Header Ads

5 Tabiat Sedekah Terbaik


Bersedekah adalah amalan yang amat digalakkan dalam Islam. Lebih-lebih lagi sedekah yang dihiasi dengan keikhlasan dan pengharapan kepada Allah SWT semata-mata.

Bahkan sesiapa sahaja yang melazimi amalan sedekah ini, dijanjikan kebaikan untuknya tanpa gagal, sepertimana firman-Nya:-

“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.”

Surah al-Baqarah 2:274

Namun begitu, sedekah juga ada banyak cara dan keadaannya. Di sini, saya senaraikan 5 tabiat bersedekah yang terbaik untuk kita jadikan satu kebiasaan:-

Tabiat #1 Buatlah secara rahsia

Ibarat tangan kiri tidak tahu apa yang tangan kanan berikan, inilah nilai kerahsiaan yang amat dijaga oleh para salafussoleh dalam amalan sedekah mereka. Tidak perlu dicanang ke sana ke mari yang kita hendak memberikan sumbangan ataupun sedekah.

Tapi kebanyakan orang kita sekarang, baru sedekah RM1 pun sudah kecoh sekampung. Inikan pula jikalau jumlah yang dikeluarkan itu nilainya beribu mahupun berjuta ringgit. Kalau tak dibuat sidang media untuk dimasukkan ke slot berita utama, paling tidak pun dipaparkan di suratkhabar.

Mana ikhlasnya sesuatu amalan itu jika ditunjuk dan dihebohkan pada orang lain. Takkan ada tawadduknya yang akan hadir, melainkan perasaan ri’ak dan takbur pula menjelma.

Hayatilah hadith dari Rasulullah SAW ini yang menceritakan perihal 7 golongan manusia yang mendapat naungan Allah SWT di hari Kiamat nanti, salah satunya:-

“Orang yang bersedekah dengan diam-diam, sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang disedekahkan tangan kirinya.”

Hadith Riwayat Muslim

Tabiat #2 Infaq ketika masih sihat dan berharta

Saya pernah ulaskan dalam satu posting terdahulu, Rasulullah SAW mengumpamakan orang yang bersedekah ketika dirinya hampir mati ataupun sudah sakit tenat ibarat bersedekah hanya setelah kenyang. Ia merugikan malah membazir kerana nilai sedekah ini terlalu kecil di sisi Allah SWT.

Banyak saya lihat kerenah orang yang sebegini. 

Bila ditanya, kata mereka, selagi ajal belum tiba, tiada salahnya menikmati setiap harta benda yang mereka perolehi dari hasil usaha masing-masing. Nanti bila dah mati; mereka akan tulis wasiat untuk bahagi-bahagikan harta-harta itu pada rumah anak yatim, wakafkan pada Baitulmal dan sebagainya.

Sedangkan tidakkah mereka tahu, harta-harta itu sudah tidak menjadi hak mereka lagi selepas kematian dan wajib difaraidkan pula. 

Ubah cara sedekah kita. Semasa kita masih sihat dan muda, biasakanlah bersedekah sepanjang hidup ini.

Itukan lebih baik....

Tabiat #3 Berkongsi ketika saat paling memerlukan

Rasulullah SAW bersabda:-

“Seseorang yang hanya memiliki 2 Dirham tetapi dia bersedekah 1 Dirham iaitu separuh daripada hartanya adalah lebih baik daripada seseorang yang hanya bersedekah 100 ribu Dirham sedangkan hartanya melimpah ruah.”

Hadith Riwayat an-Nasa'i

Ini pula menilai tahap pengorbanan dalam sedekah kita. Takkan kita tidak sanggup bersusah sedikit demi Allah SWT?

Bukan mudah sebenarnya untuk mengeluarkan harta pada waktu kita amat-amat memerlukan. Rakan saya pernah berkongsi pengalamannya:-

“Mungkin kita cuma tak makan sehari saja kerana nak berjimat dari gunakan RM 5 dalam poket kita. 

Tetapi ada orang lain yang sudah seminggu teguk air sejuk tanpa menjamah apa-apa. Bila kita tahu kesusahan mereka, bantulah dan lapangkanlah kesukarannya.

Hari ini, kita dan dia diuji Allah SWT dengan sedikit kelaparan. Takkan kita tak mampu nak berkongsi dengannya rezeki RM 5 yang Allah SWT telah berikan itu?”

Masya-Allah, kuat sekali mujahadahnya.

Tabiat #4 Jagalah nafkah untuk keluarga

Nafkah juga satu sedekah.

Sudah menjadi kewajipan si suami dalam menjaga setiap keperluan isteri serta anak-anaknya. Tetapi apabila dia menyempurnakan nafkah itu sebaik-baik yang mungkin, menjaga dengan penuh teliti halal dan haram nafkah yang diberi serta melebihkan dari nilai yang sepatutnya, maka itulah sedekah.

Kerana amanahnya itu dipikul hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT semata-mata. 

Bertepatan pula dengan pesanan Rasulullah SAW ini, yang disampaikan oleh Abu Mas’ud al-Badri R.A:-

“Apabila seorang laki-laki memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu sama dengan (pahala) sedekah.”

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Oleh itu, wahai para suami di luar sana; nafkahmu itu jika ia datang dari sumber yang halal dan dihiasi dengan ikhlas dan kerana Allah SWT, adalah sedekah paling baik sepanjang hidupmu.

Maka, janganlah diabaikan mahupun disia-siakan.

Tabiat #5 Bantulah sanak saudara kita

Adakalanya kita lebih senang bersedekah kepada orang luar yang kita tidak kenali daripada membantu sanak saudara kita sendiri. Entah kenapa kemurnian hati kita itu tidak sampai kepada kaum kerabat yang mana silaturahimnya lebih penting untuk kita utamakan.

Tidak kisahlah kita membantu dalam apa-apa aspek sekalipun, sedekah itu tidak perlu disempitkan dalam spektrum wang ringgit atau harta benda sahaja. Cuba kita pegang nasihat Rasulullah SAW ini untuk dijadikan pedoman dalam amalan sedekah kita:-

“Sedekah kepada orang miskin nilainya hanya sedekah. Sedekah kepada kerabat nilainya dua; sedekah dan menyambung silaturahim.”

Hadith Riwayat Ahmad

Tiada ruginya kita bersedekah kepada kaum kerabat sendiri, lebih-lebih lagi amalan ini mampu menyemai serta menyuburkan segala silap faham dan kekeruhan dalam hubungan sesama kita. Sepertimana hadith Rasulullah SAW di atas, bukan sahaja kita diberikan pahala sedekah malah pahala dalam menyambung silaturahim juga.


Alangkah beruntungnya bagi insan-insan yang selalu mencari peluang untuk bersedekah.

Tambahan pula amalannya itu disertai dengan tabiat bersedekah yang terbaik. Itulah sifat seorang Mukmin yang sejati, setiap saat mereka senantiasa berusaha meningkatkan kualiti dan kesempurnaan ibadah yang sedia ada.

Semuanya kerana redha Allah SWT semata-mata.

Wallahu’alam

Powered by Blogger.