Header Ads

Bahagia Atau Derita Adalah Pilihan Kita

Tahun bertukar ganti, menandakan mulanya langkah masing-masing menuju ke lembaran baru. Mungkin tahun lepas liku-liku hidup ini agak mencabar dengan berbagai-bagai dugaan. Ada juga yang lebih bertuah kerana tahun lalu diselangi dengan kenangan-kenangan manis yang tidak akan dilupakan.


Fitrah hidup ini ada jatuh dan bangunnya, baik dan buruknya, bahagia dan deritanya.

Saya petik kata-kata daripada mufasir ulung Nusantara, Profesor Dr. Hamka:-

“Ujian dunia yang dilalui sekalian kita hanya mampu dihadapi dengan berbekalkan al-Quran dan sunnah Nabi untuk diamalkan dalam kehidupan.”

Di sini, tersirat satu hikmah mengenai kehidupan manusia di atas dunia ini. Kebanyakan kita cuma memahami ‘ujian dunia’ itu adalah kesusahan, kesengsaraan, ketakutan, kesakitan, kehilangan, kekecewaan sahaja. Tetapi hakikatnya, kesenangan, kemewahan, kemahsyuran, kehebatan itu juga adalah salah satu ujian daripada Allah SWT kepada manusia.

Allah SWT berfirman:-

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya, adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

Surah Taha 20:124

Disebabkan kemiskinan, kesakitan, kekecewaan, kita mampu terjerumus dalam kesesatan di dunia. Begitu juga bagi mereka yang diberikan nikmat kekayaan, kemewahan, kemahsyuran. Hanya kerana keingkaran masing-masing dalam mematuhi perintah Allah SWT serta melupakan sunnah Rasulullah SAW.

Lalu Allah SWT berikan kepada mereka kehidupan yang sempit di dunia.

Ada yang saya pernah saksikan, seorang hamba Allah SWT yang begitu lama menderita sakit pergi berubat dengan tok dukun yang terang-terangan mengamalkan ilmu khurafat dan syirik. Namun disebabkan kurangnya keyakinan hamba Allah SWT ini pada Tuhannya, dia lebih rela memilih kesesatan daripada bersabar dengan ujian Allah SWT itu. Tetapi sakitnya tidak berkurangan selepas itu malah bertambah-tambah lagi.

Begitu juga mereka yang nampak lahiriahnya hidupnya mewah dan memiliki harta benda yang banyak. Tetapi saya lihat riak wajahnya senantiasa stres. Bila ditanya, dia mengeluh dengan keadaan keluarganya yang kucar-kacir. Bahkan hatinya tidak terasa tenang apabila dituduh di mahkamah kerana kes rasuah dalam salah sebuah projeknya tidak lama dahulu.

Demikianlah Allah SWT yang Maha Benar, mendatangkan bukti-bukti janjinya sepertimana yang telah diingatkan melalui al-Quran

Kita boleh memilih sendiri permulaan dan pengakhiran sesuatu perjalanan dalam kehidupan ini. Sama ada mahu berada di jalan kesesatan ataupun jalan kebenaran. Bagi yang lalai dan ingkar, maka tunggulah bahananya yang Allah SWT telah sediakan untuk mereka di dunia dan di akhirat. 

Manakala bagi yang patuh dan bersabar, insya-Allah, tiada sedikit pun ketabahan mereka itu akan disia-siakan malah akan dibalas dengan nikmat syurga di akhirat sana. Istiqamahlah dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT, sepertimana firman-Nya:-

“Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka kerjakan.”

Surah as-Sajdah 32:17

Jadikan ‘ujian dunia’ ini sebagai penyubur keyakinan kita kepada Rabb al-Jalil, biarpun dilanda berbagai kesusahan ataupun dilimpahi dengan kesenangan; janganlah kita sesekali berpaling dari petunjuk-Nya.


Hidup ini ada bahagia dan derita, kita bebas memilihnya. Maka buatlah pilihan yang terbaik untuk masa depan kita sendiri.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.