Header Ads

20 Malaikat Yang Patut Kita Kenali


Bila kali terakhir kita meng'update'kan ilmu Rukun Iman kita?

Mungkin sewaktu di sekolah rendah, kita ada mempelajari tentang nama-nama  10 malaikat dan tugasnya. Tetapi sampai di tahap itu sahaja barangkali. Sedangkan di dalam al-Quran banyak merakamkan firman Allah SWT mengenai mahkluk-Nya yang begitu unik ini.

Di sini, saya senaraikan 20 malaikat serta sifat-sifat mereka seperti yang terdapat di dalam al-Quran dan hadith Rasulullah SAW.

1. Malaikat pembawa Arasy

Firman Allah SWT:-

"Dan yang akan membawa Arasy Tuhanmu di atas kepala mereka pada hari itu seramai lapan malaikat."

Surah al-Baqarah 69:17

2. Malaikat di sekitar Arasy

Firman Allah SWT:-


"Malaikat-malaikat yang memikul Arasy dan yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya."

Surah al-Ghafir 40:7

3. Malaikat yang beribadat sepanjang masa

Ada malaikat yang hanya qiam (berdiri) tidak tunduk-tunduk langsung. Ada juga yang rukuk serta sujud sepanjang masa ditambah lagi dengan firman Allah SWT:-

"Mereka selalu bertasbih malam dan siang tiada henti-henti."

Surah al-Anbiya' 21:20

Rasulullah SAW juga ada bersabda mengenai hal ini:-

"Sesungguhnya aku tahu perkara yang kamu tidak ketahui, mendengar apa yang kamu tidak dengar. Sungguh langit merintih dan memang patut pun merintih.

Tiada satu ruang seluas empat batang jari pun kecuali pasti ada malaikat yang meletakkan dahinya bersujud kepada Allah. 

Demi Allah, seandainya kamu semua mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis."

Hadith Riwayat at-Tirmidzi

4. Malaikat pengurus Syurga

Terdapat para malaikat yang mengurus tadbir syurga diketuai oleh Malaikat Ridwan. Insya-Allah, jika kita direzekikan dengan syurga, merekalah yang akan menyambut kita kelak.

Firman Allah SWT:-

"Dan orang yang takut akan Tuhan mereka akan diiringkan masuk ke dalam syurga berombongan-rombongan. 

Sehinggalah mereka tiba maka dibukakan pintu-pintu syurga lalu para malaikat penjaganya menyambut:-

'Kesejahteraan buat kamu. 
Bertuahnya kamu, silakan masuk selama-lamanya'."

Surah al-Zumar 39:73

5. Malaikat penjaga Neraka

Manakala bagi malaikat yang ditugaskan menjaga neraka, Allah SWT memperincikan sifat-sifat malaikat ini sepertimana yang terkandung di dalam al-Quran dan hadith yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Para malaikat yang menjaga neraka ini diketuai oleh Malaikat Malik. Dibawahnya ada 19 malaikat utama dan kemudian diikuti oleh para malaikat yang tidak terkira ramainya.

Ada satu riwayat menyatakan, satu tali kendali di neraka ditarik oleh 70,000 malaikat. Dan ada 70,000 tali kendali semuanya. (Rujuk: Hadith Riwyat Muslim)

Antara firman Allah SWT:-

"Dan orang yang berada di dalam neraka berkata kepada penjaga-penjaga neraka Jahannam:-

'Mohonkanlah kepada Tuhanmu supaya Dia meringankan azab kami walau sehari'."

Surah al-Ghafir 40:49

"Ahli neraka menyeru:-

'Wahai Malik, biarlah Tuhanmu membunuh kami saja!'."

Surah al-Zukhruf 43:77-78


"Neraka itu pembakar manusia. 
Yang menjaganya 19 malaikat. Dan tidak Kami jadikan penjaga neraka itu melainkan malaikat."

Surah al-Muddaththir 74:29-31

6. Malaikat penjaga keselamatan manusia

Para malaikat ini disebut malaikat hafazah yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua malaikat. Mereka ditugaskan untuk menjaga setiap manusia daripada segala bahaya yang datang dari jin, manusia dan haiwan perosak kecuali bahaya yang telah ditakdirkan Allah SWT.

Melalui firman Allah SWT:-

"Bagi setiap orang ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergilir-gilir, dari depan dan dari belakangnya, yang menjaganya atas perintah"

Surah ar-Ra'd 13:11


"Dan Dialah yang berkuasa penuh hamba-Nya, dan Dialah mengutuskan kepadamu malaikat-malaikat penjaga."

Surah al-An'am 6:61

7. Malaikat pendamping manusia

Sabda Rasulullah SAW;-

"Tidak ada seorang pun antara kamu melainkan pasti ada satu qarin daripada jin dan satu qarin daripada malaikat."

