Header Ads

Kematangan Tidak Kenal Akan Usia


Kematangan diri itu tidak pernah mengenal usia

Tidak ramai yang mampu mengakui hakikat ini memandangkan lazimnya kita hanya melihat kematangan ilmu, pengalaman, pemikiran dan sebagainya itu melalui pertambahan usia seseorang. Disebabkan itulah, kita sering tersindir dalam menerima teguran dan buah fikiran dari orang yang lebih muda dari kita.

Yang selalu menjadi pegangan adalah:-

“Aku lebih banyak makan garam dari kamu...malah lebih awal sebelum kamu hidup lagi.”

Inilah persepsi yang salah dan perlu dikikis. Buangkan prinsip ‘siapa lebih tua itu benar dan siapa lebih muda itu salah’ yang kita selalu amalkan selama ini. Senioriti tidak menjamin ‘kekebalan’ dari melakukan kesilapan. Walaupun ditegur oleh orang-orang muda, terimalah dengan hati dan fikiran yang terbuka.

Barulah tahap tawadduk dalam diri kita ini semakin meningkat. Hakikatnya, ia tidak akan langsung menjatuhkan kita ke arah kehinaan, malah mengundang penghormatan dari insan-insan di sekeliling kita.

Dalam Siyar A’lam al-Nuba’la, al-Hafiz al-Zahabi ada menceritakan kisah Imam al-Bukhari yang mendatangi majlis awam seorang ulama' hadith, al-Dakhili. Pada ketika itu, al-Dakhili terkeliru dalam membaca sanad sebuah hadith:-

“Sufyan daripada Abu al-Zubair daripada Ibrahim...”

Imam al-Bukhari yang baru berusia 11 tahun ketika itu segera menegur gurunya:-

“Sanad ini keliru. Abu al-Zubair tidak pernah meriwayatkan hadith daripada Ibrahim.”

Mendengar teguran ini, al-Dakhili membentaknya, namun al-Bukhari tetap yakin dengan pendapatnya itu dan menyuruh gurunya memeriksa semula sanad hadith itu. Al-Dakhili segera meneliti kembali buku catatannya, lalu berkata:-

“Bagaimanakah sanad yang sebenarnya, wahai budak?”

Al-Bukhari menjawab:-

“Sanad yang sebenarnya adalah daripada al-Zubair bin ‘Adi (bukan Abu al-Zubair) daripada Ibrahim...”

Lalu al-Dakhili memperbetulkan catatannya itu sambil berkata:-

“Kamu benar.”

Kisah ini bukan hanya menunjukkan ketelitian dan ketinggian ilmu Imam al-Bukhari semata-mata tetapi juga memperlihatkan kepada kita akan kehebatan adab al-Dakhili. Biarpun bergelar ulama' hadith, namun al-Dakhili menerima teguran daripada al-Bukhari yang jauh lebih muda darinya serta membenarkannya. 

Tidak ramai yang mampu memiliki sifat tawadduk sebegini.

Kebanyakannya akan membidas dan menolak seratus peratus apa sahaja yang keluar daripada mulut orang muda, terutamanya di kalangan ibu bapa. Akhirnya, orang-orang muda hanya diperlukan oleh sebab sumbangan kudrat mereka bukan kerana buah fikiran dan pendapat yang mereka boleh kongsikan

Tindakan inilah yang melahirkan minda yang tertutup dan sempit yang mengakibatkan pemaksaan dalam kehendak. Biarpun yang diutarakan itu adalah kebenaran, namun hanya kerana faktor usia, kita menidakkannya. 

Alangkah sombongnya sikap sebegini sepertimana sabda Rasulullah SAW:-

“Kesombongan adalah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.” 

Hadith Riwayat Muslim

Orang yang sombong akan lebih jauh daripada Allah SWT dan hamba-hamba-Nya. Bukan sahaja kita tidak mendapat apa-apa manfaat malah kita juga tidak dapat memberikan apa-apa manfaat langsung.

Lihatlah pada contoh Khalifah Umar al-Khattab R.A yang senantiasa menghargai pemikiran dan saranan daripada orang-orang muda. 

Dalam projek untuk membukukan al-Quran, Saidina Umar al-Khattab R.A melantik Zaid bin Thabit menjadi ketua projek itu. Sedangkan Zaid hanya berumur 22 tahun walaupun ramai lagi sahabat-sahabat yang lebih berumur darinya. Selain itu, Ibn Abbas yang baru berusia 20-an sering dirujuk oleh Saidina Umar al-Khattab R.A dalam banyak perkara bahkan dijemput menghadiri mesyuarat tertinggi negara.

Imam al-Bukhari ada meriwayatkan bahawa suatu ketika, anggota majlis mesyuarat yang lebih tua tidak bersetuju dengan sikap khalifah ini, mereka berkata:-

“Mengapakah engkau menyertakan Ibn Abbas dalam majlis ini, padahal usianya sebaya anak-anak kami di rumah?”

Lalu Saidina Umar al-Khattab R.A bertanya kepada semua anggota majlis:-

“Apa pendapat kamu semua tentang maksud firman Allah SWT ini: ‘Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan?’ (surah al-Nasr 110:1-3)”

Mereka menjawab:-

“Ini sebuah perintah agar kita memuji Allah dan beristighfar apabila mendapat kemenangan.”

Saidina Umar RA bertanya kepada Ibn Abbas:-

“Adakah pendapat kamu seperti ini, wahai Ibn Abbas?”

Beliau menjawab:-

“Tidak. Ini adalah pemberitahuan ajal Rasulullah SAW. ‘Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan’ ertinya ini adalah tanda ajalmu. Maka perbanyaklah bertasbih dan beristighfar.”

Saidina Umar al-Khattab R.A lalu berkata kepada para sahabat yang lain:-

“Mengapa kamu semua mencela diriku kerana mencintai orang yang memiliki kelebihan sepertimana yang engkau telah saksikan ini?”


Tua tidak selalunya matang dan muda tidak selalunya mentah. Apabila kita ditegur dan menerima nasihat, janganlah sesekali kita lihat pada siapa yang berkata tetapi hayatilah apa yang dikatakannya, walaupun datang dari mulut orang yang lebih muda.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.