, dia menerangkan:-

“Sebelum aku ke sini, aku dihantar oleh datuk ke sekolah pondok untuk menghafal al-Quran. Alhamdulillah, aku dah berjaya juga. Kemudian, barulah aku datang ke sini untuk teruskan degree.”

“Hafal al-Quran? Masya-Allah, untuk apa pula?” tanya saya lagi.

“Datuk aku cakap, sebelum aku pergi menuntut ilmu dunia, dia nak aku penuhkan dada aku dengan ilmu al-Quran. Bila al-Quran ada dalam diri aku, insya-Allah, walau aku dihantar belajar ke mana-mana pun, iman dan Islam aku mampu terjaga” jawabnya pula.

Bila saya teringat kembali kata-kata rakan saya itu, barulah saya mengerti tindakan datuknya menyuruh dia mendalami ilmu al-Quran terlebih dahulu. Al-Quran adalah panduan utama yang patut kita gunapakai di dalam kehidupan ini. Tanpanya, iman dan Islam kita pasti akan terumbang-ambing dihentam arus godaan dunia dan pujukan hawa nafsu.

Disebabkan itulah cinta kepada al-Quran itu perlu dipupuk pada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Semuanya demi mencorakkan hamparan jiwa mereka dengan warna-warni Islam dan iman sebelum melangkah ke alam dewasa

Bak kata orang-orang dulu:-

“Kalau melentur buluh, biarlah daripada rebungnya”

Wallahu’alam 

Powered by Blogger.