Header Ads

Hidup Ini Terlalu Singkat

Hidup ini terlalu singkat untuk kita bazirkan....

Banyak di antara kita yang kurang mengerti akan nilai kehidupan itu sendiri. Kita sentiasa sibuk memikirkan bagaimana untuk bahagia, siapa kita akan jadi, mengapa kita lakukan perkara itu dan ini malah kita sentiasa mengidamkan perkara yang kita tidak akan dapat.


Mungkin ada yang telah tersedar akan hal ini. Di saat umur mencapai 30-an, 40-an mahupun 50-an dan seterusnya. Terasa yang detik yang sudah berlalu itu dibazirkan begitu sahaja, seolah-olah kita tidak nampak apa hasilnya di depan mata. 

Namun itulah hakikat, betapa masa itu tetap meninggalkan kita, biarpun kita tidak menginginkannya. Dalam al-Quran, Allah SWT ada menyebut perihal masa dan kaitannya dengan kehidupan manusia:-

"Demi Masa! 

Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati kepada kebenaran dan nasihat-menasihati kepada kesabaran." 

Surah al-'Asr, 103:1-3

Masa adalah sesuatu ciptaan Allah SWT yang mengingatkan kita kepada sunnatullah alam ini dijadikan. Segalanya mengikut kehendak Penciptanya serta dikawal di bawah kekuasaan Rabb al-Jalil. Tiada siapa pun yang mampu untuk menghentikan masa mahupun menjimatkan masa.

Yang ada cumalah membuang masa

Kita diberikan 24 jam atau 1440 minit atau 86,400 saat untuk sehari dalam hidup kita. Suatu tempoh yang sempurna untuk kita manfaatkan sebenarnya. Tetapi, ramai yang masih terasa tempoh ini masih tidak memadai. Malah tempoh hayat lazim bagi umat akhir zaman yang puratanya dalam 70 tahun juga tidak cukup sama sekali.

Jika boleh, kita inginkan supaya Allah SWT memberikan kita jangka masa yang lebih lama. Mungkin lebih lama dari Nabi Adam AS sendiri.

Tanyakan semula pada diri kita:- 

Sekiranya direzekikan dengan hayat selama 1000 tahun sekalipun, adakah kita mampu memanfaatkan dengan sebaik-baiknya? 

Atau itu juga masih belum cukup?

Masa yang telah berlalu takkan berulang semula dan kita takkan mampu untuk kembali ke saat itu lagi. Tiada mesin mahupun kaedah yang boleh menjadikan 'time-travel' itu suatu realiti. Inilah hikmahnya apabila kita memahami konsep 'bertuhankan' Allah SWT.

Segala yang diciptakan menurut setiap ketentuan-Nya tanpa gagal.

Suatu persepektif ilmu yang tidak akan kita mampu fahami dengan akal yang amat terbatas ini. Bahkan kita rujuk semula kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW; tiada sebarang indikasi yang memungkinkan kebarangkalian 'time-travel' ini. 

Yang ada cumalah destinasi utama kita iaitu akhirat yang kekal abadi.


Oleh itu, berapa lama lagi masa yang ingin kita bazirkan dengan perkara yang tidak membawa kita dekat kepada Allah SWT?

Dunia tidak selamanya berada di dalam genggaman kita dan maut tidak akan menanti kita untuk bertaubat.

Kita hanya terasa selesa dan gembira disebabkan oleh butanya hati dan akal ini dari menyedari hakikat hidup yang telalu singkat ini. Sedangkan di depan mata kita, telah Allah SWT tunjukkan kebenaran-Nya melalui kematian, penuaan, penyakit dan sebagainya.

Ingatlah pesanan daripada Hasan al-Basri ini:-

"Tanda bahawa Allah telah berpaling dari hamba-Nya adalah jika seseorang itu disibukkan dengan perkara-perkara yang sia-sia dalam hidupnya"

Wallahu'alam

Powered by Blogger.