Header Ads

Menghadapi Si Munafik

Kata-kata adalah cerminan peribadi kita.

Salah satu faktor yang dinilai oleh insan-insan di sekeliling kita selain penampilan luaran. Kita boleh mengenali seseorang itu kalau sikapnya kasar, lembut, jujur, khianat melalui kata-katanya.

Namun, ia cuma sekadar penilaian luaran semata-mata. Kadangkala kata-kata itu tidak menunjukkan isi hati yang sebenar. Bak kata orang; lain di hati, lain pula di mulut.  Kerana kata-kata itu cukup mudah diucapkan dan sentiasa berubah-ubah sama seperti hati dan perangai manusia, umumnya.

Hakikatnya, siapa yang tidak pernah tertipu dengan kata-kata. Ia cuma dijadikan sebagai pemikat hati dan penyedap telinga yang mendengarnya. Lagi-lagi oleh mereka yang suka 'cakap tak serupa bikin'.


Inilah salah satu petanda barah munafik yang mula merebak dalam hati seseorang seperti sabda Rasulullah SAW:-

“Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata-kata dia berdusta, apabila berjanji dia mengingkari dan apabila diberikan amanah dia mengkhianatinya.”

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Kita takkan mampu lari dari golongan ini, kerana mereka sudah begitu ramai di sekeliling kita. Walaupun kita sudah kenal akan sifat sebenar mereka, namun kita terpaksa juga berdepan dengan gelagat kepura-puraan orang-orang sebegini.

Oleh itu, bagaimana cara terbaik untuk kita menghadapinya?

Saya bawakan sedikit panduan yang Allah SWT letakkan di dalam al-Quran untuk kita jadikan pedoman. Moga-moga, melalui petunjuk-Nya ini kita pasti berjaya mengatasi tipu daya dari manusia munafik ini.

#1 Letakkan pergantungan kita kepada Allah SWT

Tiada manfaatnya jika kita melayan orang munafik ini, kerana kata-katanya penuh dengan dusta apatah lagi bila kita mahu mereka berpegang pada janji.

Bahkan bila kita diancam pula, usahlah takut mahupun berasa khuatir kerana golongan ini sebenarnya terdiri daripada orang yang pengecut. Mereka tahu bahawa orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT tidak sesekali akan terjejas oleh tindakan mereka. Malah mereka pula yang gelisah sekiranya tipu daya mereka itu diketahui oleh orang lain.

Allah SWT berjanji kepada kita melalui firman-Nya:-

“Dan janganlah kamu menuruti kehendak orang kafir dan munafik itu. 
Janganlah kamu hiraukan celaan mereka dan bertawakallah kepada Allah. 
Dan cukuplah Allah sebagai pelindung (yang menyelamatkan kamu).”

Surah al-Ahzab 33:48

Tiada tawakal terbaik melainkan kita menyerahkan segala pergantungan dan pengharapan kita kepada Allah SWT.

#2 Takutlah kepada Allah SWT bukan kepada makhluk-Nya

Tegas Allah SWT di dalam al-Quran:-

“Wahai Nabi, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang kafir dan munafik. 
Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Ahzab 33:1

Biarlah golongan munafik ini memiliki kekuasaan dan pengaruh sekalipun, jangan sesekali kita menurut segala kehendak mereka. Malah sifat ego dan hipokrit akan semakin meninggi di dalam hati insan-insan 'talam dua muka' ini jika kita terus tunduk pada mereka.

Sedangkan Allah SWT Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan hanya kepada Allah SWT sahajalah kita berhak takut dan tunduk berbanding mahkluk-Nya.

#3 Bertegas dalam berurusan dengan golongan munafik

Yang haram tetap haram dan yang halal tetap halal.

Itulah prinsip utama yang kita perlu pertahankan dalam berurusan dengan golongan munafik ini. Mereka akan senantiasa menguji keimanan kita sehingga ke akar umbinya. Dengan membantah dan bertegas, kita menunjukkan bahawa kita berpegang teguh pada syariat agama yang suci.

Tiada salahnya melawan, lebih-lebih lagi kita menghalang dari terjadinya hal yang melanggar syariat Islam seperti membenarkan maksiat dan mengubah-ubah hukum Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT:-

“Wahai Nabi, berjihadlah (melawan) orang kafir dan munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka. 
Tempat mereka ialah neraka Jahanam. 

Dan itulah tempat kembali yang seburuk-buruknya.”

Surah at-Taubah 9:73


Kita harus ingat, Allah SWT amat membenci golongan munafik, bahkan mereka dikhaskan tempatnya di neraka Jahannam, iaitu neraka yang paling bawah tingkatannya nanti. Oleh itu, jika kita terpaksa juga bergaul atau berhubung dengan golongan munafik ini, janganlah takut dan bimbang.

Insya-Allah, apabila kita mengutamakan Allah SWT, pasti Dia bersama kita hingga ke akhirnya.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.