Header Ads

Menangis Kerana Allah SWT


Setiap insan dikurniakan dengan kemampuan untuk menangis, adakalanya kerana terlalu sedih dan ada juga yang mengalirkan air mata kegembiraan. Dalam kitab Riyad al-Salihin, Imam an-Nawawi menulis perihal ‘Kelebihan Menangis kerana Takut dan Rindu kepada Allah’

Beliau memulakanya melalui firman Allah SWT:-

“Dan mereka menundukkan kepala lalu menangis, maka itu menambah khusyuk pada diri mereka.”

Surah al-Israk 17:109

Cuba kita bermuhasabah diri, berapa kerapkah kita menangis kerana Allah SWT?

Kelazimannya kita hanya mampu menangis kerana kesedihan, kekecewaan, kehilangan ataupun kesukaran dalam hidup ini. Namun kita amat jarang untuk menangis kerana Allah SWT. Entah mengapa air mata ini terlalu berat untuk tumpah dalam tiap ratapan zikir kita memohon keampunan-Nya

Sedangkan waktu itu, kita benar-benar merayu ke hadrat-Nya agar diri kita yang berdosa ini disucikan dengan belas ihsan-Nya. Bukan sedikit dosa dan maksiat yang dilakukan, Rasulullah SAW sendiri yang sediakala maksum (terhindar dari dosa) beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali sehari kepada Allah SWT, apatah lagi kita.....

Bahkan bila kita membaca al-Quran, kita juga sukar menangis

Bila Allah SWT menceritakan perihal nikmat syurga Firdaus dan nikmat-nikmat-Nya, kita tidak terasa kagum dan redha. Bila Allah SWT mengancam dengan seksaan neraka Jahannam juga kita masih senang mengalunkan suara membaca ayat-Nya tanpa rasa apa-apa.

Apakah susunan ayat yang indah ciptaan Allah SWT yang Maha Agung ini gagal menusuk ke kalbu? Ataupun kita sebenarnya tidak mengerti apa yang dibaca?

Terlalu banyak sebenarnya persoalan yang perlu kita cari jawapannya. 

Selama ini kita sudah banyak membazirkan tangisan kerana perkara yang sia-sia. Tidaklah salah kita menangis apabila ditinggalkan orang yang tersayang tetapi ia menjadi satu pembaziran pula apabila kita tetap melayani tangisan itu berhari-hari lamanya.

Rujuklah hadith Rasulullah SAW ini, apabila Baginda SAW memberitahu perihal tujuh golongan yang mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak:-

“Seorang yang mengingati Allah SWT sendirian lantas air matanya mengalir.”

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Inilah contoh seorang insan yang tenggelam dalam keikhlasan mengingati Tuhannya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan kurniaan-Nya, serta menginsafi segala kekurangan diri sendiri. Lalu mengalirlah air mata yang diselubungi emosi, cinta, kasih, malu dan takut kepada Allah SWT.

Tidakkah kita teruja untuk menjadi salah satu manusia yang tergolong dalam 7 kumpulan yang diperkatakan oleh Rasulullah SAW ini. Ataupun kita masih tidak yakin akan khabar baik ini?

Saya bawakan satu anekdot yang diceritakan oleh seorang sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Mas’ud R.A.

Suatu hari, Rasulullah SAW datang bertemunya dan menyuruh Abdullah bin Mas’ud R.A membacakan ayat-ayat al-Quran.

Dalam kehairanan, beliau bertanya:-

“Wahai Rasulullah, adakah aku perlu membacakannya untukmu sedangkan al-Quran itu diturunkan kepadamu?”

Maka Rasulullah SAW menjawab:-

“Sesungguhnya aku suka mendengarnya daripada orang selainku.”

Lalu Abdullah bin Mas’ud R.A membacakan untuk Rasulullah SAW beberapa ayat daripada Surah an-Nisa'. Apabila sampai ke ayat-41 dalam surah tersebut yang berbunyi:-

“Maka bagaimanakah keadaannya apabila Kami mendatangkan daripada setiap umat itu (di akhirat) dengan seorang saksi dan Kami membawamu (wahai Muhammad) sebagai saksi kepada mereka semua.”

Ketika itu, Rasulullah SAW bersabda kepada Abdullah bin Mas’ud R.A:-

“Cukuplah setakat ini.”

Lantas Abdullah bin Mas’ud R.A berpaling ke arah Rasulullah SAW dan melihat air mata suci Baginda SAW mengalir menangisi dan menghayati ayat tersebut.

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim 

Begitulah hebatnya pengamatan dan penghayatan Rasulullah SAW terhadap ayat-ayat al-Quran. Subhanallah! Alangkah sucinya air mata yang mengalir itu.


Berdoalah kepada Allah SWT agar kita juga dikurniakan nikmat yang terbaik ini – nikmat tangisan kerana mengingati-Nya dengan rasa takut, cinta dan kasih kepada-Nya. Sesungguhnya tangisan sebegini tidak sia-sia dan tidak terbuang begitu sahaja. 

Bahkan pasti menyelamatkan kita di akhirat yang kekal abadi.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.