Header Ads

Solat Pengubat Jiwa


Solat fardhu adalah kewajipan utama setiap umat Islam yang telah akil baligh. Ibadah ini merupakan pembeza antara seorang itu Muslim atau kafir, penentu tertegaknya atau runtuhnya syiar agama serta pencegah seseorang dari terjerumus dalam kemungkaran.

Selain itu, solat juga adalah pengubat jiwa.

Saban hari, kita pasti melakukan dosa, sengaja atau tidak sengaja, tiada sesiapa pun dapat terlepas darinya. Apabila kemungkaran dilakukan, maka timbullah satu titik hitam di dalam hati ini. Jika ia tidak dibersihkan, setitik demi setitik akan bertambah, lama-kelamaan akan menggelapkan hati ini yang dahulunya suci.

Hati yang gelap dengan dosa dan maksiat tidak akan dapat ditembusi oleh cahaya (nur) hidayah Allah SWT. Apatah lagi hendak wujud aura-aura ketenangan dan kebahagiaan. Disebabkan itulah hidup seseorang itu terasa kosong, gelisah, hilang arah, gagal dan sedih tanpa sebab. Paksi hidupnya makin terpesong dari berpusatkan Allah SWT, sebaliknya hawa nafsu dan logik akal pula dijadikan pegangan.

Dari situlah kita mula bertindak sewenang-wenangnya tanpa peduli akan Allah SWT lagi.

Zaman sekarang, kita boleh lihat dengan mudah bukti ‘kehancuran’ jiwa seseorang yang hatinya telah terlalu lama kotor dengan dosa. 

Pernah saya terdengar perbualan dari meja bersebelahan ketika minum petang di salah sebuah restoran mamak bersama kenalan seusrah. Begitu khusyuk beberapa orang pemuda yang saya yakini agamanya Islam, membelek-belek tiket ‘nombor ekor’ sambil beria-ia mengharapkan nombor yang dibeli itu akan ‘kena’.

Tampak terujanya di wajah masing-masing berbual-bual sedangkan saya pasti mereka semua tahu yang berjudi itu adalah salah satu dosa besar di sisi Islam. Seperti tiada lagi perasaan malu atau segan dalam diri mereka ketika itu membuatkan saya beristighfar panjang.

Jika dibaca di berita semasa pula, kejadian jenayah makin menjadi-jadi dari hari ke hari. Kalau dahulu, agak susah untuk kita dengar kes-kes jenayah berat. Tetapi kini ia sudah menjadi satu kelaziman dalam masyarakat kita malah naik jemu pula membacanya.

Seolah-olah, semakin maju teknologi dan peradaban sesebuah masyarakat, semakin teruk pula kejatuhan moral dan akhlak yang terjadi membuatkan kita seperti kembali ke zaman jahiliyyah semula.

Tambahan pula, sedikit sahaja orang Islam yang benar-benar peduli akan isu halal haram dalam hidup masing-masing bahkan sempadan pemisah antara kedua-duanya sengaja dikaburkan oleh golongan tertentu. Semuanya demi menampakkan ‘kehalalan’ dalam perkara yang haram. Malah lebih teruk apabila perkara syubhat sebegini telah menjadi trend semasa dan kebiasaan dalam masyarakat.

Ada juga yang menjadi hamba Allah SWT yang taat di sebelah pagi dan kemudian derhaka pula pada Allah SWT di sebelah petangnya dan sebaliknya. Nauzubillahuminzaliq!

Inilah yang pasti terjadi apabila Allah SWT tidak lagi mendapat tempat di dalam jiwa, fikiran dan kehidupan. Lalu, bagaimana kita mampu mencapai kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat?

Allah SWT berfirman:-

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Surah Taha 20:14

Zikrullah (mengingati Allah SWT) adalah ubat yang paling mujarab dalam menyembuhkan penyakit jiwa yang banyak menyerang umat Islam akhir zaman ini. Ia merupakan janji Allah SWT seperti yang dijelaskan dalam al-Quran melalui Surah ar-Ra’d, ayat ke-28

Dan salah satunya adalah ibadah solat.

Solat menjadi satu tarbiah, tazkirah serta pemangkin buat diri seseorang, agar jiwa dan raganya tunduk kepada kekuasaan Allah SWT serta perintah-perintah-Nya. Ia diibaratkan seperti kepala kepada jasad manusia, dan tanpa kepala maka tidak akan sempurnalah sesebuah jasad.

Itulah perumpamaan keutamaan solat dalam melengkapkan kehidupan seseorang Muslim.

Dalam kitab At-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata’illah RH menghuraikan lagi:-

“Solat amat besar kemuliaannya dan keadaannya di sisi Allah amatlah berat.”

Seperti yang telah saya nyatakan tadi, kita sebagai manusia bukannya maksum (terpelihara dari dosa). Maka dengan solatlah kita mampu menyucikan jiwa yang telah dikotori oleh dosa dan maksiat. Bahkan solat juga yang dapat menjaga diri kita untuk mengenal perangkap-perangkap kemungkaran dalam hidup ini.


Bertepatan pula dengan firman Allah SWT:-

"Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar." 

Surah Al-Ankabut 29:45

Justeru bintik-bintik hitam yang telah menodai kesucian hati ini akan dibersihkan dengan solat. Insya-Allah, ketenangan dan kebahagiaan akan datang semula dalam hidup ini. Apabila hati kita sudah bersih, maka terkesanlah ia melalui perbuatan, akhlak dan pemikiran kita sendiri.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.