Islam Itu Bermula Dari Hati
“Ramai orang Islam yang makin songsang Islamnya.”
Kenalan saya meluahkan rungutannya sambil mengelengkan kepala apabila melihat satu anugerah hiburan yang ditayangkan di TV beberapa ketika dahulu. Saya tersenyum sahaja mendengarnya kerana saya juga bersependapat dengannya.
“Dulu ulama' dan ilmuwan jadi ikutan utama, sekarang penyanyi dan pelakon pula diagung-agungkan. Orang-orang muda berlumba-lumba untuk jadi artis daripada mendalami ilmu al-Quran”, sambung kenalan saya itu lagi.
“Dunia akhir zaman.....terbukti juga kebenarannya hadith Rasulullah SAW mengenai umat ini. Dan suatu masa nanti, mereka yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam akan menjadi terasing sepertimana Islam itu sendiri bermula”, tambah saya pula.
Kita semua boleh melihat sendiri dengan jelas betapa budaya hedonisme dan pemikiran sekular semakin merebak di kalangan umat Islam masakini. Terlalu banyak isme-isme yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan membuatkan amalan dan ajaran Islam itu sendiri semakin tercemar dan terhina.
Hasilnya, wujudlah satu generasi Islam jenis ‘baru’ yang tidak lagi menggunapakai pemikiran para salafussoleh. Sebaliknya, mereka lebih suka mengubahsuai Islam itu sendiri yang difikirkan lebih moden dan seiring dengan peredaran zaman.
Sebagai contoh saya timbulkan isu aurat.
Dahulu tudung adalah pakaian yang digunakan untuk menutup aurat rambut wanita. Baju kurung atau jubah pula untuk menutup tubuh badan. Tetapi kini, muncul pula trend Muslimah moden yang dinamakan ‘hijabista’. Memang saya lihat ramai yang mula suka bertudung tetapi fesyen ‘hijabista’ ini tidak merangkumi sepenuhnya aspek penutupan aurat yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Kita lihat perintah penutupan aurat ini di dalam al-Quran:-
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isteri mu dan anak-anak perempuan mu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.
Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Surah al-Ahzab 33:59
Ada yang bertudung tetapi memakai baju T-shirt yang terdedah lengannya.
Bagi yang mengenakan baju lengan panjang pula, seluar jeans yang dipakai mendedahkan bentuk badan sendiri. Pendek kata, istilah aurat bagi mereka adalah menutup rambut sahaja sedangkan aurat wanita Islam adalah menutup seluruh tubuhnya (kecuali tapak tangan dan muka) termasuklah bentuk tubuh mereka daripada pandangan lelaki bukan mahram.
Bagi yang mengenakan baju lengan panjang pula, seluar jeans yang dipakai mendedahkan bentuk badan sendiri. Pendek kata, istilah aurat bagi mereka adalah menutup rambut sahaja sedangkan aurat wanita Islam adalah menutup seluruh tubuhnya (kecuali tapak tangan dan muka) termasuklah bentuk tubuh mereka daripada pandangan lelaki bukan mahram.
Bahkan ada juga yang bertudung dan berjubah sekadar menunjukkan kepada dunia bahawa mereka telah berhijrah dari kejahilan. Tapi selang beberapa lama, jubah pun entah ke mana, tudung pun entah ke mana.
Bila ditanya, tanpa segan silu mereka menjawab: “Ini soal hati”
“Sekejap bertudung, sekejap terdedah jambul dan sekejap lagi terbuka pula. Seolah-olah masuk neraka itu pun sekejap-sekejap juga. Betapa beraninya bermain-main dengan hukum Allah SWT”, kenalan saya itu pula mencelah.
Memang benar apa yang diperkatakannya.
Inilah gaya iman ‘on and off’, satu budaya yang kebanyakannya dimiliki oleh umat Islam di negara ini. Puncanya adalah kerana Islam yang bertapak di dalam hati itu hanyalah Islam ikut-ikutan, diwarisi daripada keturunan semata-mata bukannya melalui kefahaman yang sebenar.
Kerana itulah, ramai yang saya boleh katakan pegangan sejati mereka adalah Islam pada nama bukan Islam pada jiwa.
Adakah benar-benar jelas dalam menilai keislaman diri seseorang masakini?
Kita berbalik pada soal hati tadi. Sememangnya Islam itu secara automatiknya mampu dinilai melalui hati seseorang. Dan dari hatilah ia menterjemahkan peribadinya dan juga perbuatannya sehari-hari.
Islam bukan sahaja terukir pada perlaksanaan ibadah fardhu ain sahaja, bahkan kesyumulan agama ini mencakupi seluruh aspek kehidupan kita.
Islam bukan sahaja terukir pada perlaksanaan ibadah fardhu ain sahaja, bahkan kesyumulan agama ini mencakupi seluruh aspek kehidupan kita.
Rasulullah SAW ada menjelaskan mengenai hati:-
“Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat seketul daging.
Jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh.
Ketahuilah bahawa ia adalah hati.”
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Jadi......jika Islam kita cuma dinilai pada nama dan perkataan ‘Islam’ di atas kad pengenalan sahaja, bagaimana pula ia mampu diterjemahkan melalui peribadi dan kefahaman kita akan Islam itu sendiri?
Sedangkan Islam itu perlu bertapak terlebih dahulu di dalam hati sanubari ini. Barulah kita mampu menghindarkan diri dari terjebak dalam kancah kesongsangan Islam yang semakin menjadi-jadi.
Wallahua'lam
Post a Comment