Header Ads

Neraka Bukan Sekadar Cerita

Saya lihat orang Islam masakini tidak sensitif dengan perihal neraka. Takutnya cuma sekejap sahaja, mungkin semasa ceramah di masjid atau waktu khutbah Jumaat. Selepas itu, mereka kembali melakukan kederhakaan seolah-olah neraka itu sekadar cerita-cerita dari ustaz.


Bila dibacakan ayat-ayat al-Quran berkisar tentang neraka, mereka mendengar sahaja tanpa apa-apa reaksi. Sedangkan para salafussoleh terdahulu pasti menangis teresak-esak kerana takutkan azab Allah SWT ini.

Dalam al-Quran, Allah SWT ada mengancam kita dengan neraka Saqar jika tidak solat, namun bersepah-sepah orang Islam kita tidak solat langsung malah tidak tahu apa itu rukun solat. Selain itu, perempuan yang tidak menjaga aurat juga terlalu ramai. Ada yang tidak pernah peduli, ada yang sekejap tutup aurat sekejap lagi terbuka seolah-olah perintah Allah SWT itu main-main sahaja.

Kemudian, ada segelintir orang Islam yang mempersendakan pula dengan mengatakan:-

“Asalkan dapat mengucap sebelum mati, insya-Allah dapat juga masuk syurga walaupun kena masuk neraka dulu.”

Cukup senang mereka berkata-kata sedemikian rupa. Sedangkan Allah SWT telah banyak menghuraikan keadaan neraka ini di dalam al-Quran sebagai seburuk-buruk tempat di akhirat nanti.

Jadi mengapa boleh pula kita rasa biasa-biasa sahaja dengan neraka?

Neraka bukanlah seperti penjara di dunia, malah berkali ganda lebih dahsyat dari itu. Di dunia, kita cuma terbelenggu dari dunia luar, tersedia dengan makan dan minum walaupun tidak begitu menyelerakan bahkan ada pula pihak yang menjaga kebajikan para banduan. Tetapi bukan di neraka yang mana para penjaganya terdiri daripada Malaikat Zabaniah yang bengis wajahnya. 

Dibayangkan api neraka itu membakar sehingga ke hati (Rujuk Surah al-Humazah 104:5-9).

Selain api yang menjulang maraknya, neraka dipenuhi dengan binatang-binatang yang amat berbisa. Tiada kerehatan lagi untuk penghuni neraka, saban masa mereka diseksa secara zahir dan batin sehinggakan berbuah pelbagai penyesalan di dalam hati masing-masing.

Penghuninya akan merayu-rayu kepada Allah SWT:-

“Ya Tuhan kami, keluarkan kami dari neraka (dan kembalikan kami ke dunia). 
Jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang yang zalim.”

Lalu Allah SWT menjawab:-

“Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kamu berbicara dengan Aku lagi!”

Ini adalah antara anekdot yang dirakamkan Allah SWT di dalam al-Quran mengenai ahli neraka. Ayat 107 hingga 108 dalam Surah al-Mukminun ini bukanlah cerita dongeng ataupun sekadar dibuat-buat untuk menakutkan kita.

Namun inilah kebenarannya yang disampaikan oleh Rasulullah SAW agar menjadi peringatan buat orang yang derhaka (fasiq), orang munafiq dan juga orang-orang kafir. Dari ayat ini Imam Fakhrurrazi menjelaskan:-

“Ini adalah kata-kata terakhir yang dapat diucapkan oleh mereka. Selepas itu, tiada lagi kata-kata selain pekikan dan lolongan seperti lolongan anjing.”

Bayangkan betapa putus asanya ahli neraka apabila Allah SWT tidak mahu mendengar rintihan mereka selepas itu, buat selama-lamanya. Ia merupakan keadaan yang amat buruk, apabila harapan tertutup sama sekali. Jika di dunia, kita masih mampu mengelakkan diri dari peperangan, wabak penyakit, bencana alam dan sebagainya tetapi bukan di neraka.

Bahkan berjuta-juta penyesalan pun tidak akan berguna lagi disebabkan jalan hidup yang dipilih sewaktu di dunia. Mereka terpedaya oleh kesenangan duniawi, pujukan hawa nafsu dan godaan syaitan serta gemar mengikuti rakan-rakan yang memesongkan mereka dari jalan Allah SWT.

Bila berada di neraka, rakan-rakan yang mereka ikuti dahulu semasa di dunia tidak akan mampu menyelamatkan mereka. Masing-masing sibuk dengan perihal nasib sendiri. Ketika itu barulah mereka mengeluh dengan penuh kesal:-

“Alangkah eloknya kalau kami kembali (ke dunia), dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!”

Surah al-Baqarah 2:167

Jadi, bersama-samalah mereka menanggung seksaan yang amat pedih itu, malah tiada lagi jalan keluar untuk mereka melepaskan diri sampai bila-bila. Tidak akan ada sebarang peluang kedua untuk kembali ke dunia, apatah lagi hendak memperbetulkan kesilapan yang telah dilakukan.


Namun ramai yang masih alpa dan leka dengan keseronokan dunia yang amat sementara ini malah mereka mengejek-ejek pula golongan Mukmin yang menyampaikan kebenaran dan peringatan.

Sepertimana Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran:-

“Sesungguhnya orang yang berdosa mereka sering mentertawakan orang yang beriman....”

Surah al-Mukminun 83:29

Tetapi itu hanya di dunia, kerana di akhirat nanti pula penghuni-penghuni neraka ini akan diketawakan oleh ahli-ahli syurga

Wallahua'lam

Powered by Blogger.