Header Ads

Dari Dakwah Datangnya Hidayah

Dakwah bukan sahaja tertumpu dalam mengajak manusia ke arah kebaikan bahkan menegah kemaksiatan yang berlaku di hadapan mata. Allah SWT memerintahkan setiap orang yang bergelar Muslim agar melaksanakan amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) selagi kita masih hidup. 


Tidak kiralah sekiranya dosa-dosa itu dilakukan oleh ibu bapa, suami atau isteri, anak, adik beradik mahupun sahabat handai serta orang yang tidak dikenali. Apabila dosa itu terjadi secara terang-terangan dan si pelakunya pula tampak bangga dan tidak takut akan kemurkaan Allah SWT, maka kita harus segera tampil menyampaikan peringatan.

Dalam memberikan peringatan ini, bukan sahaja kata-kata nasihat yang berhikmah disampaikan malah amaran dan ancaman keras daripada Allah SWT juga mesti dilontarkan agar teguran itu menusuk ke sanubari.

Lalu keluarlah pula kata-kata:-

“Dakwah jangan sampai suka menakut-nakutkan....itu salah.”

Pada saya, alasan ini cuma digunapakai oleh sebilangan manusia yang sebenarnya terlalu ego untuk menerima teguran. Satu sikap yang terlalu menebal di kalangan umat Islam masakini yang memikirkan bahawa diri mereka sudah sempurna untuk melakukan kesilapan.

Cuba kita lihat cara Allah SWT mengarang al-Quran untuk dijadikan panduan kita semua.

Di dalamnya terdapat kisah-kisah yang berkisar tentang kenikmatan syurga serta balasan-balasan baik bagi hamba-Nya yang bertaqwa. Selain itu pula, Allah SWT selitkan banyak ancaman serta amaran-amaran keras kepada orang yang fasiq (derhaka), golongan munafiq dan kaum-kaum yang kafir.

Apakah ancamannya?

Iaitu neraka yang diciptakan Allah SWT dengan api yang menjulang-julang panasnya ditambah lagi dengan seksaan yang amat pedih dan dahsyat. Baca sahaja mana-mana surah yang menceritakan perihal ini, pasti kita akan menangis ketakutan mengharapkan keampunan Allah SWT.

Adalah lebih baik jika peringatan yang kita sampaikan itu mendatangkan rasa takut seseorang kepada Allah SWT atas dosa dan maksiatnya daripada tidak memberikan apa-apa kesan langsung. Itulah nilai hikmah dalam berdakwah yang mana adakalanya ia bersifat lembut dan adakalanya pula berbunyi keras.

Jadi, mengapa perlu rasa bimbang dengan timbulnya rasa takut (khauf) kepada Allah SWT, sedangkan itulah salah satu ciri-ciri orang yang bertaqwa. Sebaiknya, kita perlu luaskan kesempitan akal dan hati ini daripada menidakkan kebenaran yang dilontarkan di depan mata. 

Adakah perlu dibutakan hati dan dipekakkan telinga daripada menerima sebarang nasihat dan teguran hanya semata-mata mesejnya itu begitu pahit untuk dihadam?

Cukup-cukuplah berlindung di sebalik sifat kebudak-budakan yang tidak membawa kita ke mana-mana di akhirnya. Teruskan berdakwah tanpa peduli akan dikritik dan diperlekehkan. Sedangkan Rasulullah SAW dahulu juga menghadapi perkara yang sama berkali-kali ganda lebih berat daripada kita.


Biarlah kita dikritik dan dibidas di dunia oleh manusia daripada dibentak oleh Allah SWT di akhirat nanti disebabkan kita lebih suka berdiam diri apabila melihat maksiat dan dosa berlaku di depan mata.

Rasulullah SAW pernah bersabda:-

“Jika kamu menjadi asbab (pembawa) kepada seseorang itu mendapat kesedaran dan petunjuk (Islam), ia lebih baik untukmu daripada unta yang paling berharga (simbolik kepada nilai yang sangat tinggi).”

Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim 

Wallahua'lam

Powered by Blogger.