Header Ads

Ibadah Dan Akhlak Berpisah Tiada


Ketika saya meneliti satu persatu hadith di dalam kitab al-Adab al-Mufrad, perhatian saya tertarik pada satu anekdot mengenai perbualan antara seorang sahabat dengan Rasulullah SAW.

Suatu ketika diadukan kepada Nabi:-

"Wahai Rasulullah, ada seorang perempuan yang sentiasa bangun malam, siang berpuasa, bersedekah dan buat itu dan buat ini, tetapi dia selalu menyakiti hati jirannya dengan kata-katanya."

Nabi SAW membalas:-

"Tiada kebaikan baginya. Dia ahli neraka!"

Kemudian ditanya lagi:-

"Bagaimana pula dengan seorang perempuan yang hanya solat fardhu, bersedekah dengan athwar (susu lama yang dipejalkan) sahaja tetapi dia tidak menyakiti seseorang pun?"

Nabi SAW menjawab:-

"Dia ahli syurga."

Hadith Riwayat al-Bukhari

Kita rajin beribadah, adakalanya menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada yang lain untuk mencontohi perbuatan yang sama. Namun malangnya, ibadah itu sendiri tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada diri kita sendiri. Bahkan kita sediakakala rugi di akhirat nanti......

Mengapa pula perkara sebegini boleh berlaku?

Puncanya adalah kerana kita tidak faham akan hubungkait ibadah dan akhlak. Ibadah adalah amalan seharian yang telah diperintahkan Allah SWT kepada kita, sama ada hukumnya wajib atau sunat. Akhlak pula adalah cerminan peribadi diri dalam menjalani kehidupan seharian, sama ada hubungan dengan Allah SWT (hablumminallah) atau hubungan sesama mahkluk (hablumminannas).

Tanpa akhlak, rosaklah ibadah dan tanpa ibadah, cacatlah akhlak. 

Ada pendapat yang lazim kita dengari:-

"Ala....kalau aku tak solat, tak tutup aurat ke, hati aku tetap baik. Aku tak bagi rasuah, tak makan harta haram, tak mengumpat orang. 

Sebab aku tengok ada orang kaki solat, bertudung, nampak macam alim tapi perangai lagi buruk..."

Ada betulnya juga pemerhatian ini kerana sudah banyak kita lihat pada peribadi umat Islam masakini yang semakin ketara nipisnya akhlak masing-masing. Mereka tidak pernah tinggal solat fardhu namun pada masa yang sama, dosa-dosa besar tetap dilakukan apatah lagi dosa kecil.

Di sini timbul persoalan utama iaitu:-


Mengapa solatnya tidak mampu mencegah dirinya dari perbuatan mungkar?

Selain itu, contoh yang lebih senang adalah melihat gelagat orang Islam kita di atas jalan raya. Kita beria-ia membaca doa menaiki kenderaan, membaca ayat Kursi dan sebagainya sebelum memandu kereta. Bahkan dipasang pula ayat-ayat suci al-Quran sepanjang pemanduan. Namun, bila ada sahaja yang tidak kena di jalan raya, kita memaki-maki serta menyumpah seranah dengan perkataan yang menyakitkan hati.

Ditambah pula cara pemanduan kita yang agak berbahaya dan mementingkan diri sendiri seperti tidak memberi signal untuk masuk ke simpang, memotong secara melulu, langgar lampu isyarat dan sebagainya.

Jadi apalah ertinya kita membaca doa untuk memohon harapan dan keselamatan daripada Allah SWT sedangkan akhlak kita sudah sediakala buruk dan membahayakan hamba-Nya yang lain.

Inilah yang membuatkan kita rugi besar hanya kerana kita terlalu leka beribadah tanpa mempedulikan tahap dan kualiti akhlak kita. Kadangkala kita tersedar akan hal ini, kita faham bahana yang akhirnya menjerumuskan kita ke dalam neraka Allah SWT.......cuma ego kita terlalu tinggi untuk memperbaiki apa yang telah tersilap.


Bayangkanlah apabila segala amal kebaikan yang kita telah lakukan di atas dunia ini menjadi sia-sia sahaja di hadapan Allah SWT. Tidakkan kita terasa gentar dan gerun memikirkan situasi itu?

Rujuklah pada satu firman Allah SWT di dalam al-Quran:-

"Dan Kami hadapkan amalan (baik) yang dilakukan mereka dahulu, lalu Kami tukarkannya menjadi seperti debu berterbangan (sia-sia)" 

Surah al-Furqan 25:23

Oleh itu, jadikanlah hadith di atas sebagai tarbiah diri untuk kita lihat semula sejauh mana keberkesanan ibadah terhadap akhlak diri. Semoga Allah SWT senantiasa membantu diri kita yang mahu berubah dan mengubah kelemahan dan kekhilafan diri yang masih ada.

Wallahu'alam

Powered by Blogger.