Tuntutlah Ilmu Sepanjang Hayat
Guru saya pernah memetik kata-kata dari Syeikh Ibn ‘Ataillah al-Sakandari:-
“Tanamlah dirimu di tanah kehinaan (khumul).
Sebatang pokok yang tidak ditanam dengan sempurna, tidak akan menghasilkan buah yang sempurna.”
Rujukan: Kitab al-Hikam
‘Tanah kehinaan’ yang dinyatakan di sini adalah tekun menuntut ilmu, melaksanakan arahan guru dan menerima tegurannya. Ia merupakan sebuah ‘kehinaan’, namun membawa kebaikan di masa hadapan. Bila benih tidak disemai, manakan boleh pula tumbuh sebatang pokok yang sempurna dan menghasilkan hasil yang terbaik.
Inilah tarbiah yang saya selalu gunakan untuk menyedarkan diri ini tiapkali timbulnya perasaan malas dan lemah untuk belajar.
Tujuan menuntut ilmu ini, terutamanya ilmu agama adalah untuk kita mengetahui secara tepat apakah yang Allah SWT mahu kita lakukan, fikirkan, niatkan, cakapkan dan lain-lain lagi perkara di setiap masa dan keadaan. Segala perbuatan di dalam kehidupan ini adalah satu bentuk ibadah, yang bergantung kepada kunci utamanya, iaitu ilmu.
Tanpa ilmu, sesuatu ibadah (perbuatan) yang kita lakukan itu kurang kesempurnaannya. Ibarat kita meraba-raba dalam kegelapan, tidak tahu ke mana arah tujuan, ataupun tahu betul atau tidak langkah yang diambil itu. Yang lebih bahaya, jika langkah itu menjerumuskan kita ke dalam perangkap yang menyesatkan dan merugikan.
Terdapat beberapa cabang dalam ilmu agama Islam yang perlu kita ketahui, antaranya:-
- Ilmu tauhid yang mengajar kita tentang ketuhanan agar keimanan dan ketaqwaan kita tertumpu kepada Allah SWT. Dari situlah kita mengkaji sifat-sifat Allah SWT serta asma-Nya.
- Ilmu akidah yang memperkenalkan kepada kita 6 aspek Rukun Iman secara lengkap. Barulah kita mampu membina keyakinan dan memantapkan sistem kepercayaan kita yang menjadi asas seorang Muslim.
- Ilmu fiqah yang menjelaskan satu persatu tatacara beribadah kepada Allah SWT menerusi 5 perkara utama dalam Rukun Islam. Kita juga diajar mengenai syarat sah serta perkara-perkara yang membatalkan sesuatu ibadah yang dilakukan.
- Ilmu akhlak atau ilmu tasawwuf adalah jalan dalam kehidupan manusia yang merangkumi peribadi, perlakuan serta adab-adab yang berdasarkan kepada sunnah Rasulullah SAW.
- Ilmu tajwid yang mengajar kita cara membaca al-Quran yang baik dan benar dari sudut makhraj (sebutan) dan sifat huruf al-Quran yang tersendiri.
- Ilmu faraid pula menentukan hukum pewarisan harta pusaka sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya di dalam al-Quran.
Cuba kita tanyakan pada diri sendiri, adakah sudah cukup ilmu yang terkandung di dada ini?
Janganlah kita katakan komitmen keluarga, kerjaya dan lain-lain lagi sebagai halangan dari kita menuntut ilmu. Contohilah sikap Saidina Umar al-Khattab R.A yang bergilir-gilir dengan jirannya, seorang lelaki Ansar untuk menghadiri majlis ilmu Rasulullah SAW.
Jika Saidina Umar al-Khattab R.A terpaksa menguruskan perniagaan dan barang dagangannya, jiran beliau akan pergi ke majlis ilmu Rasulullah SAW dan menyampaikan ilmu itu kepada beliau di hari esoknya.
Begitu jugalah sebaliknya.
Ibn Hajar al-Asqalani RH mengulas kisah Saidina Umar al-Khattab R.A ini di dalam kitab Fath al-Bari:-
“Seorang penuntut ilmu tidak boleh lalai dalam memerhatikan perkara yang terjadi dalam kehidupannya, dengan meminta bantuan orang lain untuk membantunya menuntut ilmu dan disertai dengan keinginan yang kuat untuk bertanya tentang ilmu yang diberikan sewaktu dia tidak dapat menghadiri majlis ilmu, sebagaimana yang dilakukan oleh Saidina Umar RA.
Beliau tidak mungkin menghadiri seluruh majlis ilmu Rasulullah SAW kerana beliau seorang pedagang.”
Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, jilid 1, halaman 86
Menuntut ilmu itu adalah suatu ibadah yang amat disukai Allah SWT. Alangkah ruginya jika kita hanya mampu menuntut ilmu di kala usia sudah tua, tetapi tidak memanfaatkan usia muda ketika tubuh badan masih bertenaga dan tajam minda.
Sedangkan sepanjang hidup inilah kita memerlukan panduan agama dalam menuju ke jalan Allah SWT. Jangan sampai rasa tersindir apabila ada orang menegur yang kita ini tidak faham dan jahil dalam perkara asas agama Islam. Bahkan jangan malu jika anak sendiri pula yang menegur kesalahan kita dalam beragama.
Carilah ilmu agama selagi hayat dikandung badan agar kita senantiasa dilimpahi dengan kebaikan dan rahmat Allah SWT.
Wallahua'lam
Post a Comment