Header Ads

Bataskan Urusan Dalam Keharusan Ikhtilat

Saya pasti ramai di antara kita yang memahami maksud 'ikhtilat' ini, iaitu pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Dalam Islam, hukum asal bagi urusan percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram ini adalah haram (al-asl fi al-ikhtilat haram).


Tetapi ada sedikit kelonggaran yang diberikan terutamanya bagi urusan muamalat yang mengharuskan seperti urusan jual beli, urusan rasmi dan sebagainya (al-asl fi al-muamalat al-ibahah). Kemudian disokong pula oleh kaedah syarak yang mana konsep darurat yang membolehkan apa-apa yang dilarang (al-darurah tubihu al-mahzurat). Cuma darurat ini berdasarkan kepada keperluan urusan itu sendiri sahaja.

Namun keharusan hukum ini tidaklah boleh digunapakai sewenang-wenangnya. Biarpun darurat, ia perlu berkadaran dengan sebab dan keadaannya. Bukan main hentam sahaja dalam mentafsirkan isu darurat ini. Saya katakan begini kerana terlalu ramai yang sengaja menghalalkan sesuatu ikhtilat yang sediakala haram itu dengan menggunapakai isu darurat ini.

Bersalahan pula dengan konsep darurat yang sesuai dengan kadarannya (al-darurah tuqaddaru bi qadariha) sepertimana yang ditetapkan melalui kaedah syarak.

Terutamanya apabila teknologi komunikasi masakini yang semakin canggih dan memudahkan hubungan dua hala. Dahulu dimulakan dengan SMS (pesanan ringkas), kemudian berjangkit pula ke laman chat di IRC, Yahoo Mesenger. Lalu berpindah pula ke laman kenalan sosial seperti Friendster, MySpace, Facebook.

Hari ini, ikhtilat yang haram ini dipermudahkan lagi dengan wujudnya aplikasi Whatsapp, Wechat dan yang seangakatan  dengannya.

Bila ditanyakan mengapa ikhtilat terlarang ini mesti berlaku, maka alasannya adalah sebab 'urusan'. Saya buka minda anda semua, dengan beberapa alasan yang saya sering terima dari mereka yang sering 'menghalalkan' ikhtilat yang terlarang:-
  • "Ini semua sebab kerja. Lagipun, kami jumpa pun tetap bincang pasal kerja dan dateline. Tak lebih daripada tu..."

  • "Tak kenal maka tak cinta, bro. Just borak-borak kosong aje, takda lebih-lebih pun. Lagipun semua orang buat benda same sekarang ni......apa nak hairan?"

  • "Kan Allah ciptakan cinta dalam hidup kita. Kenapa kita tak boleh bercinta dulu baru lepastu kahwin? Kalau macamtu, baik tak payah ada perasaan cinta langsung."

  • "Kami chat di whatsapp aje; bukan jumpa depan-depan. Tu barulah boleh orang lain pandang serong. Kami duduk jauh antara satu sama lain."
Sedangkan mereka tidak memahami maksud urusan itu sendiri seolah-olah nilai keharusan hukum ikhtilat ini dijadikan perisai untuk menyokong serta membenarkan keharaman yang terjadi.

Apakah sebenarnya maksud 'urusan'?

Urusan adalah sesuatu yang kita telah sediakan jawapan yang memuaskan di hadapan Allah SWT nanti di akhirat kelak apabila kita dipertanggungjawabkan. Setiap sesuatu yang kita lakukan di atas dunia ini pasti akan ditanya oleh Allah SWT dan tiada suatu pun akan tertinggal mahupun terlepas daripada hisab-Nya.

Jika di dunia lagi kita tidak mampu memberikan sebarang justifikasi, maka tunggulah kemurkaan Allah SWT nanti!


Iya.....saya ini cuma seorang hamba Allah SWT yang menegur demi amar makruf nahi mungkar sahaja. Menegur terhadap keharaman yang terang-terangan terjadi di hadapan mata. Apa yang berlaku di sebaliknya, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Malah bukan saya yang akan mengadili serta menghukum.

Oleh itu, di atas dunia ini, kita pasti mampu memberikan seribu satu alasan dan hujahan demi mempertahankan dosa-dosa yang telah dilakukan.

Tetapi bukan di akhirat sana........

Pasti anda semua seringkali membaca surah Yasin bukan? Cubalah hayati kandungannya, yang pasti membuatkan kita terfikir akan janji Allah SWT ini:-

"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan" 

Surah Yasin 36:65

Wallahu'alam

Powered by Blogger.