Header Ads

Menzahirkan Kesyukuran

Allah SWT memulakan Ummul Kitab-Nya dengan kalimah ‘Alhamdulillah’, sebuah lafaz kesyukuran yang diajarkan kepada kita bagi meninggikan asma-Nya, mengagungkan sifat-Nya bahkan mengakui akan kesempurnaan zat-Nya.

Itulah tanda syukur seorang hamba kepada Penciptanya.


Bila berhadapan dengan Allah SWT di dalam solat, terasa hinanya diri ini yang sarat dengan kelemahan dan kekurangan membuatkan jiwa dan raga menjadi semakin tunduk kepada keesaan-Nya dan segala perintah-Nya.

Al-Allamah Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, seorang ulama' ulung abad ini pernah membicarakan isu syukur dengan panjang lebar di dalam kitab karangannya, Mukjizah al-Quran. Beliau menyatakan bahawa sebijak mana pun manusia di dunia ini dengan pelbagai pengiktirafan yang dipegang dalam bidang ilmu, tidak akan ada seorang pun yang mampu membuat kajian dan penyelidikan tentang bilangan nikmat yang Allah SWT telah kurniakan kepada kita.

Ia amat bertepatan dengan firman Allah SWT ini:-

“Dan Dialah yang telah mengurniakan kepada kamu daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. 
Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah pasti kamu tidak dapat menghitungnya (satu persatu). 

Sesungguhnya manusia itu sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya serta tidak menghargai nikmat Tuhannya.” 

Surah Ibrahim 14:34

Peringatan Allah SWT di akhir ayat ini begitu menyentuh jiwa saya ketika menaip posting ini. Adakalanya, saat saya bermuhasabah diri, tersedar juga yang saya banyak ‘meletakkan’ kegunaan nikmat-nikmat yang Allah SWT telah berikan itu di tempat yang tidak sepatutnya.

Memaknakan erti syukur ini bukanlah semudah melafazkan kalimah syukur itu sendiri, apatah lagi memilih-milih waktu tertentu dalam menzahirkan kesyukuran kepada-Nya. Kesyukuran itu adalah suatu tindakbalas melalui perbuatan, akhlak dan pemikiran kita terhadap segala kebaikan yang kita terima daripada Rabb al-Jalil pada setiap masa. 

Apabila kita diberi nikmat lalu kita bersyukur dengan mengingati Pemberinya (Allah SWT). Semakin banyak yang diberikan, semakin menebal kesedaran dalam jiwa ini yang segalanya itu adalah pinjaman semata-mata. Tiada satu pun merupakan hak milik kita melainkan kepunyaan Allah SWT sahaja.

Janganlah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang tidak mampu bersyukur kerana hidupnya pasti diselubungi dengan kerakusan. Ini kerana tanpa rasa syukur, kita cuma melihat kekurangan dalam diri bukannya kelebihan-kelebihan yang Allah SWT telah kurniakan buat kita.

Rasulullah SAW juga ada menerangkan perihal orang yang tidak bersyukur ini:-

“Sekiranya manusia memiliki dua buah lembah harta sekalipun, nescaya mereka akan mencari lembah ketiga....

Hadith Riwayat Ahmad

Di sini, perasaan rakus terhadap dunia telah menggantikan rasa syukur dalam diri seseorang.

Hidupnya menjadi tidak tenang akibat ketakutan jika kehilangan harta dan pangkatnya. Dirinya pula diserang rasa tidak puas kesan dari ketamakan yang semakin lama semakin membarah. Biarpun dia berada di tengah-tengah lambakan harta benda sekalipun, tiada secubit bahagia pun akan terbit di dalam jiwanya.

Inilah azab yang Allah SWT berikan di dunia sebelum tiba azab di akhirat nanti.

Ingatlah janji Allah SWT ini:-

“Tetapi ingat sekiranya kamu kufur nikmat aku, sesungguhnya azab-Ku sangat besar.”

Surah Ibrahim 14:7

Oleh itu bersyukurlah......sebagai tanda pengakuan yang kita ini hamba Allah SWT. Adalah lebih baik mendapat kekayaan jiwa yang subur dengan sifat syukur daripada memiliki kekayaan harta yang datang dari keegoan dan kesombongan.


Elakkan daripada mencontohi sifat Qarun yang begitu angkuh dan kedekut sepertimana yang terakam di dalam al-Quran:-

“Qarun berkata:-

‘Sesungguhnya aku hanya diberikan harta itu kerana ilmu yang ada padaku’.”

Surah al-Qasas 28:78

Siapa pun kita, sehebat mana pun kita, sekaya mana pun kita.....kita ini ‘dimiliki’ oleh Allah SWT. Apabila kita sudah merasakan tidak mahu memiliki dan dimiliki oleh dunia ini, itulah kemuncak kesyukuran yang pasti menghadirkan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.