Tua Itu Fitrah Hidup
Penuaan adalah satu proses semulajadi dalam kehidupan yang mustahil ditidakkan. Suatu fitrah kejadian manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali lagi dan ia tidak akan sesekali dapat diubah, sepertimana firman-Nya:-
“Sebagai sunnah Allah yang berlaku atas orang-orang yang telah terdahulu sebelum(mu), dan kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan pada sunnah Allah”
Surah al-Ahzab 33:62
Terdapat teori yang menyatakan bahawa proses penuaan ini bermula sejak seawal umur 25 tahun lagi dan ia akan semakin ketara bagi mereka yang sudah mencecah umur 60-an. Pada waktu itulah berlakunya penurunan fungsi-fungsi organ dan juga hormon-hormon yang tertentu dalam tubuh.
Ditambah lagi dengan kesan kedutan yang jelas kelihatan di bawah kelopak mata serta di bahagian leher malah rambut juga akan mula beruban. Pastinya pada mereka yang mengagung-agungkan kecantikan dan penampilan muda, proses ini merupakan satu mimpi ngeri.
Tidak dapat tidak, mereka perlu menghadapi proses semulajadi ini melainkan maut datang menjemput di usia muda.
Tidak dapat tidak, mereka perlu menghadapi proses semulajadi ini melainkan maut datang menjemput di usia muda.
Ramai yang cuba untuk menghalang sunnatullah ini; paling kurang untuk melambatkannya. Banyak kajian dan penyelidikan dilakukan ditambah pula wujud rawatan dan amalan tertentu bagi menjamin usaha ini. Tetapi pada hakikatnya, ini cuma memberi mereka penampilan palsu.
Saya cuba menerangkan tentang proses penuaan ini dari sudut saintifik, bagi sesiapa yang berminat.
Tidak lama dahulu, para saintis berjaya menemui sejenis gen pada DNA yang terletak dalam sel badan manusia yang dipanggil ‘Telomere’. Gen ini mempunyai kepanjangan yang tertentu serta bertanggungjawab untuk mengawal kematian dan penuaan sel-sel badan.
Telomere bekerja rapat dengan kromosom di dalam DNA manusia. Apabila sel dalam tubuh membelah menjadi dua, kromosom akan menggandakan dirinya. Namun proses ini tidak terpakai buat telomere memandangkan ia tidak mempunyai keupayaan yang serupa.
Hasilnya, telomere akan menjadi semakin mengecil tiap-tiap kali sesebuah sel itu membahagi dua. Malah selepas sesebuah sel melakukan 50 hingga 100 pembahagian, telomere akan menjadi terlalu kecil sehingga ia tidak akan mampu melindungi sel tersebut dan menyebabkannya tua dan mati.
Inilah fenomena yang dinamakan sebagai senescence, yang bermaksud proses penuaan.
Oleh itu, para saintis menyimpulkan bahawa mereka perlu mengekalkan keutuhan telomere di dalam setiap sel bagi mengelakkan proses ini. Lalu mereka cuba untuk mengaktifkan satu jenis enzim di dalam sel tubuh manusia yang dipanggil telomerase.
Pada tahun 2009, tiga orang saintis Amerika telah menemui sebuah teknologi untuk memperlahankan proses penuaan ini atau menterbalikkannya dengan cara mengaktifkan enzim telomerase dalam setiap sel. Mulanya kaedah ini mendapat banyak sambutan yang menggalakkan, tetapi masalah lain pula yang timbul.
Persoalan utama adalah bagaimana untuk mengaktifkan enzim telomerase ini pada sel-sel tubuh sedangkan bilangannya bertrillion. Selain itu, enzim telomerase lazimnya ditemui pada hampir semua sel-sel yang diserang kanser. Ia menyebabkan sel-sel tubuh membahagi tanpa henti dan tidak normal sehingga menyebabkan kanser pada seseorang.
Jelaslah di sini bahawa sebarang proses yang mencabar sunnatullah akan mengakibatkan perkara yang lebih buruk terjadi. Dalam keghairahan mengejar teknologi untuk melambat penuaan, kesannya adalah kanser maut yang amat menyakitkan.
Ini merupakan satu kebenaran firman Allah SWT yang telah mentakdirkan perjalanan hidup setiap manusia. Penuaan merupakan suatu yang telah diprogramkan, ditakdirkan dan direncanakan dalam fitrah hidup kita ini.
Seorang saintis dan ulama' Islam terkenal, Dr. Abduldaem al-Kaheel pernah mengkritik teknologi anti-penuaan ini:-
“Saya berharap para saintis tersebut membaca satu hadith mengenai hal ini untuk menyelamatkan wang, masa dan tenaga mereka:-
‘Berubatlah wahai hamba Allah, kerana sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu penyakit melainkan diciptakan juga penawarnya melainkan penyakit tua.’”
Hadith Riwayat Ahmad
Sebagai Mukmin yang sejati, adalah lebih baik untuk kita redha dan menggunakan hayat yang diberi ini sebaik-baiknya. Ini ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya:-
“Tiap-tiap yang hidup pasti akan mati.
Sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya berjayalah dia.
Dan kehidupan di dunia ini tiada apa-apa melainkan kesenangan yang memperdayakan.”
Surah Ali ‘Imran 3:185
Wallahua'lam
Post a Comment