Header Ads

Berteman Dengan Orang Soleh

Kata orang-orang tua:-

"Kalau nak kenal perangai seseorang, perhatikan dengan siapa dia gemar berkawan."

Fitrah manusia hidupnya bermasyarakat, berkeluarga dan berkawan. Kita bebas memilih dengan siapa sahaja untuk kita jadikan teman. Bergantung kepada kecenderungan diri sendiri sepertimana kata-kata hikmah yang saya selitkan di atas.


Memang benar, dalam keadaan mengenali sikap dan peribadi diri; kita perlu lihat dengan siapa kita selalu rapat. Ini merupakan asas kepada psikologi manusia yang senang terkesan dengan pengaruh sekelilingnya sama ada dari segi aspek tempat tinggal, latarbelakang keluarga dan pendidikan malah lingkungan sosialnya terutamanya kawan-kawan.

Cuba hayati firman Allah SWT ini:-

"Dan jadikan dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.

Dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia.

Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami dalam al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

Surah al-Kahfi 18:28

Dalam ayat ini, Allah SWT memperjelaskan kepada Rasulullah SAW mengenai keutamaan mencari teman yang soleh. Tujuan mendampingi mereka adalah demi menyuburkan iman di dalam hati. Jika Rasulullah SAW sendiri yang bersifat maksum diperintahkan agar mendampingi golongan solehin, apatah lagi kita ini yang senantiasa bergelumang dengan dosa.

Bahkan keutamaan berdampingan dengan orang yang soleh ini pernah disebut oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai suatu perbandingan melalui sabda Baginda SAW:-

"Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. 

Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi, atau engkau dapat membeli minyak wangi darinya, kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau harum darinya.

Sedangkan tukang besi, jika percikan apinya mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tidak enak."

Hadith Riwayat al-Bukhari

Inilah perbandingan terbaik untuk kita jadikan panduan dalam berkawan dan bersahabat. Bila kita dikelilingi oleh teman-teman yang baik, pasti diri kita akan terdorong untuk sentiasa melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Manakala, bila kita sengaja mendekatkan diri dengan teman-teman yang fasiq (derhaka) kepada Allah SWT, lambat-laun kita pasti akan terikut-ikut dengan perangai mereka.

Harus diingatkan suruhan berdampingan dengan teman-teman yang soleh ini bukanlah sesuatu yang wajib namun ia dianjurkan. Pilihlah teman-teman yang baik, dari kalangan mereka yang senantiasa mengingatkan kita kepada Allah SWT sama ada dari segi percakapan, perbuatan malah cara pemikiran mereka.

Iman di dalam diri adalah suatu tanggungjawab yang perlu dijaga dengan teliti. Ia mesti disemai dengan ibadah yang khusyuk dan akhlak yang mulia. Maka berdampingan dengan teman-teman yang soleh merupakan salah satu daripada usaha ini.


Insya-Allah, jika kita mula berusaha memperbaiki diri ini demi Allah SWT, bantuan-Nya pasti akan tiba untuk mempermudahkan.

Wallahu'alam

Powered by Blogger.