Hadith Riwayat Ahmad

Di sini, qarin itu bermaksud makhluk yang sentiasa ikut bersama.

Dalam hadith lain pula:-

"Syaitan ada bisikan pada anak Adam. Begitu juga seorang malaikat ada bisikan. 

Adapun bisikan syaitan itu ajakan melakukan keburukan dan menolak kebenaran. Manakala bisikan malaikat itu ajakan melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Maka sesiapa yang mendapat bisikan ini, maka percayalah itu daripada Allah. Bersyukurlah kepada Allah. 
Manakala sesiapa yang mendapati bisikan satu lagi, maka mohonlah perlindungan Allah daripada syaitan."

Hadith Riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa'i

8. Malaikat pencatat amalan

Mereka lebih dikenali dengan sifat tugasan mereka (Raqib 'atid) atau juga sebahagian yang menyebut kiraman khatibin sepertiman yang dirakamkan Allah SWT di dalam al-Quran:-

"Seorang malaikat di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri. 

Dan tiada suatu ucapan pun melainkan pasti ada malaikat pengawas yang selalu hadir (raqib 'atid)." 

Surah al-Qaf 50:17-18

"Sungguh pasti ada yang mengawasi kamu yakni para malaikat mulia yang mencatat (kiraman khatibin). 
Mereka tahu segala yang kamu lakukan."

Surah al-Infitar 82:10-12

9. Malaikat hari Jumaat

Rasulullah SAW pernah menceritakan:-

"Apabila hari Jumaat tiba, maka di setiap pintu mashid terdapat malaikat yang mencatat siapa saja yang hadir terlebih dahulu. 

Kemudian apabila imam telah duduk (di atas mimbar). mereka menutup buku catatan dan turut mendengarkan peringatan."

Hadith Riwyaat al-Bukhari

10. Malaikat pencari kebaikan

Sabda Nabi SAW:-

"Sesungguhnya Allah mempunyai para malaikat yang selalu berkeliling di muka bumi, selain malaikat pencatat amalan. 
Apabila mendapati suatu kaum yang mengingati Allah, mereka segera memanggil teman-temannya:-

'Ke sini dapatkan apa yang kamu cari.'

Lalu mereka pun datang lalu menaungi manusia dengan sayapnya sehingga memenuhi langit bumi.

Hadith Riwayat at-Tirmidzi

Bahkan mereka menaungi orang yang menuntut ilmu, sepertimana yang perjelaskan oleh Rasulullah SAW:-

"Tidak ada seorang pun yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu melainkan para malaikat merendahkan sayap mereka kerana suka dengan apa yang dilakukannya."

Hadith Riwayat Ibn Majah

11. Malaikat Jibril

Beliau merupakan ketua kepada semua malaikat yang paling rapat dengan Allah SWT serta para Nabi dan Rasul. Jibril juga adalah penyampai wahyu malah menjadi guru agama kepada Rasulullah SAW. Orang Yahudi amat membenci Malaikat Jibril, oleh itu sebagai Mukmin yang sejati kita perlu mengimani serta menyayangi Malaikat Jibril.


Di dalam al-Quran juga Allah SWT menggelarkan Malaikat Jibril dengan pelbagai nama seperti al-ruh, al-ruh al-Amin dan al-ruh al-qudus.

Bahkan Allah SWT ada memuji Malaikat Jibril melalui firman-Nya:-

"Sungguh al-Quran itu benar-benar firman Allah yang dibawa utusan mulia. Yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy. 

Yang ditaati di sana (di alam malaikat) lagi dipercayai."

Surah al-Takwir 81:19-21

12. Malaikat Mikail

Siapa yang tidak kenal dengan ketua para malaikat yang ditugaskan untuk mengurus rezeki manusia. Selain itu beliau juga bertanggungjawab dalam mentadbir angin, awan dan hujan. Bayangkan betapa ramainya malaikat di bawah Malaikat Mikail sehinggakan setiap satu titisan hujan itu ada satu malaikat yang membawanya.

Rasulullah SAW pernah bertemu dengan Malaikat Mikail sewaktu Baginda SAW dimikrajkan menuju ke Sidratul Muntaha dan mengatakan Malaikat Mikail tidak pernah tersenyum sejak Allah SWT menciptakan neraka.

Di dalam al-Quran pula, jika kita rujuk pada ayat ke-98 surah al-Baqarah, nama Malaikat Mikail digandingkan dengan nama Malaikat Jibril.

13. Malaikat Israfil

Tugas utama Malaikat Israfil pula adalah meniup sangkakala. Namanya tidak disebut di dalam al-Quran tetapi kita boleh merujuk kepada hadith Rasulullah SAW yang mana Baginda SAW pernah berdoa kepada Allah SWT dengan menyebut namanya.

