Header Ads

Kurang Akal Kurang Agama


Islam tidak pernah menghina wanita apatah lagi merendahkan martabatnya

Ini adalah satu persepsi buruk yang lazimnya dilaungkan oleh kebanyakan golongan feminis dan pejuang liberalis agama. Bahkan ada yang semakin berani menyelewengkan maksud hadith Rasulullah SAW demi menyokong kepentingan isu yang dipertahankan.

Salah satunya, adalah hadith ini:-

Pada Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Aidilfitri, Rasulullah melalui tempat kaum wanita bersolat dan Baginda bersabda:- 

Wahai kaum wanita! 
Bersedekahlah dan perbanyakkan istighfar kerana sesungguhnya aku melihat kebanyakan penduduk neraka adalah kaum wanita.” 

Mereka bertanya: “Sebab apa, ya Rasulullah?”

Jawab Rasulullah: “Kerana kamu suka mencerca dan derhaka kepada suami. Aku melihat kamu semua kurang akal dan agama (tetapi) sanggup merosakkan hati lelaki.”

Lalui mereka berkata: “Apa maksudnya kurang akal dan agama, ya Rasulullah?”

Nabi menjawab: “Bukankah kesaksian kaum wanita itu sama dengan separuh kesaksian kaum lelaki?”

Kata mereka: “Betul!”

Nabi menjelaskan: “Itulah maksudnya dengan kurang akal.”

Kemudian Baginda menyambung lagi: “Bukankah apabila wanita itu haid, dia tidak solat dan tidak pula puasa?”

Kata mereka: “Betul!”

Lalu Baginda menjelaskan: “Itulah maksudnya dengan kurang agama.

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Jikalau kita melihat hadith ini dari sudut maknawi, pastinya kita juga berfikiran seperti mereka. Inilah strategi utama golongan feminis dan liberalis dalam menyemai salah faham di kalangan orang awam, umumnya.

Bukan sedikit sebenarnya, orang-orang Islam kita yang termakan dengan dakyah yang mereka perjuangkan. Buktinya, sudah ada di depan mata kita dan tidak perlulah saya tudingkan jari pada sesiapa.

Buka mata dan lihatlah hakikatnya sendiri.

Oleh itu, saya terpanggil untuk memberikan sedikit penjelasan berpandukan ilmu yang saya perolehi dari kitab Tahrir al-Mar’ah fi ‘Asr al-Risalah karangan Abdul Halim Abu Syuqqah. Semoga salah faham dan tanggapan buruk kita dapat terkikis akhirnya.

Lihat semula pada hadith di atas, perkara pertama yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW adalah kaum wanita terdiri daripada mereka yang ‘kurang akal’nya. Ia bukanlah bermaksud wanita adalah mahkluk yang bodoh, dungu atau jahil.

Jangan pula kita lupa, antara perawi hadith-hadith Rasulullah SAW terdiri daripada isteri-isteri Baginda seperti Saidatina Aisyah R.A. Malah para sahabat banyak merujuk ilmu-ilmu daripada mereka. Oleh itu, tidak benarlah tanggapan kita bahawa wanita itu ‘kurang akal’ secara tersurat.

Para ulama' menafsirkan perkara yang tersirat di sebalik ungkapan ‘kurang akal’ ini dengan pendapat berikut:-
  • Kekurangan fitrah secara umum iaitu tahap kecerdikan
  • Kekurangan fitrah spesifik iaitu dalam matematik, imaginasi dan pencapaian
  • Kekurangan fitrah yang bertempoh seperti ketika haid, nifas dan kehamilan
Dalam konteks ini, ‘kurang akal’ boleh ditafsirkan dengan kekurangan fitrah secara bertempoh, sememangnya dialami oleh semua kaum Hawa. Contohnya, keupayaan fizikal dan mental mereka menjadi terbatas saat mereka sedang mengandung ataupun selepas bersalin kerana memerlukan masa panjang untuk berehat.

Namun ia hanyalah bersifat sementara.

Selain itu, contoh yang Rasulullah SAW kaitkan tentang sifat ‘kurang akal’ ini bertepatan pula dengan firman Allah SWT:-

“Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi...”

Surah al-Baqarah 2:282

Itu sebabnya, kita ditegah mentafsirkan sesuatu hadith itu tanpa mempelajari hal-hal yang tersirat di sebaliknya.

Kemudian, perkara kedua yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW adalah kaum wanita terdiri daripada mereka yang ‘kurang agama’nya. Ini satu lagi hujah yang selalu digunapakai oleh golongan feminis dalam menunjukkan Islam itu hakikatnya menjatuhkan maruah wanita. 

Biar kita sama-sama jelas akan hal ini; ‘kurang agama’ itu bukanlah bermaksud ‘kurang taqwa’nya di sisi Allah SWT. Kalau kita dapat perhalusi ungkapan ini, Rasulullah SAW sebenarnya ingin memberitahu bahawa mereka mendapat banyak pelepasan dalam syariat agama contohnya, tidak perlu solat dan berpuasa jika sedang haid, nifas.

Selain itu, pada mereka yang bergelar isteri; cukup mudah untuk mereka masuk ke syurga. Seperti sabda Rasulullah SAW ini:-

“Apabila seorang isteri mengerjakan solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya dan taat serta patuh kepada suaminya, akan dimasukkan ke dalam syurga.”

Hadith Riwayat Ibn Hibban dan at-Tabrani

Alangkah untungnya kaum wanita, bukan? Tidak seperti kaum lelaki yang terlalu banyak dan rumit tanggungjawab yang mesti mereka pikul, seperti solat Jumaat, memberikan nafkah kepada keluarga, keluar berjihad apabila diwajibkan. 

Saya ulang sekali lagi, ‘kurang agama’ bukanlah bermakna ‘kurang taqwa’. Biar siapa pun seseorang hamba itu, tidak kiralah lelaki atau wanita; Allah SWT hanya melihat pada iman dan amal mereka.


Cuba kita hayati firman Allah SWT ini untuk kita ketepikan salah faham dalam diri sendiri:-

“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.”

Surah an-Nisa' 4:124

Wallahua'lam

Powered by Blogger.