Header Ads

Hidup Jangan Dibelenggu Alasan


Sedar atau tidak, sengaja atau tidak, kita senantiasa ada alasan pada setiap apa yang kita lakukan, fikirkan, cakapkan, niatkan dan impikan. Mari kita renungkan sebentar, adakah alasan-alasan yang kita wujudkan ini adalah benar-benar sebab ataupun sekadar kata-kata yang menipu diri sendiri.

Kemudian renungkan pula firman Allah SWT ini:-

“Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.”

Surah at-Taubah 9:66

Pernah saya bertanya pada seorang kenalan perihal dirinya yang tidak mengerjakan solat sewaktu di bekerja. Jawabnya pada saya dengan spontan setiapkali saya menegurnya:-

“Tak ada tempat nak sembahyang. Lagipun tak boleh nak tinggalkan tempat kerja ni. Nanti siapa pula nak tolong cover....”

Mengapa sampai begitu sekali memberi alasan sebegini? Sedangkan ibadah solat itu adalah kewajipan yang mesti kita lakukan. Seharusnya, perlu kita usahakan sehabis boleh untuk menyempurnakannya bagi membuktikan kita ini hamba Allah SWT.

Namun itulah yang terjadi pada kebanyakan umat Islam masakini. 

Cukup mudah sebenarnya memberi alasan demi menjustifikasikan tindakan yang diambil. Padahal terdapat banyak cara lain lagi untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau halangan jika kita menggunakan akal fikiran.

Puncanya adalah diri kita yang tidak mahu mengakui kesalahan diri, juga dikenali sebagai sifat ego.

Cuba tanya diri kita sendiri:-

#1 Apabila kita inginkan melakukan sesuatu, kita sering mempersoalkan keyakinan dan keupayaan kita sendiri. Selalunya soalan yang akan ditanya adalah:-

“Boleh ke aku buat? Nanti asyik tak menjadi saja.”

Hakikatnya, bila mindset dan keyakinan kita sentiasa terarah kepada perkara negatif, maka itulah yang pasti berlaku

#2 Perhatikan persekitaran kita, adakah kita berada dalam keadaan yang mampu melahirkan pemikiran yang positif dalam hidup ini. Adakalanya, ia datang dari apa yang kita baca dan dengar membuatkan maklumat-maklumat ini memberikan kesan secara langsung dan berkekalan kepada cara pemikiran kita.

#3 Perhalusi dari kesan dan akibat yang kita dapat dari sekadar memberi alasan dalam hidup. Mungkin kita tidak sedar yang diri kita masih di takuk yang lama ataupun keyakinan orang lain terhadap kita makin berkurangan.

Lazimnya, orang yang suka berlindung di sebalik alasan ini adalah mereka yang gemar mengelak dari tanggungjawab dan terperangkap dalam dunia khayalan sendiri.

#4 Di mana pula kita sandarkan pengharapan kita dalam hidup ini, adakah kepada Allah SWT ataupun selain-Nya? Malah sikap yang lebih teruk adalah bila kita suka bergantung pada orang lain tanpa mahu berusaha sedikit pun.


Ambil prinsip fitrah sebatang sungai, yang mengalir ke mana sahaja mengikut arusnya. Biarpun terdapat halangan, lencongan dan empangan, ia tetap meneruskan perjalanan menuju ke hilirnya tanpa gagal. 

Begitu juga dengan perjalanan hidup kita ini, halangan dan lencongan itu tetap akan ada walau di mana sahaja kita berada. Namun, itu tidaklah menjadi satu masalah yang besar sehinggakan kita tersekat selamanya. Wujudkan tindakan-tindakan dalam menghilangkan alasan dalam hidup ini. Itulah yang dinamakan ‘living with the flow’

Kenal pasti apakah kelebihan dan kekurangan diri kita. Dari situ, buatlah perancangan yang realistik disertai dengan matlamat atau target yang jelas dan boleh dicapai. Ramai yang lebih suka menggunapakai cara orang lain dalam menentukan matlamat hidup. Sedangkan setiap orang mempunyai kelebihan dan kelemahan yang berbeza-beza

Akhirnya target yang ditetapkan itu tidak mampu dicapai menyebabkan segala azam dan semangat yang dibina hancur begitu sahaja.

Harus diingati bahawa segala yang kita sasarkan itu mestilah didorong untuk mendapatkan keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Sesuatu yang kita lakukan itu hendaklah bermanfaat kepada diri sendiri malah menyumbang kebaikan terhadap orang-orang lain juga.

Allah SWT juga menegaskan akan hal ini:-

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”

Surah al-Israk 17:7

Jangan sesekali mengharapkan penghargaan sesama manusia sedangkan pandangan Allah SWT itu lebih utama buat diri kita. Insya-Allah, selagi kita berusaha, selagi itulah kita pasti berjaya. Kita cuma merancang dan melaksanakan tetapi hanya Allah SWT akan menentukan kejayaan atau kegagalan usaha kita itu.

Rasulullah SAW sendiri mengajarkan kita dalam meletakkan pergantungan harapan pada Allah SWT, menerusi hadith Qudsi ini:-

“Ana ‘inda zhanni abdiibii’ 
(Aku menuruti persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku)”

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Hentikanlah bersembunyi di sebalik alasan lagi, itu bukanlah sikap Mukmin yang sebenarnya. Hidup di dunia ini memang susah dan penuh dengan dugaan namun itulah fitrahnya. Terpulang pada kita untuk mengharunginya dengan kesabaran serta kegigihan atau terus berselubung dalam alasan demi alasan.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.