Header Ads

Fahami Ibadah Kita

Saya pasti malam Jumaat sebegini ramai antara kita yang berduyun-duyun ke masjid untuk membaca surah Yasin. Satu amalan mungkin dilazimi oleh sebilangan mereka sejak di bangku sekolah lagi. Satu kebiasaan baik yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Islam di Malaysia sejak zaman-berzaman.


Contoh saya ambil tentang baca surah Yasin di malam Jumaat ini bukannya hendak menidakkan amalan yang dibuat. Amalan membaca al-Quran ini amat dianjurkan malah berpahala. Cuma ada sedikit kecacatan dari segi iktikad (pegangan) sesetengah umat Islam yang menyatakan jika tidak sempurna malam Jumaat jika tidak diadakan majlis bacaan Yasin.

Bila saya tanyakan pada yang melazimi amalan ini, dari hadith sahih mana yang diikutinya, mereka tak mampu menjawab. Ada yang cuba memberikan kepada saya hadith yang tidak tahu mana puncanya, bahkan bertaraf dha'if' (lemah)

Lalu mereka berselindung di sebalik alasan ini:-

"Kat masjid kan selalu buat baca Yasin ni, jadi aku ikut ajelah. Lagipun semua orang buat macamtu. 

Takkan berdosa pulak..."

Sedih sebenarnya bila diamati pemahaman amalan-amalan di kalangan orang Islam kita. Mereka tahu buat tapi atas dasar ikut-ikutan yang membuta tuli. Katanya ada fadhilat (kelebihan) datangnya dari amalan itu namun entah mana datang dalilnya.

Agak rugi bila kita beria-ia melaksanakan sesuatu amalan itu yang bersandarkan fadhilat palsu. Apatah lagi kita memang meniatkan di dalam diri untuk mendapatkan fadhilat itu. Risau amalan jadi sia-sia dan tidak berpahala.

Dari sinilah datangnya pula amalan baca Yasin di kubur, baca Yasin pada orang yang sedang nazak atau pada yang sudah meninggal dunia dan sebagainya. Sedangkan para salafussoleh tidak pernah melakukan hal yang sedemikian rupa.

Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak memperkatakan amalan ini terlarang. Hanyalah sebagai peringatan buat kita yang masih yakin pada fadhilat palsu yang datang bersama amalan-amalan ini. Terlalu banyak perkara bida'ah yang kita wajibkan dan ada juga perkara wajib yang kita tinggal-tinggalkan.

Kata guru saya bila diminta memperjelaskan hal ini:-

"Buatlah tetapi jangan qasad dalam hati. 

Niatkan sahaja demi mendapat fadhilat membaca al-Quran itu sendiri tanpa dicampur aduk dengan fadhilat bida'ah yang lain."

Bak sabda Rasulullah SAW:-

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperolehi apa yang ia niatkan..." 

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Sememangnya niatlah yang paling penting sebagai asas penerimaan sesuatu amalan, tetapi berniatlah dengan sebetulnya kerana niat masih tidak menghalalkan matlamat.

Kita rujuk pada Rasulullah SAW semula. Baginda SAW menggalakkan kita membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat. Salah satu dalilnya, saya sertakan di sini:-

"Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat." 

Hadith Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi

Ini barulah berdasarkan hadith yang sahih dengan fadhilat yang benar. Tambahan lagi, ia merupakan satu sunnah Rasulullah SAW.


Oleh itu sahabat semua, ambil sejenak masa untuk mendalami ilmu dalam beribadah. Bukan setakat kita tahu syarat sahnya, fadhilatnya sahaja malah dalil-dalil yang menyokong amalan tersebut sama ada melalui al-Quran mahupun hadith sahih.

Fasa untuk kita ikut-mengikut ini tidak lagi sesuai jika umur sudah menjangkau matang. Sepertimana matangnya usia kita, sepatutnya juga pemahaman ibadah kita.

Wallahu'alam

Powered by Blogger.