Header Ads

Menghayati Erti Sabar

Sabar itu indah. Sabar itu susah kerana bukan mudah untuk kita istiqamah dalam bersabar.


Bahkan kesabaran ini merupakan pakaian lahiriah yang senang dilihat oleh insan-insan di sekeliling kita. Kerana sabar itu berkait rapat dengan emosi diri, budi bahasa serta akhlak dalam jatidiri seseorang.

Bila kita rasa marah dan tertekan, adakah kita mampu mengawal diri dari bertengkar dan bermasam muka?

Ataupun ketika kita sedang diuji dengan kerugian dan kesusahan yang disebabkan oleh orang lain, bolehkah kita menenangkan diri lalu memaafkan segala yang terjadi?

Saya pernah melihat seseorang yang begitu hebat tahap kesabarannya. Biarpun banyak kesukaran yang dilalui, ditambah pula dengan pelbagai rintangan datang dari manusia-manusia sekelilingnya, dia mampu tenang dan redha. Walaupun dia sering dikhianati, tiada dendam langsung yang disimpan, membuatkan dia amat disukai dan disenangi oleh sesiapa sahaja.

Pada pendapat saya, kesabarannya itulah penyerlah kecantikan peribadi diri. 

Sesuatu yang cantik untuk diteladani, tenang untuk didampingi dan indah untuk dihayati. Sepertimana firman Allah SWT yang menisbahkan keindahan dan kecantikan itu dengan nilai kesabaran:-

“Maka sabar itu indah.”

Surah Yusuf 12:18 dan 12:13

Sabar dari segi bahasanya, bermaksud menahan atau mencegah.

Manakala dari istilah syarak pula ia adalah tindakan menahan diri untuk tetap melakukan ketaatan dan meninggalkan segala larangan Allah SWT. Malah mampu berlapang dada menerima setiap ketentuan yang telah ditetapkan Allah SWT dalam hidup.

Ibn Taimiyah RH telah membahagikan orang yang sabar ini kepada tiga golongan:-

#1 Ahli Sabar dan Ahli Taqwa

Golongan ini memiliki kesabaran yang seiring dengan ketaqwaannya kerana mereka menyedari bahawa hasil daripada ketaqwaan mereka kepada Allah SWT itu akan membuahkan kesabaran.

#2 Ahli Amalan Orang Bertaqwa tetapi bukan Ahli Sabar

Golongan ini pula rajin beribadah tetapi lapisan kesabarannya amat nipis. Contohnya, apabila seorang ibu yang solehah telah kehilangan anak kesayangannya, tetapi si ibu tersebut menangis dan meratap-ratap memohon supaya nyawa anaknya itu dikembalikan semula.

#3 Ahli Sabar tetapi langsung tiada Taqwa

Golongan ini memiliki kesabaran yang amat hina. Mereka terdiri daripada pelaku maksiat dan dosa yang sabar dalam mengerjakan kemungkaran walaupun mereka sedar yang ia berisiko tinggi, ditegah oleh masyarakat dan undang-undang. Demi kepuasan nafsu, mereka sanggup berbuat apa sahaja.


Di sini, dapatlah kita rumuskan bahawa sabar yang sempurna itu perlu hadir dengan sifat taqwa. Bahkan tidak salah saya katakan di sini, tanpa ketaqwaan yang sebenar, kita pasti tidak akan mampu bersabar demi Allah SWT.

Namun, bila kita bercakap tentang sabar, kebanyakan kita cuma memahami sabar itu adalah apabila menghadapi musibah. Sedangkan sabar itu terlalu luas pembahagiannya sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Solleh al-Munajid:-

Medan Pertama

Sabar atas segala ujian yang diberikan Allah SWT di atas dunia ini.

Medan Kedua

Sabar atas keinginan nafsu yang meliputi empat perkara jika dirujuk pada ulasan Ibn Qayyim mengenai hal ini:-
  • Jangan mudah menyerah dan terpedaya dengan nafsu
  • Tidak leka dan berlebihan dalam memenuhi kehendak dan keinginan duniawi
  • Bersabar dalam menunaikan hak Allah SWT
  • Tidak menjerumuskan diri dalam kancah maksiat
Medan Ketiga

Sabar untuk tidak hasad dan dengki atas apa-apa rezeki yang dimiliki oleh orang lain

Medan Keempat

Sabar dalam menunaikan ketaatan kepada Allah SWT seperti :-
  • Menuntut ilmu bagi menyempurnakan kefahaman dalam ibadah
  • Menuruti setiap ibadah yang diwajibkan
  • Memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat
  • Menjaga istiqamah dalam beribadah
  • Memelihara hati dari dijangkiti penyakit-penyakit mazmumah yang merosakkan nilai ibadah yang dilakukan.
Medan Kelima

Sabar meninggalkan maksiat

Medan Keenam

Sabar dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Mukmin, contohnya melaksanakan amar makruf nahi mungkar, memelihara diri dan keluarga dari api neraka.

Medan Ketujuh

Sabar atas segala gangguan, kerisauan, kesusahan serta ancaman yang datang daripada manusia yang buruk perilakunya.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.