Fikir Dahulu Sebelum Online
Kita tepuk dada dan tanyalah iman sendiri.
Di sini, saya sambung lagi dengan beberapa panduan untuk kita sama-sama gunapakai dalam berkongsi, meninggalkan komen serta berkomunikasi di laman sosial. Lebih-lebih lagi tabiat orang zaman sekarang ini yang gemar men’viral’kan sesuatu cerita tanpa berfikir dahulu.
#1 Dahulukan agama dan ketepikan dosa
Ini adalah perkara asas.
Dalam apa yang kita lakukan, cakapkan, niatkan dan fikirkan; semuanya perlu berada dalam batas-batas yang disempadani oleh syariat Islam. Utamakan perintah Allah SWT dalam apa sahaja yang patut dilakukan dan dicakapkan dan apa pula yang mesti ditinggalkan dan diperbetulkan jika sudah terlanjur dibuat.
Ada pula yang pasti berkata:-
“Walaupun saya selalu buat dosa dan kurang dalam bab-bab agama, tetapi hati saya tetap baik.”
Sudah-sudahlah dari terus bergelumang dengan pemikiran jahil sebegini.
Allah SWT telah menghantarkan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW untuk kita jadikan contoh dalam hidup ini.
Jadi, jika lihat pada akhlak dan peribadi Baginda SAW dan bandingkan pula dengan perangai dan tabiat kita, adakah kita cuba mengikut jejak langkah (sunnah) yang telah ditinggalkan?
Jadi, jika lihat pada akhlak dan peribadi Baginda SAW dan bandingkan pula dengan perangai dan tabiat kita, adakah kita cuba mengikut jejak langkah (sunnah) yang telah ditinggalkan?
Tak perlu nak terpengaruh sangat dengan style pemikiran orang ‘zaman sekarang’ sedangkan akhlak Rasulullah SAW masih relevan walaupun zaman sudah mencecah abad-21. Kalau Rasulullah SAW anjurkan bersangka baik, berbicara hal-hal yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang sia-sia dan fitnah; kita ikutilah dengan sebaik-baiknya.
Apa kata kita ubah cara dan pendekatan kita ke arah yang lebih baik dan berpahala. Jagalah diri kita dari hanyut dalam kelekaan dan kedegilan dari menidakkan agama. Lebih-lebih lagi, kita gemar berkongsi dosa ‘free’ dalam memanjangkan hal-hal dusta dan sia-sia di alam maya.
#2 Fikirkan manfaat, kesan dan akibat
Allah SWT telah menetapkan sunnatullah hidup ini bahawa setiap tindakan dan bicara kita menzahirkan kesan dan akibat. Sama ada pahala atau dosa, manfaat atau sia-sia, kebenaran atau fitnah dan dusta.
Cuba kita perhatikan, pada mereka yang gemar membuka aib sendiri dan orang lain di laman sosial, apakah manfaat yang mereka dapat dari tindakan itu?
Jikalau kita katakan untuk kepuasan diri, bukankah tindakan kita membuka aib itu boleh mendatangkan akibat-akibat buruk seperti pergaduhan, penghinaan pada maruah seseorang, seterusnya mendedahkan sikap buruk kita sendiri pada orang lain.
Pernah saya terbaca satu status mengenai seorang isteri yang meluahkan rasa kecewa kononnya terasa sering diabaikan kerana si suami sering outstation atas urusan rasmi. Astagfirullah.....adakah si wanita itu lupa akan amanahnya sebagai seorang isteri yang perlu menjaga rumahtangganya serta kehormatan dirinya dan juga si suami?
Tiada manfaat yang boleh diperolehinya selain datang pula lelaki yang bukan mahramnya menawarkan pujukan dan nasihat, dirisaukan perkara yang lebih buruk akan berlaku. Saban hari, saya dapati ada sahaja rumahtangga yang musnah akibat munculnya ‘orang ketiga’ dari laman-laman sosial ini.
Fikirkanlah, jika mudarat mengatasi manfaat maka berhenti dan lupakan sahaja niat kita untuk melakukannya. Allah SWT sentiasa ada, jika kita dirundung masalah ataupun kekacauan jiwa, mengadulah kepada-Nya dalam solat kita.
