Header Ads

Agar Hidup Didampingi Malaikat


Kewujudan para malaikat tidaklah begitu ketara dalam kehidupan kita kerana mereka tidak dapat dilihat melalui mata kasar. Tetapi kehadiran makhluk Allah SWT yang mulia ini tetap dirasai oleh hati-hati orang yang beriman. Kepercayaan kepada malaikat ini mampu mengubah sikap, mind-set serta tanggapan seseorang ke arah kebaikan.

Salah satunya adalah bisikan yang timbul di dalam jiwa mengarah kepada kebaikan oleh qarin (pendamping) yang terdiri daripada para malaikat mengatasi bisikan jahat oleh qarin (pendamping) yang terdiri daripada syaitan.

Bukan mudah untuk menjadikan diri kita ini didampingi oleh malaikat, namun kita boleh usahakan sebaik boleh sebenarnya. Di sini saya senaraikan beberapa strategi agar hidup kita senantiada ditemani oleh para malaikat:-

#1 Sentiasa menghadirkan diri dalam majlis-majlis ilmu

Dalam satu majlis ilmu bersama para sahabat, Rasulullah SAW ada mengingatkan melalui hadithnya:-

“Tidaklah sesekali sebuah kaum duduk dengan berzikir kepada Allah kecuali mereka akan dikelilingi malaikat dan akan disirami rahmat dan akan turun kepada mereka ketenangan. 
Allah akan menyebutkan tentang mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.”

Hadith Riwayat Muslim

#2 Melazimi bacaan al-Quran

Bagi yang menjadi al-Quran teman karib mereka, Rasulullah SAW juga menjelaskan akan kebaikan dari amalan ini:-

“Sesungguhnya rumah itu akan terasa luas bagi penghuninya, akan didatangi melaikat, dijauhi syaitan dan akan membanjir pula kebaikan di dalamnya, jika dibacakan al-Quran di dalamnya. 

Sebaliknya, rumah itu akan terasa sempit bagi penghuninya, akan dijauhi malaikat dan akan didatangi syaitan serta tidak akan banyak kebaikan di dalamnya jika tidak dibacakan al-Quran.”

Hadith Riwayat al-Darimi

#3 Para pelajar yang menuntut ilmu

Rasulullah SAW memberitahu kelebihan bagi orang yang suka menuntut ilmu melalui hadith ini:-

“Sesungguhnya malaikat membentangkan sayapnya untuk para penuntut ilmu kerana suka dengan apa yang dia tuntut.”

Hadith Riwayat at-Tirmidzi

#4 Golongan lelaki yang memakai wangi-wangian apabila ke masjid

Ini cuma khas untuk orang lelaki sahaja, terutamanya apabila mereka ke masjid untuk solat berjemaah. Rasulullah SAW menggalakkan amalan sebegini, sabdanya:-

“Sesiapa yang memakan bawang putih bawang mereka dan makanan tidak sedap baunya, maka jangan sekali-kali mendekati (memasuki) masjid kami, oleh kerana sesungguhnya para malaikat terganggu daripada apa-apa yang menganggu manusia.”

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

#5 Orang yang suka bersedekah

Banyak kelebihan bagi mereka yang suka menginfaqkan (bersedekah) harta benda mereka ke jalan Allah SWT. Bukan sahaja mereka didoakan malah para malaikat suka kepada orang-orang sebegini.

Rasulullah SAW bersabda:-

“Tiap-tiap pagi malaikat turun, yang satu mendoakan:-

‘Ya Allah, beri gantian untuk orang yang menderma’

Dan yang lainnya, berdoa:-

“Ya Allah, musnahkan harta si bakhil.”

Hadith Riwayat al-Bukhari

#6 Tidak meletakkan patung-patung perhiasan dan memelihara anjing di dalam rumah

Budaya menghiaskan rumah dengan patung-patung atau arca berupa manusia dan binatang adalah amalan orang-orang kafir. Ini perlu kita elakkan dari terikut-ikut. Bagi yang membela anjing pula, sekiranya untuk menjaga keselamatan ataupun untuk berburu, adalah dibenarkan tetapi tidaklah perlu sampai dijaga di dalam rumah.

Rasulullah SAW sendiri ada berpesan:-

“Malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan juga tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat patung.”

Hadith Riwayat Ahmad


Insya-Allah, apabila malaikat sudah bertamu di sisi kita malah di rumah-rumah kita; maka hati kita akan terasa lebih subur dengan ketenangan dan kebahagiaan. Diri menjadi lebih terpelihara dengan cetusan-cetusan hati yang senantiasa menuju ke arah kebaikan.

Lalu mujahadah kita pasti akan terbantu.

Hati yang bersih dan suci akan terkesan pada sikap dan peribadi seseorang. Percakapan dan tingkah lakunya didasari dengan sunnah Rasulullah SAW sahaja. Ditambah pula dirinya akan terhindar dari sifat-sifat mazmumah yang cuma merugikan.

Firman Allah SWT:-

"Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinan mereka dengan berkata: 
'Tuhan kami ialah Allah'

Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang lurus, maka akan turun malaikat kepada mereka dari masa ke semasa dan berkata:-

'Janganlah kamu bimbang dan bersedih, terimalah berita gembira bahawa kamu akan mendapat syurga yang telah dijanjikan kepada kamu'.

Surah al-Fussilat 41:30

Inilah dia janji Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang menjaga keimanan mereka. Sehinggakan dihantar para malaikat untuk memberikan semangat kepada orang yang beriman dengan khabar indah dari syurga.

Tidakkah kita teruja untuk direzekikan dengan nikmat sedemikian rupa?

Wallahua'lam

Powered by Blogger.