Header Ads

Membawa Bahagia Ke Dalam Rumantangga

Bukan mudah mendirikan rumahtangga yang bahagia, apatah lagi mengekalkan kebahagiaan yang telah hadir di dalamnya. Mungkin saya bukanlah orang yang tepat untuk memperhalusi isu ini memandangkan saya sendiri masih belum berumahtangga.

Cuma saya agak terkilan dengan pelbagai masalah yang timbul dari insitusi suci ini, kebanyakannya terpampang satu persatu di media sosial.


Kes penceraian masakini ibarat makan nasi, tidak lagi menjadi kehairanan mahupun sesuatu yang pelik bila melihat dua insan yang dahulunya berkasih sayang tetapi kini berpecah-belah sehinggakan saling benci membenci antara satu sama lain. 

Penyebabnya? Terlalu banyak untuk saya senaraikan di sini.

Berani saya katakan ramai orang bujang yang berhajat untuk berkahwin sebenarnya mencari kebahagiaan dari dalam rumahtangga itu sendiri. Pada mereka, apabila hidup mereka sudah dilengkapi oleh insan yang dicintai, barulah bahagia itu akan hadir dengan sendirinya. 

Sebenarnya cara ini kurang tepat.

Orang-orang tua pernah berpesan:-

"Jangan dicari bahagia dalam rumahtangga mu, tetapi bawakanlah bahagia itu ke dalamnya."

Bijak bukan?

Di sini dapat diperjelaskan bahawa bahagia itu adalah suatu proses dan usaha bukannya satu pakej yang sediakala datang bersama alam rumahtangga. Ia diibaratkan menanam pokok, perlu ada benih yang baik dan diletakkan baja yang berkualiti serta dijaga dengan penuh perhatian sepanjang masa.

Barulah pokok itu akan membuahkan hasilnya yang bermutu tinggi di kemudian hari.

Salah satu cara untuk menyemai bahagia di dalam rumahtangga ini adalah sentiasa bersikap positif. Pernah suatu masa dahulu, seseorang mengadu kepada saya perihal isterinya yang kuat berleter.

Lalu saya jawab permasalahannya itu dengan sedikit refleksi jiwa berdasarkan kata-kata Saidina Umar al-Khattab RA apabila menghadapi masalah yang serupa:-

"Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. 

Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku.

Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri)."

Kita semua sedia maklum, Saidina Umar al-Khattab RA terkenal dengan sifatnya yang tegas dan garang. Bahkan beliau merupakan Amirul Mukminin yang menjadi khalifah Ar-Rasyidin kedua selepas pemergian Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA.

Namun, beliau mampu bersabar dan berfikiran positif dalam mengendalikan asam garam rumahtangganya. 


Apabila kita menghadapi masalah pula, carilah penyelesaian kepada masalah itu daripada terus leka memikirkannya. Banyak suami atau isteri lebih suka merungut, melayan kekecewaan serta memendam rasa. Kemudian, ditambah pula dengan tindakan menyalahkan diri sendiri, orang lain, keadaan serta takdir hidup

Saya sendiri tidak nampak kebaikan dan faedah daripada melakukan hal sedemikian melainkan hidup mereka semakin kusut dan kelam dengan aura-aura negatif.

Dari situlah pelbagai masalah lain akan timbul, bahkan kita pula akan membuat keputusan yang salah demi membuang masalah yang sedia ada. Beringatlah.......jangan menyelesaikan masalah dengan satu masalah yang lain. Tidak akan ada sebarang penyudahnya buat kita nanti.

Lihatlah masalah sebagai satu cabaran sementara, itulah yang dipraktikkan oleh kebanyakan insan-insan yang bijak. Perhalusi punca-puncanya dan tanganilah satu persatu keburukan yang timbul dari masalah yang dihadapi. 

Lagipun, bumi mana yang tidak ditimpa hujan.......

Kita kenal akan keupayaan diri kita sendiri tanpa perlu merasa putus asa dalam hidup berumahtangga. Kadangkala kita tidak sedar yang sebenarnya punca masalah itu mungkin datang dari diri kita sendiri.

Wallahu'alam

Powered by Blogger.