Header Ads

Seteguh Iman Habib An-Najar


Bagi sesiapa pernah membaca tentang kisah penduduk sebuah kota dalam posting saya sebelum ini, bila disebut nama Habib an-Najar, pasti ada yang kenal dengannya. Kisahnya diceritakan Allah SWT dalam Surah Yasin cuma tak disebut namanya dengan khusus.

Habib an-Najar berasal dari kota Antioch, kota yang didatangi 3 orang Rasul yang berdakwah kepada mereka. Asalnya, Habib an-Najar ini menghidap sakit kusta namun tidak sembuh-sembuh sehinggalah dia bertemu dengan 3 Rasul ini. Bila didapati penyakitnya sudah hilang, dia mengakui ajaran tauhid yang dibawa oleh Rasul-Rasul itu.

Dalam al-Quran, Allah SWT memulakan kisah ini dengan firman-Nya:-

“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:-

’Wahai kaumku! 
Turutlah Rasul-rasul itu. 
Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk’.”

Surah Yasin 36:20-21

‘Lelaki dari hujung bandar’ yang Allah SWT maksudkan dalam ayat ini adalah Habib an-Najar. Menariknya, kita lihat pada cara beliau memperkenalkan Rasul-Rasul ini dengan mengatakan mereka adalah orang-orang yang tidak meminta balasan dalam berdakwah.

Itulah hakikat bila menyebarkan ilmu dan kebenaran, kita tak meminta ganjaran berupa wang atau kehormatan dari sesama manusia. Hanya kepada Allah SWT sahaja kita berharap semoga usaha kita itu diberikan pahala dan rahmat-Nya. Barulah nilai keikhlasan kita itu berharga....

Lalu penduduk kota itu bertanya pada Habib an-Najar:-

“Sudahkah engkau menerima agama mereka?”

Dia menjawab pada mereka:-

“Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepada-Nyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?”

Surah Yasin 36:22

Para mufassirin mengkategorikan ayat di atas sebagai maksud (dakwa) keseluruhan surah ini. Seperti yang kita semua sedia maklum, Surah Yasin digelar ‘hati al-Quran’. Kalau kita lihat pada konsep hati, di sinilah titik tolak penentu segala ibadah, akhlak dan tauhid kita. 

Ayat ini mengajar kita menggunakan akal supaya bertauhid secara logik dulu, kalau sesuatu kuasa itu mencipta kita, kenapa kita tak tunduk padanya?

Dalam konteks bertauhid ini, kuasa itu adalah Allah SWT. Itu sebabnya Allah SWT rakamkan jawapan Habib an-Najar ini dalam bentuk pertanyaan juga. Ia nak menyuruh kita yang membacanya supaya berfikir sama:-

“Aku beriman atau syirik, taat atau derhaka, mengakui atau menolak; kemudian hari nanti, nak atau tak, aku tetap dan pasti dikembalikan pada Allah SWT.”

Kemudian Habib an-Najar menyambung kembali:-

Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? 

(Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku. 

Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.”

Surah Yasin 36:23-24

Inilah persoalan utama yang menjadi tulang belakang sistem keimanan kita kepada Allah SWT; iaitu siapa yang kita pertuhankan sepanjang masa? 

Contohnya seperti orang Musyrikin Makkah, mereka percaya Allah SWT itu Tuhan tetapi dalam masa yang sama mereka menyembah berhala-berhala yang dipanggil Latta, Uzza. Asalnya Latta dan Uzza ini nama-nama orang alim selepas zaman Nabi Ismail.

Selepas mereka meninggal dunia, masyarakat setempat membina tugu berupa orang-orang alim ini demi mengingati mereka. Akhirnya, tugu ini disembah dan dipuja membuatkan masing-masing percaya berhala ini mempunyai kuasa yang sama pula dengan Allah SWT.

Maka terjerumuslah generasi selepas itu dalam kesesatan sehinggalah datang Nabi Muhammad SAW menyampaikan kebenaran.

Itu simboliknya pertanyaan Habib an-Najar ini, kepada penduduk kota itu dan juga kepada kita yang membaca Surah Yasin ini. Periksa semula di mana iktikad dan iman kita sebab kadangkala ia sedikit demi sedikit rosak dek hal-hal bida’ah dan khurafat yang menjadi-jadi dalam masyarakat sekarang ini.

Akhir sekali, Habib an-Najar pun menjawab dengan penuh kesungguhan:-

“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu; maka dengarlah (nasihatku)”

Surah Yasin 36:25

Melalui keimanan yang diperolehinya, Habib an-Najar menyatakan tanda sokongan pada seruan dakwah 3 Rasul itu di hadapan seluruh penduduk kota. Cukup berani dan yakin, dia mengikrarkan tauhidnya kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam.

Sikap Habib an-Najar ini tak banyak kita ikuti sekarang. Ramai lebih suka berdiam diri bila melihat kesilapan yang berlaku dalam masyarakat umum. Hendak menegur atau menasihati memang jauh sekali, gara-gara takut dilabel ‘penyibuk’ atau dipulaukan, kita hanya berpeluk tubuh sahaja tanpa berbuat apa-apa.

Sepatutnya kita membela agama Islam, menjunjung syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Biarlah datang ribut dan taufan sekalipun, jatidiri kita tetap dengan Islam selamanya. Sedih sekali melihat pemikiran orang-orang kita, tampak pengecut dan jahilnya.

Kadang-kadang sampaikan kita tertanya-tanya, apakah mereka benar-benar Islam atau tidak?

Berbalik kepada Habib an-Najar tadi, bila mendengar sahaja kata-katanya, mereka menyerbu ke arah beliau dan 3 Rasul itu. Habib an-Najar syahid dipijak-pijak oleh mereka, namun perginya disambut redha dan rahmat Allah SWT. Riwayat juga ada menceritakan 3 Rasul itu telah mereka bunuh dengan tiada perikemanusiaan. 

Penamat kisah ini agak sadis dan kejam. Namun inilah hakikat berjuang di jalan Allah SWT. Adakalanya nyawa dan jiwa jadi taruhan, tetapi itulah pengorbanan yang paling bernilai. Bukan mudah mengikut jejak langkah Habib an-Najar, insan yang berani kerana tauhidnya kepada Allah SWT.


Bahkan, Allah SWT rakamkan pula sedikit anekdot perihal Habib an-Najar setelah beliau syahid. Rupa-rupanya janji Allah SWT itu benar, sepertimana kata-katanya yang dirakamkan oleh al-Quran:-

“(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya:- 

“Masuklah ke dalam Syurga”

Ia berkata:- 

“Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan.”

Surah Yasin 36:26-27

Wallahu’alam 

Powered by Blogger.