#3 Jagalah jatidiri kita di alam maya
Pernahkah kita faham akan nilai tanggungjawab terhadap apa sahaja yang diluahkan, ditunjukkan, dikongsikan secara online tidak kisahlah melalui gambar-gambar, video, status-status serta komen dan pandangan yang diberikan?
Sebagai contoh, kita marah dilabel-label dengan identiti yang buruk.
Kita katakan yang mereka tidak kenal siapa kita sepenuhnya, dan hanya menilai melalui dunia online sahaja. Tetapi kita sendiri suka buat-buat lupa, ‘identiti online’ kita selalunya dinilai dari cara kita berinteraksi, memberikan pandangan dan status-status yang kita kongsikan di alam maya.
Ada sesetengahnya, umur sudahpun mencecah 30-an atau 40-an tetapi masih suka berbahasa dengan perkataan kasar dan kotor. Bila ditegur, mereka balas dengan berbakul-bakul sumpah seranah yang hanya mendatangkan dosa semata-mata. Jadi, jangan melenting pula jika ada yang mengatakan kita ‘kebudak-budakan’.
Manakala, bagi yang gemar mensensasikan gosip hangat dan khabar angin yang tdak berasas, tidak salahlah jika dilabel sebagai ‘kaki kecoh’. Allah SWT kurniakan kita akal fikiran yang waras untuk memeriksa setiap satu info yang ingin dikongsikan. Sikap bertanggungjawab dalam diri itu perlu ada, bukannya ‘main terjah’ sahaja tanpa peduli kesan dan akibatnya.
Oleh itu, sedarlah dari sekarang, ‘siapa’ kita di alam maya adalah melalui ‘apa’ yang kita lakukan di sana. Peliharalah sebaik-baiknya identiti ‘kedua’ kita pada kenalan-kenalan online yang lain.
Bukan menganjurkan supaya berpura-pura tetapi tunjukkanlah jatidiri kita yang sebaiknya.
Bukan menganjurkan supaya berpura-pura tetapi tunjukkanlah jatidiri kita yang sebaiknya.
#4 Utamakan penilaian Allah SWT sebelum manusia
Setiap saat kita senantiasa diperhatikan oleh Allah SWT dan para malaikat-Nya. Apa pun perbuatan dan percakapan kita, semuanya dicatatkan dalam buku amalan tanpa gagal.
Saya ingin menegur secara terbuka pada kaum Hawa yang suka meletakkan gambar mendedahkan aurat di laman sosial masing-masing.
Tanyakan pada diri sendiri:-
Tanyakan pada diri sendiri:-
“Allah SWT melarang menayangkan aurat pada yang tidak berhak tetapi kenapa aku masih derhaka?”
Jangan kerana nak mendapat beratus mahupun beribu ‘like’ dan ‘share’ maka kita lebih pentingkan pujian manusia daripada penilaian Allah SWT. Apalah sangat populariti yang tidak membawa kita ke mana-mana pun melainkan ke neraka sahaja.
Bahkan ada yang sengaja menunjuk-nunjuk dosa masing-masing di laman sosial, banggakah sangat hati kita ini bila disanjung oleh orang lain? Sedangkan kemurkaan Allah SWT itu patut kita takuti dan elakkan.
Tak perlu menipu diri sendiri dengan berhujah:-
“Apa yang saya buat, biarlah Allah sahaja yang menilai.
Ini hal saya dengan Allah.”
Iya, memang tepat bahawa Allah SWT sahaja yang berhak menilai. Namun kebenarannya, di manakah kita letakkan penilaian Allah SWT itu berbanding apa yang diperkatakan oleh manusia?
4 panduan telah saya kongsikan, moga ia jadi sedikit pemangkin buat diri kita untuk membentuk etika kita di alam maya mahupun segera memperbetulkan apa yang masih tersilap. Setiap amalan kita di dunia ini dicatat oleh para malaikat satu persatu dan akan dihisab di hadapan Allah SWT pada hari akhirat nanti.
Sepertimana peringatan Allah SWT ini:-
“(Gunanya catatan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) - kerana sesungguhnya:-
Orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam syurga yang penuh nikmat;
Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.”
Surah al-Infithar 82:13-14
Wallahua'lam
Post a Comment