Header Ads

Ajaibnya Iman


Saban hari, cuaca tidak begitu menentu, kadangkala hujan dan kadangkala cerah. Begitu jugalah perjalanan hidup ini, mengikut sunnatullah yang telah ditakdirkan Allah SWT untuk alam ciptaan-Nya. 

Tiada sesuatu pun yang terlepas dari kekuasaan pentadbiran-Nya. 

Semalam sebelum saya balik ke Kuala Pilah, sempat juga saya minum petang dengan salah seorang sahabat baik saya. Ketika itu, langit sudah pun mendung, lalu kami mengambil keputusan untuk singgah sebentar di salah sebuah restoran dalam kawasan Shah Alam.

Sambil memandang ke arah langit, sahabat saya itu bersuara:-

“Ramai yang tak faham-faham makna bersyukur dan redha. 

Bila hari hujan, diorang mengeluh sejuk dan basah. Bila langit asyik cerah, diorang mengaduh panas dan berpeluh. 

Ada sahaja yang tidak kena, seolah-olah Tuhan yang mentadbir alam ni terlalu bodoh pula....”

“Kenapa cakap macamtu?” soal saya yang berminat mendengar penjelasannya.

“Hujan dan panas itu adalah urusan Allah SWT. Biarlah Dia datangkan ribut petir dan taufan sekalipun, itulah ketentuan-Nya. 

Bukan tempatnya untuk kita nak beri komen atau complain. Kita cuma hamba yang wajib redha dan bersabar. Betul tak?”

Betul juga ulasan sahabat saya itu. Dunia ini medan ujian dan tarbiah bagi orang yang mengaku dirinya beriman kepada Allah SWT. Itulah yang dipanggil mehnah atau didikan langsung daripada Allah SWT melalui ujian-ujian-Nya kepada hamba-Nya yang bergelar manusia.

Dan dari mehnah datangnya hikmah.

Namun, apabila sejak awal lagi kita sudah tidak mampu menghadapi mehnah, maka bagaimana kita mampu mengenal erti hikmah dalam kehidupan. Disebabkan itulah kita selalu merungut, mengeluh dan mengaduh.....menyalahkan ketentuan yang telah Allah SWT tetapkan untuk kita.

Dalam pada itu, sempat pula sahabat saya bermetafora:-

“Kalau hati tiada Allah, bila diuji terus lelah”

Allah SWT telah mengingatkan kepada kita, syarat utama untuk kita menempah tempat masuk ke syurga-Nya adalah dengan bersabar akan ujian-ujian yang diberikan. Dalam al-Quran juga ada menjelaskan tentang hal ini:-

“Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang yang beriman bersamanya merintih: 

‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’.”

Surah al-Baqarah 2:214

“Baru Allah SWT uji dengan sedikit hujan, panas terik, kemarau dan banjir, itu pun dah terasa macam dioranglah orang yang paling malang dalam dunia. 

Macamana nak hadapi ujian-ujian yang lebih teruk daripada itu, macam saudara kita kat Palestin dan Syria sana...” sambung sahabat saya itu lagi.

Hikmah diuji adalah untuk mengenal tahap redha, syukur, sabar, taat serta qanaah kita dalam hidup ini. Semakin hebat ujian yang mendatang, semakin meningkat darjat keimanan dalam diri ini. Dan balasannya adalah syurga-Nya yang kekal abadi.


Pendek kata, hikmah dalam ujian adalah kurniaan termahal yang Allah SWT berikan kepada hamba-hamba yang disayangi-Nya. 

Para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah SWT) sering berkata dalam saat mereka diuji:-

“Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak akan selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu melainkan Allah.”

Allahu rabbi......hebatnya tahap keimanan mereka. Begitu indahnya mereka rasakan dalam menghadapi ujian Allah SWT

Kami terdiam beberapa ketika, berdoa sambil menghayati turunnya hujan di saat itu. Kemudian, saya teringat kata-kata guru saya:-

“Cuma seorang Mukmin saja yang nampak hikmah yang tersirat di sebalik mehnah yang tersurat. 
Begitulah ajaibnya iman seorang Mukmin. 

Bila diuji, dia terus bersabar dan bila dirahmati, dia segera bersyukur.”

Wallahua'lam

Powered by Blogger.