Rasulullah SAW juga ada menjelaskan tugas Malaikat Israfil ini:-

"Sesungguhnya sejak ditugaskan kepadanya, pandangan malaikat peniup sangkakala tidak pernah beralih dari melihat Arasy kerana bimbang datang perintah kepadanya sedang matanya berkedip."

Hadith Riwayat al-Hakim

14. Malaikat Maut

Allah SWT berfirman:-


"Katakanlah malaikat maut yang sudah ditugaskan akan mematikanmu, lalu kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan."

Surah as-Sajdah 32:11

Inilah cara Allah SWT memperkenalkan Malaikat Maut ini kepada kita berserta perihal tugasnya yang penting ini.

Selain itu,. Allah SWT juga merakamkan perihal proses mematikan mahkluk ini melibatkan bukan seorang malaikat sahaja melalui firman-Nya:-

"Sehingga apabila datang kematian kepada seseorang antara kamu, para utusan Kami mematikannya dan mereka tidak pernah melalaikan kewajipan."

Surah al-An'am 6:61

15. Malaikat Munkar dan Malaikat Nakir

Rasulullah SAW pernah memberitahu-

"Apabila ada antara kamu ditanam maka akan datang dua malaikat yang berwarna hitam kebiru-biruan. 

Salah seorang dipanggil Munkar dan seorang lagi Nakir."

Hadoth Riwayat at-Tirmidzi

16. Malaikat yang menggembirakan orang beriman

Apabila seseorang itu sedang hampir dengan saat kematiannya, Allah SWT mendedahkan melalui firman-Nya:-

"Sesungguhnya orang yang mengatakan: 
'Tuhan kami hanyalah Allah' 

Kemudian mereka teguh dengannya, maka malaikat akan turun kepada mereka: 
'Janganlah takut dan sedih. 
Bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan kepadamu'."

Surah al-Fussilat 41:30

17. Malaikat yang memasukkan zuriat

Dalam proses penciptaan manusia pula, para malaikat ada yang terlibat sejak awal lagi. Rasulullah SAW pernah menceritakan perihal ini:-

"Sesungguhnya semua orang dahulu berada dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nuftah
Kemudian menjadi 'alaqah (segumpal darah) selama itu juga. 
Kemudian selepas itu menjadi mudhghah (segumpal daging) selama itu juga.

Selepas itu ditugaskan seorang malaikat datang untuk meniupkan roh dan menulis empat perkara; rezekinya, ajalnya, amalannya dan kesudahannya celaka atau bahagia."

Hadith Riwayat Muslim

18. Malaikat Harut dan Malaikat Marut

Firman Allah SWT:-

"Orang Yahudi mengajar manusia sihir dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut. 

Dan dua orang malaikat itu tidak mengajar seseorang pun melainkan mereka pasti berkata: 
'Kami ini ujian, maka janganlah kufur!'"

Surah al-Baqarah 02:102

19. Malaikat penjaga gunung

Sewaktu Rasulullah SAW keluar dari kota Taif dalam keadaan sedih akibat dihalau dan dilempar batu oleh penduduk kota itu, Datanglah Malaikat Jibril bersama malaikat penjaga gunung bertemu dengan Baginda SAW.

Kata malaikat penjaga gunung:-

"Aku malaikat gunung.
Tuhanmu mengutuskanku kepadamu supaya engkau boleh menyuruh aku lakukan apa yang engkau mahu.
Jadi apa yang kau mahu? 
Jika kau mahu, aku boleh hempap mereka dengan dua gunung itu."

Lantas Rasulullah SAW menolak cadangan itu dan  menjawab:-

"Bahkan aku berharap semoga Allah melahirkan daripada keturunan mereka generasi orang yang akan menyembah Allah, tidak mensyirikkan Allah." 

Hadith Riwayat Muslim

20. Malaikat penjaga pintu langit

Rasulullah SAW menceritakan pengalaman mikraj Baginda SAW:-

"Kemudian Jibril membawaku hingga tiba ke langit dunia. 
Jibril meminta dibukakan pintu langit itu. 

Kemudian terdengar suara: "Siapa?"

Jibril menjawab: "Ini Jibril."

Malaikat itu bertanya lagi: "Siapa yang bersama kamu itu?"

Jibril menjawab: "Muhammad."

Malaikat itu bertanya lagi: "Dia sudah menjadi Rasul?"

Jibril menjawab: "Ya."

Lalu malaikat itu berkata: "Selamat datang buatnya. Orang terbaik yang pernah datang!"

Hadith Riwayat al-Bukhari

Wallahu'alam

Powered by Blogger.