Ajak Yang Baik Cegah Yang Mungkar
“Hendaklah ada antara kamu yang mengajak ke arah kebaikan; menyeru kepada perkara makruf dan mencegah perkara mungkar.
Dan merekalah orang yang berjaya.”
Surah Ali' Imran 3:104
Amar makruf bermaksud mengajak melakukan kebaikan kepada sesama manusia tidak kiralah dari sekecil-kecil amalan seperti senyuman sehinggalah sebesar-besarnya seperti berjihad di jalan Allah SWT. Ia merangkumi perkara-perkara yang dianjurkan oleh syariat Islam.
Manakala nahi mungkar itu pula mencegah segala kemaksiatan dan kemungkaran yang berlaku terangan-terangan di dalam masyarakat. Tidak kiralah kita mencegah dengan tangan (undang-undang), dengan mulut (nasihat dan teguran) mahupun hanya sekadar membenci dengan hati.
Tetapi ramai antara orang-orang Islam masakini sengaja tidak mahu melaksanakan perintah Allah SWT ini. Alasan yang selalu diberikan adalah kerana rasa segan dan malu, takut dimarahi, risau dipulaukan ataupun tidak mahu dilabel ‘penyibuk’ dan ‘tidak sporting’.
Puncanya, kita lebih takutkan manusia berbanding Allah SWT. Inilah hakikat sebenar iman kita, yang kebanyakannya tidak mahu terima bila saya katakan sedemikian. Masing-masing lebih suka berpeluk tubuh melihat kemungkaran berlaku di depan mata. Tiada siapa yang memiliki keberanian hendak menegur atau menasihati.
Jikalau ada yang menegur pun, kita tetap juga tidak mahu menyokongnya. Malah kita ‘kondem’ pula mereka dengan mengatakan ‘kubur masing-masing, tak usahlah kita sibuk-sibuk’. Tetapi tidakkah kita tahu, Rasulullah SAW pernah menegaskan:-
“Sesungguhnya apabila ada masyarakat melihat suatu perkara mungkar tetapi mereka tidak cuba membaikinya, maka semakin hampirlah Allah akan menimpakan kesemua mereka dengan azab!”
Hadith Riwayat Ibn Hibban
Biarpun ada peringatan sebegini daripada Rasulullah SAW, kita leka buat-buat pekak dan buta. Yang berdosa tetap berdosa, tetapi bagi kita yang melihat dosa itu terjadi; jangan fikir kita takkan menangung sama musibah dari kemungkaran itu.
Banyak azab Allah SWT sudah pun tiba dalam hidup kita semua sekarang ini. Dari masalah sosial dan jenayah yang makin membimbangkan dalam masyarakat, keadaan ekonomi yang semakin gawat, musibah penyakit yang pelik-pelik, bencana alam saban tahun dan sebagainya.
Jangan disalahkan harga minyak yang merudum, kesan kesihatan mental dan fizikal yang agak rapuh mahupun pencemaran alam sekitar yang tidak terkawal; semua itu penyebab sahaja. Sebaliknya, salahkan diri kita yang telah meninggalkan amar makruf nahi mungkar dalam hidup ini.
Sabda Nabi SAW itu bukanlah satu dongengan yang kita boleh gelak-gelakkan, ia adalah peringatan serius diwahyukan dari Allah SWT sendiri. Sebab itu saya katakan sesiapa yang tidak amalkan amar makruf nahi mungkar, bukanlah Mukmin yang sebenar.
Hanya Mukmin yang sebenar sahaja yakin dan taat pada perintah Rasul dan Tuhan-Nya.
Sindrom takut pada manusia ini banyak menyerang hati umat Islam, walaupun di kalangan para ulama' dan golongan agama dalam masyarakat kita. Yang berani menegur pun bilangan mereka boleh kita kira dengan jari. Selebihnya, saya sendiri tidak pasti ke mana perginya.
Cuba nilai diri kita sendiri berdasarkan checklist di bawah:-
- Mengajak kenalan-kenalan yang kita sendiri sedar mereka tidak bersolat untuk sama-sama berjemaah bila masuk waktu?
- Mempelawa adik-adik muda yang sedang melepak waktu kita hendak ke masjid agar ikut sama?
- Kerapkah kita bercerita dengan ahli-ahli keluarga mengenai ilmu-ilmu yang kita perolehi dari kuliah agama dan kitab-kitab yang kita pelajari?
- Banyakkah kita berkongsi ilmu-ilmu yang bermanfaat dan juga berdakwah di laman sosial?
Jika kita masih takut, malu dan segan untuk berbuat mana-mana perkara di atas; itulah petanda syaitan telah berjaya dengan cemerlangnya menipu kita. Hati kita diomok-omokkan dengan perasaan gelisah dan bimbang yang tidak bertempat kepada manusia sedangkan Allah SWT ada mengingatkan:-
“Maka, janganlah kamu takut akan mereka, sebaliknya takutlah akan Aku.”
Surah al-Baqarah 2:150
Peringatan sebegini diulang-ulang oleh Allah SWT dalam ayatnya yang lain seperti dalam Surah al-Ma'idah (ayat ke-44) dan Surah an-Nahl (ayat ke-51). Tidakkah kita terfikir jika Allah SWT mengulang-ulangnya, maka ia amat penting untuk kita jadikan pegangan dalam hidup ini?
“Janganlah ada antara kamu yang menghina diri sendiri.”
Para sahabat bertanya:-
“Bagaimana boleh ada orang yang menghina diri sendiri?”
Lalu Rasulullah SAW menjelaskan:-
“Dia mendapati sesuatu yang patut dia katakan tentangnya kerana Allah, tetapi dia tidak mengatakannya.
Pada hari kiamat kelak, Allah akan bertanya kepadanya: ‘Apa yang menghalang kamu daripada berkata pada ketika itu?’
Dia menjawab: ‘Takut pada manusia.’
Lantas Allah menempelak: ‘Akulah yang sepatutnya engkau lebih takutkan!’.”
Hadith Riwayat Ibn Majah
Fikir-fikirkanlah.....
Wallahua'lam
Post a Comment