Header Ads

7 Manusia Yang Dilaknat Malaikat


Para malaikat adalah mahkluk Allah SWT yang dijadikan dari 'nur' yang bersinar-sinar penuh kemuliaan dan kebaikan. Saban hari mereka senantiasa mendoakan kebaikan untuk orang yang beriman, bahkan mereka juga akan menjadi salah satu pihak yang memohon syafaat untuk kita di hari akhirat nanti.

Namun, ada juga sebilangan manusia yang dilaknat oleh mereka. Mengapa boleh sampai jadi begitu?

Di sini saya senaraikan 7 golongan manusia yang dilaknat oleh para malaikat berserta dalilnya:-

#1 Orang yang menghina Sahabat Nabi Muhammad SAW

Golongan ini telah lama wujud sejak dari dulu lagi sehinggalah sekarang. Mereka menolak hadith-hadith yang diriwayatkan oleh sahabat Rasulullah SAW malah mengkafirkan pula mereka atas sebab-sebab tertentu.

Tidakkan mereka teringat akan sabda Rasulullah SAW ini:-

"Siapa yang mencela sahabat-sahabatku, maka dia akan mendapat laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia." 

Hadith Riwayat at-Tabrani

#2 Orang yang melakukan kerosakan dan kemungkaran di Madinah

Madinah adalah tempat kediaman Rasulullah SAW, dan juga tempat Baginda SAW disemadikan. Bahkan Imam Malik RH sendiri jika berada di Madinah al-Munawwarah, beliau tidak akan menunggang kuda demi menghormati jasad Rasulullah SAW yang dikuburkan di bumi yang mulia itu.

Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda mengenai kemuliaan bumi Madinah al-Munawwarah:-

"Madinah tanah suci. 
Maka sesiapa yang melakukan suatu kekotoran atau membela pelakunya, dia akan mendapat laknat Allah, malaikat dan manusia seluruhnya. 

Pada hari kiamat kelak, amalannya tidak akan diterima baik yang sunat mahupun fardhu." 

Hadith Riwayat Muslim

#3 Orang mengubah nasab keturunan

Ada yang saya pernah lihat kes-kes yang terjadi di mana ibu bapa angkat Islam sengaja menukarkan ‘bin’ anak angkat yang dijaganya kepada nama mereka. 

Terdapat juga sebilangan ibu bapa yang terlanjur sebelum menikah, maka si isteri membinkan anak tidak sah taraf yang dilahirkannya itu kepada nama suami yang dikahwini demi menjaga nama keluarga. 

Perkara-perkara ini dilarang keras oleh Rasulullah SAW sendiri melalui sabdanya:-

"Siapa yang mengaku anak kepada bukan ayah kandungnya atau menisbahkan dirinya bukan pada walinya, maka dia akan mendapat laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia." 

Hadith Riwayat Muslim

#4 Orang yang memperlekehkan jaminan keselamatan yang diberikan seorang Muslim 

Seorang Muslim saling bergantungan dengan saudara seagamanya yang lain dalam pelbagai aspek kehidupan. Itulah hak serta akhlak yang dituntut dalam hablumminannas (hubungan sesama mahkluk).

 Sabda Rasulullah SAW:-

"Jaminan keselamatan orang Muslim sama sahaja. 
Orang yang paling rendah antara mereka pun boleh memberi jaminan keselamatan. 

Maka sesiapa yang mengkhianati janji mana-mana Muslim, maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia." 

Hadith Riwayat Muslim

#5 Isteri yang tidak menghormati suami

Kepatuhan kepada suami itu adalah tanggungjawab mutlak seorang isteri selagi suruhan si suami tidak bertentangan dengan syariat Islam. Alangkah ruginya si isteri jika amal ibadahnya telah sempurna tetapi dia nusyuz (derhaka) kepada suaminya.

Rasulullah SAW menegur sikap sesetengah isteri yang ingkar pada suaminya dengan sabda Baginda SAW:-

"Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur tetapi si isteri menolak ajakannya, maka para malaikat akan melaknatnya sehingga ke pagi." 

Hadith Riwayat al-Bukhari

#6 Orang yang suka menakut-nakutkan orang yang beriman

Islam adalah agama yang menitikberatkan keamanan. Intipati Islam itu sendiri menegah umatnya dari menimbulkan kekacauan dari segi percakapan, amalan agama, malah kelakuan dan akhlak kita sehari-hari. 

Sehinggakan Rasulullah SAW menasihati kepada para sahabat, jika mereka membawa anak panah di kawasan awam maka mata anak panah itu hendaklah disembunyikan supaya tidak menimbulkan kerisauan di kalangan orang lain.

Apatah lagi bila kita sengaja pula mengugut saudara seagama kita dengan senjata sepertimana peringatan Rasulullah SAW ini:-

"Sesiapa yang mengacu pedang kepada saudaranya, maka sesungguhnya para malaikat akan melaknatnya meskipun yang diacukan itu ayah atau ibunya." 

Hadith Riwayat Muslim

#7 Orang yang mati dalam kekufuran

Syirik (menyekutukan Allah SWT) itu ada dua peringkat

Syirik yang besar apabila kita secara terang-terangan menduakan Allah SWT. Ini berkait rapat dengan kepercayaan kita dalam hidup ini. Ramai orang Islam yang amalannya bercampur aduk dengan perkara khurafat menyebabkannya jatuh kufur pada Allah SWT.

Syirik yang kecil pula ialah apabila kita bersifat ri’ak dalam beramal. Di hati mengharapkan pujian manusia berbanding redha Allah SWT. Betapa ruginya jika kita tidak sempat bertaubat dari kedua-dua syirik ini.

Hayatilah firman Allah SWT agar menjadi pedoman buat diri kita selagi hidup di dunia ini:-

"Sesungguhnya orang kafir, dan mereka yang mati dalam kekufuran maka mereka itulah orang yang mendapat laknat Allah, malaikat serta manusia seluruhnya." 

Surah al-Baqarah 2:161


Wallahua'lam

Powered by Blogger.