Header Ads

Jangan Terlalu Membenci

Sedar atau tidak, pasti kita akan bertemu dua jenis manusia ini; kawan atau lawan. Mereka yang menjadi kawan adalah insan-insan yang kita sayangi dan dekati. Manakala yang menjadi lawan pula merupakan insan-insan yang kita pasti jauhi dan membenci.


Tidak salah jika kita mempunyai kedua-dua golongan manusia ini dalam hidup, kerana ia juga merupakan fitrah yang telah ditentukan Allah SWT. Cuma Islam mengajar kita dalam menyayangi dan membenci, supaya kita mampu menjaga etika untuk berkawan dan berlawan.

Kesederhanaan (wasatiyyah) itu penting, supaya kita tidak melampau-lampau dalam mencintai mahupun membenci agar mata kita tidak buta dari melihat kebenaran.

Bahkan Allah SWT ada menggariskan panduan-Nya di dalam al-Quran untuk kita ikuti:-

"Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. 
Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. 
Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. 

Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." 

Surah al-Mai'dah 5:8

Pernahkah ketika melihat orang yang kita sangat benci ditimpa kesusahan, lalu hati berkata:-

"Padan muka! 
Itulah balasan Allah untuk kau....makbul juga doa aku akhirnya!"

Iya.....dosa dan kezaliman mereka terhadap kita mungkin terlalu banyak dan sukar dikira. Tetapi ia tidak memberi ‘lesen’ besar pada kita untuk membenci secara melulu sebegini. Bahkan fikiran kita diracuni dengan pelbagai buruk sangka serta kita selalu meniatkkan yang tidak elok untuk insan yang dibenci.

Maka berjaga-jagalah......itu tandanya hati kita juga sedang dilanda musibah. Bibit-bibit 'ego' mula bercambah, sehingga kita mula berasa diri inilah pusat segala kebenaran.

Jadi, biarpun kita di pihak yang dizalimi; itu tidak meletakkan kita di tempat yang betul sepanjang masa. Tiba pula perasaan yang menganggap diri ini 'baik' dan ‘benar’ dan mereka itu adalah 'salah' dan 'berdosa'.

Sedangkan mereka juga manusia, ada kelemahan dan khilafnya, seperti kita.....

Bukan apa, jika kita terus tenggelam dalam kebencian, ia akan menjadi bertambah parah. Makin lama, makin ramai yang dibenci oleh kita. Segalanya akibat perasaan ego tadi sudah tidak mampu dikawal lagi. 

Akhirnya, dalam hidup ini kita tinggal berseorangan, yang kita kumpul dalam hidup ini hanya lawan berbanding kawan. Oleh itu, bagaimana kita mahu membenci dengan seadilnya serta menyayangi dengan seadanya?

Guru saya pernah menasihati:-

"Bila dizalimi, katakan: 'Alhamdulillah'. 
Kemudian, periksalah diri sendiri bukan orang lain. 
Tidak sampai mana pun khianat yang dilakukan terhadap kita. 

Yang bahayanya, jika kita yang berbuat khianat kepada mereka........."

Saya bawakan satu kisah di antara dua tokoh ulama' di Mesir, iaitu Ibn Daqiq al-‘Id dan Ibn Binti al-A’azzi. Atas sebab-sebab tertentu, hubungan mereka sentiasa diwarnai konflik pemikiran dan ulasan dalam hal-hal agama. Ramai sedia maklum yang kedua-dua tokoh ini saling mengkritik antara satu sama lain melalui penulisan kitab masing-masing.

Suatu hari Ibn Binti al-A’azzi telah melakukan satu kesalahan yang dimurkai oleh sultan dan wazir. Lalu mereka berpakat dengan mencipta satu tuduhan palsu yang menyatakan bahawa Ibn Binti al-A’azzi ini telah murtad.

Tuduhan itu telah ditulis atas selembar kertas dan diedarkan kepada setiap tokoh ilmuwan Mesir untuk ditandatangani sebagai persetujuan. Mereka semua akur akan tuduhan itu tanpa sebarang usul periksa

Apabila surat tuduhan itu sampai kepada Ibn al-Daqiq al-‘Id, beliau meneliti surat itu terlebih dahulu. Lalu beliau mencampakkan surat itu dan berkata:-

“Aku tidak akan ikut serta dalam membunuh seorang Muslim!”

Ramai yang begitu terkejut dengan kata-kata Ibn Daqiq al-‘Id itu memandangkan dia adalah salah seorang musuh ketat Ibn Binti al-A’azzi. Sekiranya tandatangannya diturunkan, maka terhapuslah musuhnya itu dari muka bumi ini.

Namun beliau tetap bertegas sehinggakan Ibn Binti al-A’azzi terselamat dari hukuman bunuh.

Perhatikan betapa hebatnya contoh yang ditunjukkan oleh para salafussoleh masa dahulu. Biarpun membenci, batasan wasatiyyah itu tetap dijaga agar senantiasa berada dalam keadilan syariat Islam. Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW amat diutamakan terlebih dahulu daripada terjatuh dalam perangkap ego dan emosi diri.


Oleh itu sahabat yang saya kasihi, Allah SWT hadirkan insan-insan yang kita benci dalam hidup ini juga ada hikmahnya.Tanpa cabaran, dugaan, cubaan dari mereka; kita takkan mampu mengenal erti kesabaran yang sebenar.

Bak kata Saidina Ali bin Abi Talib R.A:-

"Cintailah kekasihmu sekadarnya sahaja, siapa tahu ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti. 
Dan bencilah musuhmu sekadarnya sahaja, siapa tahu ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti. 

Kitab al-Musannaf melalui al-Hafiz Ibn Abi Syaibah

Wallahua'lam

Powered by Blogger.