Header Ads

Hargai Cemburu Isterimu


Wanita adalah mahkluk Allah SWT yang diciptakan dengan sifat cemburu.

Lebih-lebih lagi apabila sudah bergelar isteri. Namun cemburu seorang isteri itu adalah tanda kasih dan cintanya pada si suami. Jika tiada rasa cemburu, bermakna rumahtangga itu sedang dilanda masalah besar mahupun menuju ke ambang kehancuran.

Tetapi harus diingat, cemburu biarlah munasabah dan kena pada tempatnya.

Bila diri dijangkiti penyakit cemburu buta, bukan bahagia yang akan tiba malah derita pula datang menjelma. Oleh kerana itu Islam menyuruh agar kita wasatiyyah (bersederhana) dalam setiap apa yang kita lakukan.

Salah seorang kenalan saya adalah satu contoh terbaik untuk saya ambil sedikit pengajaran dalam menangani cemburu seorang wanita ini. Biarpun umurnya menjangkau 30-an, tetapi dia sudah beristeri dua.

Namun bukan mudah untuk di sampai ke tahap sedemikian rupa. Kematangan dan kepimpinan dalam diri perlu disemai agar dua bahtera yang dikemudinya itu tidak terumbang-ambing dilanda gelora dalam rumahtangga.

Pernah saya bertanyakan kepadanya, apa rahsia dan petua yang dia amalkan dalam rumahtangganya itu. Katanya mudah sahaja:-

“Bila seorang suami mampu memahami sikap cemburu seorang isteri, insya-allah, rumahtangganya pasti kurang bermasalah. 

Amalkan sunnah Rasulullah SAW semasa menghadapi kerenah cemburu isteri-isteri Baginda SAW.”

“Isteri Rasulullah SAW pun cemburu juga?” tanya saya dengan penuh minat.

Kenalan saya itu memulakan penjelasannya dengan satu cerita daripada Saidina Anas bin Malik R.A:-

“Suatu hari Rasulullah berada di rumah salah seorang isteri Baginda. Tidak lama kemudian, seorang khadam datang membawa sepinggan makanan untuk Baginda daripada isterinya yang lain.

Lalu isteri yang bersama Baginda ketika itu memukul tangan si khadam. Pinggan yang dibawanya pecah dan makanan berserakan di lantai. Nabi mengumpulkan serpihan pinggan yang pecah itu. Baginda juga memungut butiran-butiran makanan yang bersepah.

Baginda bersabda kepada para sahabat yang berada di situ:-

‘Ibu kamu sedang cemburu’

Nabi mengambil pinggan baru lalu memberikannya kepada khadam untuk diberikan kepada pihak pengirim makanan tersebut.”

Hadith Riwayat al-Bukhari

“Subhanallah...” puji saya apabila mendengar hadith itu.

Kenalan saya tersenyum, lalu menyambung penjelasannya.

“Rasulullah SAW tak pernah melarang isteri-isteri Baginda SAW untuk berasa cemburu. Kerana itulah fitrah seorang wanita. Islam tidak sesekali bertentangan dengan sunnatullah yang telah ditetapkan dalam hidup ini.

Sebagai suami, aku kenalah terima hakikat yang cemburu itu pasti akan ada. Tapi perlu dihadapi dengan kesabaran dan rasa tenang, tak perlu marah-marah ataupun nak memaki hamun.”

“Betul tu.....zaman sekarang, ramai suami yang cepat hilang akal dan suka jadikan isteri tempat mereka melepaskan geram” balas saya pula sambil menganguk tanda setuju.

Kemudian kenalan saya itu mengulas lagi:-

“Kadang-kadang isteri pertama aku yang tiba-tiba cemburu, kadang-kadang dua-duanya sekali. Mula-mula naik pening kepala bila memikirkannya.

Tapi sebagai suami dan juga ketua keluarga, kita jangan cepat emosi. Perempuan ni, mereka lebih cepat di mulut berbanding kita lelaki di akal. Itu sebabnya Allah SWT kurniakan pada kita kesabaran yang tinggi.

Bila mana-mana isteri aku mula marah-marah ataupun buat perangai, aku hadapi dengan sabar dahulu. Paling penting, kita diam dan pasang telinga tanpa balas apa-apa. Kita kena dengar apa yang isteri kita luahkan untuk kita kenal pasti apa puncanya.”

“Sebabnya?” tanya saya pula kehairanan.

“Orang yang sedang emosi ni, akalnya tertutup sementara. Kalau kita cuba menasihati masa itu juga, memang takkan menjadi. Nanti berperang mulut pula. Biarkan dulu dan bila keadaan jadi reda semula, kita datang beri pujukan dan nasihat. 

Tegur kesalahan mereka dengan tegas tapi membina bukannya menghina.

Ramai lelaki cepat melatah dan melenting dalam hal-hal macam ini. Api jangan dilawan dengan api......sebaliknya kita padamkan dengan air yang sejuk dan segar.”


Saya terdiam menghayati penjelasan kenalan saya itu. Sememangnya saya begitu kagum dengan cara dia mengambil contoh sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan rumahtangganya. 

“Lagi satu, janganlah rasa tercabar pula bila isteri buat perangai. Biarpun di depan orang lain ataupun anak-anak.

Tengok cara Rasulullah SAW dalam hadith yang aku bacakan tadi. Baginda SAW kutip satu persatu serpihan pinggan yang dipecahkan tu dan kemudian dengan tenang Baginda SAW berkata di depan sahabat-sahabat yang ada di situ semasa perkara itu berlaku:-

‘Ibu kamu sedang cemburu.’

Macam itulah yang kita kena praktikkan dengan kerap. Memang susah sebenarnya nak bersabar tapi contoh teladan kita sudah ada untuk diikuti. Buatlah sikit-sikit, walaupun tak dapat sepenuhnya ikut sunnah Rasulullah SAW ini. 

Usaha tu kena ada dan istiqamah.....”

Begitulah indahnya sunnah Nabi SAW. Sehinggakan soal cemburu juga ada teladan yang ditinggalkan oleh Baginda SAW untuk kita jadikan panduan. Jangankan dengan isteri, malah Baginda SAW sangat menjaga perasaan kaum keluarga dan juga sahabat handai

Bahkan Baginda SAW sendiri pernah mengatakan:-

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya kepada keluarganya. 
Dan aku ialah orang yang paling baik akhlaknya terhadap keluarga ku.”

Hadith Riwayat at-Tirmidzi

Buat suami-suami mithali di luar sana......hargailah nilai cemburu isteri-isteri mu.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.