Header Ads

Mencari Bahagia Dalam Kematian

Kematian itu dikatakan sebagai pemutus segala kebahagiaan di dunia. Sama ada ditinggalkan oleh orang yang tersayang mahupun kita sendiri meninggalkan mereka. Namun itulah hakikat takdir perjalanan kita sebagai hamba Allah SWT di atas dunia ini.


Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:-

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. 
Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.”

Surah al-Ankabut 29:57

Jika dibandingkan dengan kematian, ujian-ujian kecil lain seperti kemiskinan, kekalahan, kekecewaan, kesakitan itu adalah terlalu kecil dan mudah. Bagi insan yang sedang menghadapi kematian, rasa sakitnya sakaratul-maut itu terlalu perit untuk dibayangkan. 

Malah Imam Ghazali sendiri ada menjelaskan di dalam kitabnya:-

"Rasa sakit yang dirasakan saat sakaratul-maut akan tersebar ke seluruh anggota sehinggakan terasa setiap satu urat, sendi, tulang, rambut, liang roma dan daging seakan direntap.”

Manakala bagi mereka yang kehilangan insan tersayang kerana kematian, pasti dilanda kesedihan dan kerinduan. Apakan tidaknya, tiada lagi peluang untuk bersua melainkan jika direzekikan oleh Allah SWT di akhirat sana.

Namun bila kita diuji Allah SWT dengan kehilangan insan-insan dalam hidup ini, janganlah terasa cepat berputus asa serta bersedih-sedih yang terlalu melampau. Renungkanlah nasib Rasulullah SAW yang telah mengalami ujian-ujian getir ini dari saat Baginda SAW kecil lagi. 

Sejak dari dalam kandungan, Baginda SAW telah kehilangan bapanya dan kemudian disusuli pula dengan pemergian ibunya yang tersayang, Siti Aminah enam tahun kemudian. Apabila saat Baginda SAW amat dahagakan kasih sayang, datuk Baginda SAW pula pergi buat selamanya membuatkan Rasulullah SAW dijaga pula oleh bapa saudaranya. 

Kemudian, siapa yang tidak tahu akan ‘Tahun Kesedihan’ di mana Rasulullah SAW telah kehilangan isteri yang amat dicintainya, Saidatina Khadijah R.A dan bapa saudara Baginda SAW iaitu Abu Talib. Itu semua berlaku sewaktu Baginda SAW dipulaukan oleh penduduk Makkah ditambah pula dengan tentangan hebat mereka akan ajaran Islam yang dibawanya.

Lalu kita hayati pula saat-saat Baginda SAW pula yang meninggalkan insan-insan yang tersayang. Sejarah merakamkan Baginda SAW terbaring di hamparan usang, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu di rumahnya hampir kehabisan. 

Baginda SAW tetap tenang dan bersabar sambil menyebut:-

“Rafiqil a’la, rafiqil a’la.....” 
(Teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi)

Begitu rindu sekali Rasulullah SAW hendak bertemu dengan Allah SWT, menantikan saat kematian itu tiba. Biarpun demam panas yang dihadapinya itu dua kali ganda teruknya daripada yang dialami oleh manusia biasa, Baginda SAW pergi dengan tenang menemui ‘teman daerah tinggi’ yang amat dicintainya.

Itulah hakikat hidup dan mati seorang muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah SWT).


Kata guru saya:-

“Peganglah kunci kebahagiaan hakiki ini: 
Ana abdullahi walan yudhi’ani 
(Aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakan ku) 

Bila kita mampu menghayati dan mempraktikkan di dalam diri, bahagia itu akan pasti tercapai sama ada hidup di dunia dan di akhirat sana.

Bila ada Allah SWT, segalanya jadi mudah dan nikmat.”

Insya-Allah, kita mampu mengatakan yang kematian itu adalah penghubung bahagia berbanding pemutus bahagia jika kita dapat memahami hakikatnya. Sepertimana bahagianya Rasulullah SAW, itu jugalah yang kita idamkan biarpun cuma sekelumit sahaja yang Allah SWT rezekikan.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.