Adilkah Islam Pada Wanita?
Banyak isu yang disentuh, antaranya keadilan dan kesaksamaan yang Islam tawarkan buat kaum Hawa dalam soal pewarisan harta (faraid), hak kesaksian, syarat musafir dan tidak ketinggalan juga isu hijab pada aurat wanita Muslimah.
Pada saya, mereka yang tidak mendalami ilmu berkaitan pensyariatan perihal wanita ini pasti akan menganggapnya tidak adil. Namun, sebagai seorang Mukmin; tugas utama kita bukan untuk mempertikai dan mengubahsuai perintah Allah SWT tetapi mentaatinya dengan penuh keimanan.
Perlu kita letakkan iktikad (keyakinan) di dalam hati bahawa segala apa yang disyariatkan itu memiliki satu hikmah dan kebaikan untuk seluruh manusia serta relevan sepanjang zaman sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Kemudian, di akhir perbincangan; saya tarik pula perhatian mereka kepada cara wanita dilayan sebelum kedatangan Rasulullah SAW. Biarlah bingkisan sejarah ini sedikit sebanyak membuka mata kita, hakikat rahmat yang dibawa oleh Islam kepada kaum wanita, khususnya.
Kita telusuri dahulu tentang nasib kaum wanita pada era tamadun purba.
Di Babylon, martabat wanita begitu rendah bahkan hak mereka selalu dinafikan. Sehinggakan dalam undang-undangnya, sekiranya si suami disabitkan atas kesalahan membunuh seseorang maka isterinya yang akan menanggung hukuman balas bunuh tersebut.
Pelik bukan, sepatutnya hukuman itu diterima oleh pembunuh sebenar.
Kemudian, dalam Tamadun Yunani walaupun era ini dikenali sebagai zaman perkembangan ilmu pengetahuan, namun hak wanita masih tidak wujud atau diiktiraf sama sekali. Kalau kita lihat dalam mitologi Yunani, mereka menganggap wanita adalah mahkluk pembawa kecelakaan kepada kaum lelaki.
Seperti yang dikisahkan seorang wanita bernama Pandora dihantar oleh Zeus ke dunia bersama sebuah kotak dikenali sebagai ‘Pandora’s Box’. Dalam hikayat Perang Trojan juga mereka menyalahkan kebodohan seorang wanita; Helen of Troy yang lebih rela lari dengan lelaki lain berbanding hidup di sisi suaminya sendiri.
Malah, bangsa Yunani juga menganggap status seorang wanita itu sama seperti harta benda yang boleh mereka perdagangkan mahupun menjadi alat pemuas nafsu dalam kegiatan seks bebas ataupun pelacuran.
Beralih pula ke Tamadun Mesir, kepercayaan utama dalam agama mereka adalah wanita merupakan simbol kejahatan dan petanda daripada kuasa jahat. Nilai strata sosial juga sama seperti Tamadun Yunani di mana kaum wanita ini hanyalah sebagai simbol seks mereka.
Jikalau kita perhatikan sejarah yang tercatat pada zaman Jahiliyyah pun, kedudukan wanita tetap tidak mengalami apa-apa perubahan. Tradisi istibda’ adalah antara budaya yang menjadi kemestian dalam masyarakat ini.
Tradisi istibda’ merupakan satu cara yang digunapakai oleh kaum Arab Jahiliyyah kononnya untuk mendapatkan anak dari susur galur keturunan yang elok. Si suami akan menyuruh isterinya bersetubuh dengan mana-mana lelaki yang dipilihnya.
Sepanjang proses ini, si suami tidak akan menyentuh isterinya langsung dan hanya berbuat sedemikian setelah anak hasil dari persetubuhan dengan lelaki itu lahir. Sesetengah kabilah Arab pula membunuh bayi perempuan yang baru lahir atas dasar kepercayaan bahawa anak tersebut akan membawa aib pada keluarga mereka.
Oleh itu, kita sendiri boleh nilaikan adakah nasib kaum wanita sebelum Islam lebih adil dari apa yang mereka perolehi selepas kedatangan Rasullullah SAW?
Al-Quran merakamkan perintah Allah SWT agar kaum wanita menjaga aurat masing-masing dari pandangan lelaki yang bukan mahramnya. Tidakkah itu merupakan satu tindakan yang menjaga kehormatan dan kemuliaan wanita itu sendiri?
“Seorang Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.
Orang yang paling baik akhlaknya adalah yang paling baik terhadap isterinya."
Hadith Riwayat at-Tirmidzi
Kalau kita hayati pula antara punca kaum Yahudi Bani Qainuqa diusir dari Madinah adalah kerana perkhianatan yang dilakukan kaum ini mendedahkan aurat seorang Muslimah di pasar mereka. Tindakan itu mengundang peperangan sengit antara tentera Islam dan tentera Bani Qainuqa di dalam bulan Syawal, selepas terjadinya Perang Badar.
Lihatlah bagaimana seriusnya Islam menjaga kehormatan seorang wanita.
Sedihnya, zaman moden kini saya lihat taraf wanita seolah-olah kembali ke zaman sebelum Islam tiba. Ramai yang tidak menjaga kehormatan yang telah diberikan Islam bahkan tidak meletakkan jiwa dan akal mereka di tempat yang sepatutnya.
Padahal Islam sudahpun menempatkan kedudukan wanita itu sesuai dengan fitrahnya berdasarkan wahyu al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Jadi, saya mohon supaya tanyakan persoalan ini:-
Jadi, saya mohon supaya tanyakan persoalan ini:-
“Adakah syariat Islam itu tidak adil ataupun kita sendiri sebenarnya yang tidak adil?”
Gunalah akal, mari kita fikir-fikirkan.
Wallahua'lam
Post a Comment